Arkib Tag: Kota Kinabalu

iCaur Malaysia rasmi buka pusat 3S pertama di Kota Kinabalu

iCaur Malaysia secara rasmi membuka pusat 3S pertama di Malaysia Timur yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

Dikendalikan oleh Universal Icar Sdn Bhd, pusat 3S baharu ini menawarkan perkhidmatan menyeluruh (jualan, servis & alat ganti) di bawah satu bumbung kepada pelanggan di Sabah.

Kemudahan lengkap

Dengan keluasan 1,170 meter persegi, pusat 3S ini menyediakan ruang pameran yang mampu memuatkan empat buah kenderaan dan tiga ruang servis khusus.

Selain itu, terdapat juga ruang penyerahan kenderaan, ruang pengecasan EV, ruang istirahat, sambungan Wi-Fi percuma, serta zon permainan interaktif.

Rekaannya juga mencerminkan semangat gaya hidup Born to Play iCaur, menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah pusat jualan konvensional.

Clinton Chok Jin Qin, naib presiden Universal Icar berkata, pihaknya berbangga dapat membawa pusat jualan dan selepas jualan lengkap pertama iCaur ke Sabah.

“Keutamaan kami adalah untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lengkap, disokong oleh perkhidmatan profesional, kemudahan pengecasan, serta fasiliti yang menjadikan setiap kunjungan lebih selesa,” ujarnya.

Alamat dan Waktu Operasi

Pusat 3S iCaur Kota Kinabalu terletak di alamat CL015493615 Jalan Limau Manis, Off, Jln Lintas, Taman Iramanis, 88450 Kota Kinabalu, Sabah.

Waktu operasi pusat jualan:

  • Isnin-Jumaat – 8.30 am hingga 6.00 pm
  • Sabtu – 8.30 am hingga 4.00 pm
  • Ahad & cuti umum – 10.00 am hingga 3.00 pm

Waktu operasi pusat servis:

  • Isnin-Jumaat – 8.00 am hingga 5.00 pm
  • Sabtu – 8.00 am hingga 3.00 pm
  • Ahad & cuti umum – tutup

Usaha perkukuh rangkaian pengedar

Francis Chin, pengarah kanan iCaur Malaysia berkata pembukaan pusat berkenaan merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk memperkukuh rangkaian pengedaran jenama itu di seluruh negara.

Setakat ini, iCaur Malaysia mempunyai 21 pusat jualan di seluruh negara, dan angka tersebut bakal meningkat kepada 30 menjelang penghujung 2026.

Airbus A320 milik Cebu Pacific Air mendarat cemas di KKIA

SEBUAH pesawat Airbus A320 milik Cebu Pacific Air membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.

Pesawat yang membawa 92 penumpang dan anak kapal itu dipercayai mengalami masalah enjin. Ia berlepas dari Cebu, Filipina pada jam 7:55 malam dan dijadualkan mendarat di Singapura tengah malam tadi.

Disebabkan masalah di enjin kiri, juruterbang membuat pendaratan di KKIA dengan selamat kira-kira jam 10:22 malam.

Gambar oleh: Better Aviation

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA jam 9:49 malam.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan anak kapal selamat.

“Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10:29 malam,” katanya.

Puspakom KK ditutup, kakitangan positif Covid-19

PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) cawangan Kota Kinabalu (KK) mengambil keputusan menutup sementara operasinya bermula hari ini.

Ia susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Memetik kenyataan Puspakom, penutupan operasi adalah bagi memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan.

Setakat ini, proses pengesanan kontak sedang dijalankan dan mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan berkenaan menjalani kuarantin.

“Proses pengesanan kontak sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan akan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan akan memulangkan semula wang pelanggan yang telah membuat temu janji pemeriksaan kenderaan.

Selain itu, Puspakom akan mendapatkan nasihat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kenderaan tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh penutupan tersebut.

Penularan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan membimbangkan dengan lebih 7,478 kes seluruh negara pada semalam.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Sabah mempunyai 229 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu, 61,057.