Arkib Tag: Lebuhraya Persekutuan

PRDM guna dron kesan pesalah tidak guna laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan

Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam (11 Jun) mengadakan Op Motosikal di KM 28.4 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal di laluan tersebut.

Operasi tersebut turut menyaksikan penggunaan dron untuk mengesan pesalah menerusi kerjasama dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

Difahamkan, sebanyak 47 saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan LN167/59.

Sumber: Bernama

 

Selain itu, sebanyak 16 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dirakam oleh Unit Dron.

Antara kesalahan termasuklah aksesori kenderaan yang tidak sempurna, tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, mengabaikan isyarat lalu lintas, LKM tamat tempoh, penggunaan alat komunikasi semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lampu brek/brek ketiga serta halangan lalulintas.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Polis Petaling Jaya memaklumkan pelaksanaan Op Motosikal mendapat respons positif daripada masyarakat setempat dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata kepada laman Bernama, saman akan tetap dikirimkan kepada pesalah di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut walaupun mereka tidak ditahan di lokasi operasi.

Ulasan: Hanya hukuman keras ‘ajar’ pemandu tidak bertanggungjawab

KECUAIAN di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan maut bukan suatu yang baharu di negara ini.

Terdapat pelbagai kes dicatatkan dengan terbaharu melibatkan kematian dua remaja dalam satu kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.

Pada penulis, insiden itu bukan sahaja menimbulkan rasa marah dan geram tetapi turut melahirkan emosi teramat sedih.

Berdasarkan laporan media, kemalangan berlaku susulan tindakan seorang lelaki memandu secara melawan arus kerana di bawah pengaruh dadah.

Mengapa masih ada manusia yang tidak bertanggungjawab seperti ini? Apakah yang ada dalam benak fikiran ketika itu?

Walau apa jua jawapan yang diberikan, nasi sudah menjadi bubur. Dua nyawa telah melayang angkara tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Kemalangan jalan raya boleh dielak jika semua pihak memandu dengan penuh rasa tanggungjawab. – Foto ihsan Unsplash/Krzysztof Kowalik

Hukuman berat jika bersalah

Hari ini, sebaik penulis membaca laporan akhbar bahawa tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam membuktikan masih ada sinar keadilan di negara ini.

Berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh jika didapati bersalah berdepan hukuman mati.

Mungkin ada yang mempersoalkan tidakkah hukuman ini terlalu berat?

Jawapannya sampai bila kita mesti berdepan dengan sikap pemandu tidak bertanggungjawab di jalan raya?

Jika undang-undang keras tidak dilaksanakan maka, selagi itu akan wujud pemandu bersikap sambil lewa sehingga mengancam keselamatan nyawa orang ramai.

Sudah pasti kita tidak ingin lebih banyak kemalangan berlaku di masa depan angkara sikap lalai dan tidak bertanggungjawab pemandu.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto fail oleh Shafwan Zaidon

Fakta kes kemalangan

Tanggal 12 September lalu, dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki secara melawan arus.

Insiden berlaku di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur sekitar jam 1.20 pagi.

Kemalangan menyebabkan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, meninggal dunia.

Siasatan mendapati tertuduh iaitu K. Devaaswin, 24, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Bagaimanapun, masih tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.