Arkib Tag: levante

Maserati Grecale GT pesaing Porsche Macan kini dengan sistem hibrid, dari RM598k

MASERATI Grecale GT Hybrid hari ini tiba secara rasmi di Malaysia, dibawa masuk oleh Naza Italia. Ianya merupakan varian hibrid untuk SUV premium kompak itu yang mula dilancarkan di peringkat global tahun lepas.

Untuk pengetahuan, nama Grecale mengambil inspirasi dari nama angin kuat Timur Laut di Mediterranean, dan model ini berada di bawah Levante. Grecale juga disasarkan kepada SUV premium seperti Porsche Macan.

Satu aspek utama sebuah Maserati ialah enjinnya, Grecale mempunyai tiga pilihan enjin seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia, Grecale GT dikuasakan oleh unit 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang mampu menghasilkan 296hp dan 450Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan sistem hibrid 48volt dengan Belt Starter Generator (BSG), eBooster dan juga pengubah DC/DC. BSG berfungsi sebagai alternator bagi mengecaj bateri yang akan membekalkan kuasa kepada eBooster, membantu enjin sebelum turbo spool.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, membolehkan Grecale GT Hybrid memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, serta mencapai kelajuan maksima 240km/j.

SUV ini dibekalkan dengan empat mod pemanduan – Comfort, GT, Sport dan Off-Road. Terdapat juga Vehicle Dynamic Control Mode (VDCM) yang merupakan evolusi dari Chassis Domain Control Module (CDCM) dari supercar MC20.

Dari segi rupa, Grecale GT Hybrid mendapat penggayaan dari MC20 dengan hidung dan gril agresif, dengan kemasan krom untuk GT, manakala kemasa hitam utnuk Modena dan Trofeo. Ciri utama lain adalah bumbung yang menurun perlahan, pembuka pintu tersorok, dan tiga corong di fender serta logo Trident di tiang-C.

Di dalam pula, Maserati Grecale GT dilengkapi jam digital dengan fungsi Kompas, meter G-force, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, dan satu lagi skrin di bawah bersaiz 8.8-inci.

Kelengkapan lain adalah sambungan Android Auto dan Apple Carplay, sistem telematik Maserati Connect, dan pilihan sistem audio dengan 14 atau 21 pembesar suara.

Maserati Grecale GT Hybrid berharga dari RM598,000 termasuk duti dan cukai, dengan jaminan tiga -tahun tanpa had perbatuan. Ia boleh didapati dalam warna Bronzo Opaco, Blu Intenso, Bianco Astro, dan Bianco.

Maserati Levante GT Hybrid kini di Malaysia, dengan 330hp dan supercharger elektrik eBooster

MASERATI Levante kini hadir dengan varian baharu, iaitu GT Hybrid, dilancarkan oleh Naza Italia. Varian ini menjadi tambahan selepas Ghibli Hybrid yang diperkenalkan sebelum ini.

Seperti pada namanya, ciri utama sudah tentulah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan mild hybrid 48V. Menurut Maserati, enjin 2.0 4-silinder ini memberikan kelancaran enjin 6-silinder dengan rev rendah seperti diesel.

Enjin ini juga 20kg lebih ringan dari 6-silinder, sementara bateri diletakkan di belakang untuk agihan berat lebih baik, menjanjikan pemanduan menyeronokkan.

Dari segi angka, Lavente GT Hybrid mempunyai output 330hp dan 450Nm tork, membolehkannya memecut ke 100km/j dalam 6.0 saat, dengan kelajuan maksima 245km/j.

Sistem mild hybrid 48V pula menggunakan Belt Starter Generator (BSG) dan supercharger elektrik eBooster untuk menghantar kuasa sebelum turbonya ‘masuk’. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear 8-kelajuan, sistem AWD Q4 dan LSD belakang.

Ciri utama pada Maserati Levante GT Hybrid termasuklah lampu LED matriks, rim aloi 20-inci, suspensi udara boleh-laras, dan sistem keselamatan ADAS.

SUV sport mewah ini juga mendapat logo Trident terkini, yang terdapat pada gril dan tiang-C. Tulisan Maserati di pintu but juga baharu, selain lencana GT di ruang kemasukan udara sisi.

Maserati Levante GT Hybrid 2023 ditawarkan pada harga bermula RM738,000 termasuk cukai dan eksais, sebelum pilihan kustom dan insurans. Harga termasuk jaminan standard tiga tahun tanpa had perbatuan.

Maserati Grecale mendarat di Malaysia – SUV prestasi dengan 530hp, 0-100 dalam 3.8 saat

MASERATI Grecale dilancarkan secara rasmi hari ini oleh pengedar rasminya di Malaysia, Naza Italia. Grecale merupakan SUV serba baharu pengeluar Itali itu. Ia juga bukan pengganti Levante, sebaliknya duduk di segmen baharu iaitu SUV premium kecil.

Levante bersaing dengan Audi Q7, BMW X5 atau Porsche Cayenne, tetapi Maserati Grecale merupakan pesaing kepada model-model seperti BMW X3 dan Porsche Macan.

Seperti model-model Maserati yang lain (Ghibli dan Levante), nama Grecale juga diambil sempena satu angin di Timur Laut Maditerranean. Grecale juga dibangunkan di Modena dan dipasang di kilang Cassino, Itali.

SUV prestasi ini hadir dalam tiga ‘perisa’ iaitu GT, Modena, dan Trofeo. GT dan Modena kedua-duanya merupakan versi dengan enjin 2.0-liter turbo 4-silinder berserta sistem hibrid, masing-masing menjana 300hp dan 330hp, manakal tork adalah sama iaitu 450Nm.

Tetapi unit yang anda lihat berwarna kuning ini ialah Grecale Trofeo yang paling berkuasa, dipacu oleh enjin 3.0-liter V6 turbo yang mampu menghamburkan 530hp dan 620Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem AWD dengan limited-slip differential.

Untuk pengetahuan, unit V6 pada Grecale Trofeo ini juga merupakan enjin Nettuno baharu yang juga dikongsi dengan Maserati MC20.

Dari segi prestasi, Maserati Grecale Trofeo mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksima 285km/j.

Menurut Maserati juga, Grecale menawarkan beberapa ciri terbaik dalam kelasnya, iaitu dari segi keluasan, keselesaan, pengendalian, pecutan, dan juga kualiti sistem audio.

Kabin Grecale ini dilihat cukup moden dengan penggunaan suis-suis digital serta tombol fizikal yang minima. Terdapat skrin besar 12.3-inci di konsol tengah untuk infotainmen, serta skrin 8.8-inci untuk instrumen di depan pemandu.

SUV ini juga hadir standard dengan system Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Audio pula disokong oleh system bunyi Sonus Faber 3D dengan pilihan 14 atau 21 pembesar suara.

Sebagai sebuah SUV prestasi juga, Grecale didatangkan dengan Maserati Vehicle Dynamic Control (VDCM) serta pilihan mod pemanduan Comfort, GT, Sport, Corsa (Trofeo sahaja) dan Off-Road.

Harga untuk Maserati Grecale belum diumumkan, tetapi sebagai perbandingan, Levante yang lebih besar ditawarkan pada harga sekitar RM808,000. Kami jangkakan Grecale akan ditawarkan pada harga antara RM550,000 hingga RM600,000.

Maserati Grecale Trofeo

Maserati Grecale Modena

Maserati Grecale GT