Arkib Tag: LPT

Sering banjir, LPT bakal dinaik taraf Julai tahun ini

PENGGUNA jalan raya terutama penduduk Pantai Timur boleh menarik nafas lega dengan cadangan naik taraf laluan Lebuhraya Pantai Timur yang sering dinaiki air terutama ketika musim tengkujuh.

Projek melibatkan kerjasama kerajaan negeri Pahang dan Persekutuan itu dilaporkan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Pahang berkata, projek naik taraf itu amat penting memandangkan ia melibatkan kepentingan rakyat.

Jelas, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, persetujuan sudah diberi kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Foto ihsan Malay Mail

“Kerja ini perlu dilakukan dan diberi keutamaan. Oleh itu kerajaan pusat bersetuju menaik taraf laluan LPT bermula Julai depan,” katanya baru-baru ini.

Antara kawasan terlibat dengan proses naik traf ini adalah di daerah Lanchang sehingga ke Temerloh.

Sementara itu, Jabatan Pengairan Sungai (JPS) Pahang turut menerima peruntukan menaik taraf kolam takungan banjir.

Bagi tujuan itu, RM6.14 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 42 kerja kecemasan di luar jangka.

Enjin kereta yang ditenggelami banjir mengudang risiko kerosakan. – Foto ihsan Malay Mail

JPS Pahang turut menerima peruntukan RM20.36 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja mengurangkan risiko banjir.

Negeri Pantai Timur saban tahun sering berdepan masalah banjir setiap kali memasuki musim tengkujuh.

Banjir bukan sahaja memberi ancaman kepada nyawa manusia dan haiwan malah, merosakkan harta benda awam.

Lamborghini musnah terbakar dalam kemalangan di LPT

SEBUAH kereta mewah jenis Lamborghini Urus musnah dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), semalam.

Kemalangan menyebabkan kenderaan tersebut hangus 100 peratus akibat dijilat api.

Memetik laporan bomba, dua mangsa bersama seorang kanak-kanak terselamat dalam kemalangan terbabit.

“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi,” memetik laporan di Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan hilang kawalan.