Arkib Tag: keselamatan jalan raya

Pakar keselamatan jalan raya gesa kerajaan tambah lorong motosikal

KERAJAAN digesa membina lebih banyak lorong motosikal kerana kajian menunjukkan ia mampu mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sehingga 40 peratus.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Kulanthayan KC Mani berkata, banyak negara, kadar kemalangannya rendah kerana penggunaan motosikal juga rendah.

Begitupun di Malaysia, hakikat harus diakui bahawa motosikal adalah antara komponen penting dalam sistem pengangkutan Malaysia.

“Salah satu cara untuk mengurangkan kemalangan adalah dengan menyediakan lorong motosikal kerana ia boleh mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 40 peratus.

“Ia adalah langkah pencegahan yang memang terbukti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas siri syarahan sulungnya “Keselamatan Kanak-Kanak Di Jalan Raya” di UPM pada Jumaat.

Tambah beliau, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan lorong motosikal dan seharusnya ia perlu diperluaskan.

 

Foto: Media Sosial

“Kita telah memperkenalkan pendekatan ini kepada komuniti global, dan langkah seterusnya ialah meningkatkannya.

“Jika kerajaan boleh menambah bilangan lorong motosikal di tempat yang diperlukan, ia akan menjadi kaedah yang berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Kulanthayan juga menggesa kerajaan supaya menyelenggara laluan motosikal dengan baik kerana jika tidak, penunggang terpaksa kembali ke aliran trafik utama.

“Kekalkan dengan baik apa yang anda ada dan pada masa yang sama, tambah yang baharu. Itu satu cara untuk maju ke hadapan,” katanya.

Menurut statistik Kementerian Pengangkutan, beliau berkata, lebih 6,000 orang maut dalam nahas tahun lepas, termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak.

Kulanthayan berkata kajiannya mendapati punca kemalangan yang begitu tinggi adalah kerana bilangan kenderaan persendirian di jalan raya lebih banyak berbanding pengangkutan awam.

“Negara-negara yang telah banyak melabur dalam pengangkutan awam, terutamanya dalam perkhidmatan kereta api, mempunyai kadar kemalangan yang jauh lebih rendah,” tambahnya.

Demi keselamatan, had laju sekitar KL mungkin turun sehingga 30 km/j

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal membentangkan cadangan penurunan had laju di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, bulan depan.

Cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan penurunan had laju sehingga 30 km/j dan 50 km/j.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, jika segala cadangan mendapat reaksi positif maka ia dijangka akan dilaksana pada bulan September.

“Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini.

“Kawasan terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60 km/j dan 40 km/j.

“Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70 km/j dan 80 km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sebelum ini, cadangan penurunan had laju sekitar ibu negara mendapat perhatian di parlimen.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya bertanyakan mengenai pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS melaksanakan had laju kenderaan 30 km/j hingga 50 km/j di kawasan terpilih.

Antara negara yang mengamalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j adalah Perancis.

Pelaksanaan pada Ogos tahun lalu itu melibatkan kawasan sekitar Paris.

Terdahulu, Jalaluddin memaklumkan DBKL menyambut baik cadangan awal MIROS demi keselamatan pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki.