Arkib Tag: lesen palsu

Wanita ditahan di Australia kerana guna ‘lesen terbang’

SEORANG wanita telah ditahan di Australia kerana menunjukkan lesen memandu palsu. Lesen itu juga lengkap dengan kelas B penuh untuk motosikal 500cc dan ke atas.

Perkara ini tular di media sosial selepas dikongsi oleh laman Facebook Traffic and Highway Patrol Command – NSW Police Force semalam.

Menurut posting itu, polis NSW telah membuat pemeriksaan dengan INTERPOL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan lesen itu, sebelum ia disahkan sebagai palsu.

Polis NSW telah memberi amaran dan bertanya kepada pemandu itu, dan dia kemudiannya mengaku, “Saya suruh orang buatkan.”

Pemandu tersebut yang ditahan semasa memandu Honda Accord sedan kini tinggal di New South Wales selama enam tahun lepas dengan visa.

Dia didakwa di mahkamah Griffith Local Court pada 13 April 2022 di atas kesalahan “mempunyai dokumen palsu untuk memperdaya petugas awam”. Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksima 10 tahun penjara.

Ya, lesen dan IC (kad pengenalan) palsu bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tetapi jika sehingga tahap rakyat Malaysia berani menggunakannya di luar negara, boleh dikira suatu perkara yang berat.

Menurut laporan oleh FMT baru-baru ini, lesen memandu palsu diiklankan secara terbuka melalui media sosial. Ia berharga serendah RM180 untuk GDL atau PSV, RM200 untuk B2 atau RM350 untuk B penuh, serta RM450 untuk kelas D.

Selain itu, The Sun Daily pada 2018 pernah melaporkan bahawa terdapat kira-kira 14,000 lesen memandu palsu – juga dikenali sebagai Lesen Terbang – telah dikenalpasti.

Teruja miliki lesen ‘terbang’, individu ‘melayang’ lebih RM500

ORANG ramai dinasihati tidak terpedaya atau mencari jalan mudah untuk mendapatkan lesen memandu.

Ia susulan penangkapan dua individu yang dipercayai merupakan dalang bagi sindiket penipuan menjual lesen memandu.

Apa yang lebih mengejutkan, salah seorang suspek ditahan masih awal remaja dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Memetik laporan Bernama, suspek remaja terbabit ditahan polis selain rakannya berusia 22 tahun yang dipercayai menerap di Durian Tunggal, Melaka.

Sebelum ini, polis menerima aduan daripada seorang individu mendakwa ditipu sindiket lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemilikan lesen kenderaan tanpa melalui prosedur ditetapkan adalah salah di sisi undang-undang. – Foto ihsan Facebook / JPJ Terengganu

Teruja dengan tawaran tersebut, mangsa membuat bayaran hampir RM500 setelah berurusan dengan salah seorang suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa telah dijanjikan lesen memandu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kedua-dua supek ditahan reman selama tiga hari.

Orang ramai diminta menghubungi polis atau kunjungi balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat jenayah.