Arkib Tag: kuwait

Proses TUDM beli Hornet terpakai Kuwait lancar, positif

PROSES Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan pesawat tempur dari Kuwait sedang berjalan lancar.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perolehan yang dirancang itu melibatkan 33 buah pesawat F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait.

Jelasnya, kesemua pesawat berkenaan masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. – Foto ihsan YouTube

“Inisiatif ini masih menunggu perbincangan antara kedua-dua buah negara atau di peringkat kerajaan dengan kerajaan.

“Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM,” katanya.

Ikmal berkata demikian ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, hari ini.

Ura-ura TUDM ingin medapatkan pesawat tempur milik Kuwait pernah tular di media sosial.

Terdahulu, Ikmal berkata TUDM segala rangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) masih berjalan.

Kerajaan Kuwait dijangka melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F lebih moden dari Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan sama, TUDM masih tiada perancangan pemodenan bagi pesawat latihan untuk tahun depan.

Lakaran pesawat Pilatus PC-7

Pesawat latihan terdiri daripada model PC7 dan helikopter EC120 akan terus diguna pakai untuk tahun depan seperti yang digariskan dalam CAP55.

TUDM juga berhasrat menggunakan pesawat tempur F/A-18D sehingga 2035.

TUDM sah berminat dengan F/A-18D Hornet terpakai Kuwait

URA-ura mengenai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ingin memperolehi sejumlah Boeing F/A-18D Hornet terpakai dari Kuwait sudah lama kedengaran.

Baru-baru ini, perkara itu disahkan sendiri oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait pertengahan bulan ini.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. Sumber: Youtube

Jika hasrat ini menjadi realiti, Hornet terpakai dari Tentera Udara Kuwait itu akan menambah armada sedia ada F/A-18D milik TUDM (lapan buah pada masa ini).

“Pelbagai usaha sedang dilaksanakan kita juga sedang menunggu… insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).

“Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait… kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais PARADISE Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan pada Selasa.

F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait. Sumber: ainonline.com

Kuwait sebelum ini dilaporkan merancang untuk menghentikan penggunaan pesawat F/A-18 Hornet (varian A dan D) dan menggantikannya dengan pesawat F/A-18 Super Hornet.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Dalam perkembangan lain, Ackbal berkata TUDM akan memperolehi empat unit helikopter Agusta Westland AW139 secara sewaan dalam masa terdekat untuk tempoh empat hingga lima tahun sementara menunggu rancangan perolehan 24 buah helikopter yang baharu pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)

“Alhamdulillah kita telah dimaklumkan tender baru ditutup dan telahpun di award… saya tak boleh kata syarikat mana yang dapat… dan dalam masa terdekat ini pesawat itu akan mula beroperasi bersama TUDM secara sewaan empat ke lima tahun.

“TUDM mengharapkan the next one is jangka panjang… dan itu perolehan helikopter… kalau boleh dalam RMK-13 sebanyak 24 helikopter lagi,” katanya.

Empat helikopter berkenaan adalah bagi mengisi keperluan utiliti TUDM, katanya.

Helikopter AW139 sebenarnya tidak asing dalam inventori agensi-agensi di Malaysia, digunakan oleh pihak polis, bomba dan maritim.