Arkib Tag: Lombok

Isu kualiti litar selesai, deruman MotoGP bakal gegar Mandalika minggu ini

LITAR Antarabangsa Mandalika difahamkan telah bebas daripada masalah membabitkan kualiti asphalt atau bitumen.

Presiden Mandalika Grand Prix Association (MGPA) berkata, pembaharuan asphalt telah dibuat melibatkan beberapa selekoh dan sedang dipantau rapi.

“Pembaharuan semula asphalt telah dijalankan dari selekoh 16 hingga selekoh lima.

“Trek dilihat lebih baik dari sebelum ini. Trek juga akan dipantau dan dilihat oleh Pegawai Keselamatan FIM, Fraco Uncini bagi tujuan proses homologasi,” katanya.

Sebelum ini, Tarmac Sports Malaysia melaporkan kualiti asphalt di litar tersebut menjadi perdebatan dalam kalangan pelumba dan pasukan.

Perkara itu berlaku sebaik selesai sesi ujian rasmi MotoGP, bulan lalu.

Penduduk tempatan sedang menyaksikan sesi ujian MotoGP di Litar Mandalika, Lombok. – Foto ihsan Instagram/@hrc_motogp

Sementara itu, terdapat beberapa lagi kontroversi melibatkan Litar Antarabangsa Mandalika termasuk isu pembayaran tanah yang tertunggak kepada penduduk setempat.

Antara lain, penjawat awam juga dikatakan digesa membeli tiket perlumbaan sebagai sokongan kepada penganjuran MotoGP di Indonesia.

Kali terakhir deruman jentera MotoGP bergema di bumi Indonesia adalah pada tahun 1997 dengan Litar Antarabangsa Sentul menjadi tuan rumah.

Pertamina Grand Prix Indonesia 2022 akan berlangsung bermula 17 sehingga 20 Mac.

Persoalannya, pelumba manakah bakal menaiki podium nanti? Sama-sama kita nantikan…

‘Sakitnya tuh di sini’, penduduk belum terima pampasan bina litar Mandalika?

LITAR Mandalika terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga maya terutama bagi peminat sukan MotoGP.

Kali ini isunya bukan lagi masalah permukaan litar seperti dirintih majoriti pelumba MotoGP tetapi terarah kepada rungutan penduduk setempat.

Semuanya gara-gara foto dimuatnaik di akaun laman sosial Instagram milik Repsol Honda Team.

Menerusi foto berkenaan, kelihatan tiga individu mengenakan kain sarung sedang mencangkung di luar litar sambil menyaksikan sesi ujian rasmi MotoGP.

Memetik laporan Utusan Malaysia, tiga individu tersebut dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57.

Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan sebahagian pemilik tanah yang dijadikan litar lumba tersebut.

Apa yang menyedihkan, mereka mendakwa masih belum menerima pembayaran tanah yang sepatutnya dilangsaikan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Mengakui sakit hati dengan isu belum selesai itu, mereka juga mendakwa pernah dijanjikan bayaran lumayan oleh ITDC.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” kata Sibawaeh.

Sebelum ini, Litar Mandalika terletak di Lombok dikritik beberapa pelumba MotoGP yang kecewa dengan tahap keselamatan mereka.

Ini kerana beberapa bahagian litar berkenaan didakwa dilitupi kesan selut sekaligus menyukarkan corak tunggangan pelumba.

Sementara itu, Gabenor Nusa Tenggara Timur dikatakan telah membentuk pasukan tindakan bagi menyelesaikan masalah pembayaran tanah.

Bagaimanapun, masih tiada penyelesaian dibuat setakat ini dan lebih mengejutkan hanya dua daripada 10 pemilik tanah menerima pampasan setakat ini.