Arkib Tag: Kuantan

Lokomotif pertama ECRL mula tiba di Pelabuhan Kuantan

BEBERAPA lokomotif pertama East Coast Rail Link (ECRL) mula tiba di Pelabuhan Kuantan. Perkara itu disiarkan dalam satu muat naik oleh laman Facebook East Coast Rail Link – ECRL.

Tetapi anda mungkin perasan bahawa ini merupakan lokomotif diesel kerana ianya hanya akan digunakan untuk tujuan pembinaan jajaran ECRL itu.

Kereta api yang akan digunakan untuk projek menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang itu adalah jenis elektrik.

Projek ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB), iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pula adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ini.

Jaringan rel ECRL akan merapatkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Berdasarkan laporan berita pada Ogos lepas, projek ini telah mencapai perkembangan 48.77 peratus, menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara itu juga berkata perkembangan tersebut selaras dengan pembangunan projek itu dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, sekali gus membolehkan perkhidmatan ECRL beroperasi pada Januari 2027.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan mula dibina tahun depan, beroperasi pada 2026

PEMBINAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dijadual bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2026, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pembinaan lapangan terbang dengan kos RM2 bilion itu dibuat dengan rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar, yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

Lapangan Terbang St. Maarten di Kepulauan Caribbean. Gambar sebagai hiasan.

“Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara bina-kendali-milik (BOO) iaitu pengoperasian lapangan terbang ini dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad,” katanya.

“Komponen projek ini membabitkan 70 peratus untuk MRO dan baki 30 peratus pula bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pelaksanaan projek itu semalam.

Sementara itu, Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue menandatangani selaku rakan strategik bagi projek pembinaan lapangan terbang, manakala rakan strategik bagi pemajuan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa ialah Syabas Seribumi Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Mohamad Nor Hamid.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut hadir di majlis itu.

Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Imej oleh: Wikipedia

Untuk rekod, lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Wan Rosdy berkata, Gading Group Berhad mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aeroangkasa sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara serta mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik sebagai rakan strategik juga memiliki kepakaran, pengalaman yang kukuh serta rekod baik dalam bidang pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan pembangunan bercampur.

Katanya, selain itu, pelaksanaan projek itu membuka 20,000 peluang pekerjaan dengan sasaran pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain menerusi pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hab ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng dan berhampiran Pelabuhan Kuantan serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diharap menjadikan Pahang pilihan utama pelabur berdasarkan kemudahan itu,” katanya.

Lebuh raya CSR Bentong-Lebu dibuka hari ini

CENTRAL Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu dibuka hari ini untuk pengguna jalan raya.

Laluan empat-lorong sepanjang 28.5km itu ialah bahagian Seksyen 5 (Kampung Asap – Kampung Sertik yang dikenali sebagai 5C dan Bentong yang dikenali sebagai 5D).

Sumber: Media sosial

Apabila dibuka, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang mahu ke Raub, Lipis dan Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong.

Mereka yang melalui lebuh raya Karak boleh memasuki CSR berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong sebelum keluar di Lebu untuk menyambung perjalanan ke jalan lama sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir untuk membuka laluan itu hari ini.

Wan Rosdy – yang memeriksa laluan itu di Mempaga minggu lepas – berkata sub-pakej 5C dan 5D itu adalah sebahagian dari laluan penuh sepanjang 350km yang merentasi dari Kuala Krai, Kelantan dan Bentong.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12, projek RM8.7 bilion itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

“Apabila siap, CSR akan mengurangkan masa perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya. Ia juga akan membantu meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat dengan menyediakan infrastruktur berkualiti pada kawasan-kawasan terlibat,” tulisnya di laman Facebook.

CSR dibina menggunakan teknik Continuously Reinforced Concrete Pavement (CRCPP). Ia mempunyai enam fasa: dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (60km), Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (94km), Kampung Relong ke Raub, Pahang (45km), Raub ke Bentong (54km); dan Bentong ke Simpang Pelangai (47km).

ECRL: Siap Dis 2026, kerajaan masih kaji jajaran terbaik beri impak ekonomi maksimum

TARIKH sasaran penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal iaitu pada 31 Disember 2026.

Ia melibatkan laluan seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh.

Bagaimanapun, penyiapan seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027.

Pembinaan projek ECRL sedang giat dijalankan. – Foto ihsan Malay Mail

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus.

Jelasnya, kemajuan kerja fizikal bagi seksyan A telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus.

Manakala bagi seksyen B adalah 28.04 peratus iaitu merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, kerajaan masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

Ka Siong berkata, adalah penting agar ECRL tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

“Cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan,” katanya lagi.

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

Jalan lengang kerana ‘lockdown’, mat rempit pula ambil kesempatan

MENGECEWAKAN!

Demikian dapat disimpulkan mengenai sikap sekumpulan anak muda bersuka ria melakukan aktiviti lumba haram dekat Kuantan, Pahang.

Tular di Twitter, kumpulan berkenaan didapati berlumba sesama sendiri selain tidak mengindahkan ‘teguran’ pemandu lain.

Menerusi video dimuatnaik MyWatch, beberapa lelaki dilihat menghalang laluan sebuah kenderaan kerana terlalu ‘asyik’ berlumba haram.

Kesemua mereka tidak menghiraukan sebuah kenderaan yang cuba memotong walau telah diberikan amaran hon.

“Segelintir ‘mat rempit’ ambil kesempatan jalan lengang untuk berlumba. Lokasi di Kuantan, Pahang,” kata pengendali akaun MyWatch.

Isu lumba haram bukan suatu yang baharu di negara ini.

Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi menangani lumba haram termasuk mengenakan tindakan undang-undang yang ketat.

Namun, ada juga pihak berpandangan penguatkuasaan undang-undang tidak cukup untuk menghentikan lumba haram.

Satu langkah terbuka perlu dilakukan termasuk sesi dialog agar punca dan permasalahan dapat ditangani secara holistik.