Arkib Tag: langgar lari

Saksi diseru tampil bantu kes Bezza langgar orang, lawan arus di SKVE

SAKSI kemalangan di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Bandar Saujana Putra diminta tampil membantu siasatan polis.

Polis berkata, individu menyaksikan insiden tersebut diharap tampil dengan segera bagi memudahkan siasatan kes.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.

Jelas pihak polis, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan Perodua Bezza dipercayai melawan arus dan melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) . – Foto tangkap layar video tular di Facebook

Terdahulu, seorang lelaki memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di SKVE ditahan polis.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas mendapatkan rawatan ekoran kecederaan bahagian kepala di Hospital Banting, semalam.

Kejadian jam 2 petang semalam menyaksikan pemandu Perodua Bezza itu melanggar seorang penunggang motosikal.

Pemandu kereta itu kemudian bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal.

Susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Enggan diperiksa, lelaki langgar pengawal di Kompleks Sultan Abu Bakar

POLIS mengesahkan seorang lelaki tempatan ditahan selepas melanggar pengawal keselamatan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang dekat Iskandar Puteri.

Lelaki itu bertindak sedemikian selepas enggan memberi kerjasama untuk diperiksa pihak berkuasa di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Johor mengesahkan kejadian berlaku sekitar jam empat pagi Ahad melibatkan suspek berusia 42 tahun.

Unit Peronda Iskandar Puteri kemudian mengejar pemandu terbabit yang melarikan diri ke arah Singapura sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu.

Kompleks Sultan Abu Bakar merupakan pintu sempadan di antara Malaysia dan Singapura. – Foto ihsan Wikipedia

“Pemandu itu melarikan diri menghala ke Singapura melalui jalan keluar lori eksport. Namun, berjaya ditahan oleh polis Singapura,” kata Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu, mangsa langgar lari berusia 38 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan.

Suspek ditahan pula telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut sebaik proses dokumentasi selesai.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lima jenayah, kemalangan sempat dirakam lensa CCTV

PEMASANGAN kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi awam tidak dinafikan banyak membantu pihak berkuasa menangani kes jenayah atau kemalangan.

Ini kerana di mana-mana lokasi, kegiatan jenayah dan kemalangan tidak pernah mengenal mangsa.

Artikel ini kami kongsikan beberapa kejadian jenayah serta kemalangan jalan raya yang pernah berlaku seantero dunia.

Sepuluh individu dilanggar kereta kerana dendam (Dalian – 2021)

Seorang pemandu ditahan polis selepas bertindak melanggar beberapa orang awam di Dalian, China.

Insiden menyebabkan lima mangsa maut di timur laut China, sementara lima lagi cedera parah.

Menurut siasatan polis, kejadian berpunca daripada dendam selepas suspek dipercayai gagal dalam pelaburan.

*Video mengandungi aksi kurang sesuai ditonton oleh sebilangan individu. Tontonan atas budi bicara masing-masing.

Serangan bom kereta (Kashmir – 2019)

Krisis politik antara dua negara, India dan Pakistan menyaksikan beberapa siri serangan berlaku melibatkan puak pelampau.

Satu serangan bom kereta oleh puak pemisah menggunakan bom diletakkan dalam sebuah kereta mengorbankan 44 nyawa.

Kumpulan pelampau Jaish-e-Mohammad (JeM) mengakui bertanggungjawab atas serangan dilancarkan.

Wanita langgar bapa mertua (Leicester – 2018)

Seorang wanita dipenjara setahun enam bulan selepas melanggar bapa mertuanya secara tidak sengaja.

Lesen memandu Begun Abedin juga digantung selama dua tahun sembilan bulan.

Menurut fakta kes, Abedin pada mulanya melarikan diri selepas melanggar seorang lelaki.

Tanpa mengetahui lelaki yang dilanggar merupakan bapa mertuanya, Abedin bertindak melarikan diri.

Mujur rakaman CCTV berjaya merakam kejadian dan akhirnya Abedin ditahan.

Setakat ini, EnGear belum pasti adakah masih wujud kemesraan Abedin dengan keluarga mertuanya.

‘Tarik’ mesin ATM guna kereta (Kuala Krai – 2016)

Umpama filem ala Hollywood, dua penyangak cuba merompak mesin pengeluaran wang (ATM) sebuah bank di Kuala Krai , Kelantan.

Menerusi rakaman CCTV, kedua-dua suspek kelihatan cuba menarik mesin ATM menggunakan sebuah kereta jenis Honda.

Lengkap bertopeng dan bersarung tangan, mereka bagaimanapun gagal melarikan mesin ATM berkenaan.

Malah, aksi ‘pandir’ kedua-duanya jadi bahan ketawa di media sosial.

Anak taukeh Red Bull langgar penunggang motosikal (Bangkok – 2012)

Kelajuan mengujakan dan kadang kala menyesalkan.

Ya, benar! Mungkin itu dirasakan anak kepada taukeh Red Bull, Thailand selepas melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut.

Vorayuth Yoovidhya didakwa melanggar mangsa yang merupakan seorang anggota polis ketika memandu sebuah kereta Ferrari.

Kes ini agak ‘panas’ di Thailand pada suatu ketika selepas si ‘kayangan’ ini bebas daripada tuduhan menyebabkan kemalangan maut.

Vorayuth Yoovidhya atau dikenali sebagai "boss" dikritik kerana terlepas daripada dakwaan menyebabkan kemalangan maut.

Tidak dinafikan ada banyak lagi kes jenayah atau kemalangan sempat dirakam CCTV yang tidak dapat kami senaraikan kesemuanya.

Penyenaraian kes di atas juga tidak mempunyai sebarang niat peribadi dan hanya sekadar untuk bacaan umum.

Jika anda punya sebarang ‘kisah’ di sebalik lensa CCTV, sila kongsi di platform media sosial kami.

Akhir kata, moga kita semua dijauhi daripada jenayah!