Arkib Tag: KLIMS 2026

KLIMS2026: Perodua perlihat konsep C2, petunjuk Bezza generasi baharu?

Bertempat di KLIMS 2026, Perodua mengambil kesempatan memperlihatkan model konsep baharu yang dinamakan sebagai Perodua C2 (atau Chapter 2).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami.

“Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami.

Konsep canggih

Perodua C2 dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan EV.

Ia diposisikan sebagai sebuah kenderaan segmen B yang dibantu dengan fungsi kepintaran buatan (AI) seperti:

  • sistem navigasi masa sebenar
  • lokasi stesen pengecasan
  • kemas kini trafik
  • ciri anti-curi
  • bantuan parkir kenderaan

 

Model ini juga menggabungkan aplikasi super P-Circle supaya pelanggan pada masa depan boleh mendapatkan akses mudah terhadap perkhidmatan seperti e-dompet dan penghantaran alat ganti tulen.

Menurut Dato’ Sri Zainal lagi, C2 mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua dan akan menjadi asas kepada EV Perodua pada masa depan.

“Kami teruja untuk berinteraksi dengan pelawat di reruai Perodua dan mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka bagi memastikan produk baharu kami memenuhi jangkaan pelanggan,” ujarnya lagi.

 

KLIMS2026: Mazda CX-5 2026 dipertontonkan, unit CBU, harga anggaran dari RM170 ribu

Bermaz Motor turut memperlihatkan model SUV baharu Mazda CX-5 2026 bertempat di acara pameran KLIMS 2026.

CX-5 generasi ketiga ini telah pun dilancarkan di peringkat global pada tahun lalu.

Penampilan bergaya

Dipersembahkan di bawah konsep Wearable Gear, CX-5 serba baharu ini tampil lebih sporti dan lebih yakin untuk pemanduan urban dan mencabar.

Dimensinya juga bertambah panjang dengan rekaan hud dan jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada penambahan ruang kaki dan ruang kargo.

Ruang kabin CX-5 baharu ini juga membawakan susun atur yang lebih ringkas, diikuti dengan rekaan roda stereng yang menampilkan skrip MAZDA.

Skrin infohibur juga bersaiz lebih besar, dan dijangka membawakan sokongan aplikasi Google, Android Auto dan Apple CarPlay.

Spesifikasi belum rasmi

Buat masa ini, pihak Bermaz Motor masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi termasuklah pilihan enjin yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Namun di pasaran luar, CX-5 dipacu oleh enjin petrol Skyactiv-G 2.5 liter serta pilihan enjin hibrid ringan M Hybrid System sama seperti unit yang dipamerkan pada ketika ini.

Mazda CX-5 2026 bakal ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dengan harga jualan anggaran dari RM170 ribu.

Mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan pada 12 Jun 2026 di semua pengedar sah Mazda di seluruh negara.