Arkib Tag: kereta perisai

10 kenderaan tempur infantri paling power – Korea pun ada buat!

KENDERAAN apa yang tidak perlu bagi signal (lampu isyarat) atau bayar cukai jalan? Kita akan bercakap mengenai IFV (infantry fighting vehicle) atau kenderaan tempur infantri.

Nama lainnya adalah kenderaan perisai. Ia direka untuk membawa pasukan infantri ke medan perang dan pada masa yang sama memberikan kuasa tembakan. Jadi ia mempunyai ciri perlindungan dan persenjataan, menjadikannya satu aset penting dalam peperangan.

Hari ini kami akan kongsikan 10 IFV terhebat yang ada pada hari ini.

1. Mowag Piranha V

Direka oleh General Dynamics European Land Systems dan Mowag GmbH, ia dikatakan model paling berkuasa dalam barisan Piranha milik angkatan tentera Switzerland. Ia kalis peluru 14.5mm dan boleh ditingkatkan kepada 25mm jika perisainya dinaik taraf.

Senjata utama pada Piranha V termasuklah chain gun 30mm dan mesingan 12.7mm.

2. Hunter AFV

Boleh dikategorikan sebagai AFV atau kenderaan tempur bersenjata, ia dibangunkan sebagai pengganti Ultra M113 untuk tentera Singapura.

Ia dilengkapi meriam Mk.44 Bushmaster III 30mm dan sepasang pelancar misil anti-kereta kebal.

3. BMP-3

Ini merupakan IFV milik Rusia, dan menjadi kesinambungan dari BMP-1 dan BMP-2. Perisai di depannya mampu menahan peluru penembus perisai 14.5mm.

Ia juga boleh dipasang dengan sistem perlindungan aktif Arena-E. Sementara itu untuk serangan pula, terdapat mesingan 100mm dan meriam coaxial 30mm.

4. ZBD-08

Di tempat keempat dalam senarai kita ialah ZBD-08, yang merupakan IFV China. Ia dibangunkan berasaskan BMP-3, dengan perisai kalis peluru 30mm. Jadi, ini sedikit penambahbaikan dari BMP-03.

Tetapi bahagian lain mendapat perisai kalis peluru 14.5mm yang sama, begitu juga dengan mesingan 100mm dan meriam coaxial 30mm. Persenjataan boleh ditambah dengan mesingan 7.62mm mengikut keperluan.

5. Kurganets-25

Ini merupakan satu lagi IFV dari Rusia dan dijangka menggantikan barisan BMP-03. Walaubagaimanapun, sistem perlindungannya masih belum diketahui kerana IFV ini belum memasuki fasa produksi.

Yang pasti, ia akan didatangkan dengan meriam 30mm, mesingan coaxial 7.62mm, dan empat pelancar misil anti-kereta kebal Kornet-EM.

6. M2 Bradley

Seterusnya IFV keenam dalam senarai kita ialah M2 Bradley, keluaran Amerika Syarikat. Kami rasa ini pasti antara IFV paling popular disebabkan penampilannya dalam banyak permainan video.

Ia telah digunakan dalam angkatan tentera negara Uncle Sam itu sejak 1981, direka untuk misi peninjauan dan membawa anggota infantri.

M2 Bradley mempunyai perisai peluru 30mm dan 14.5mm, serta mesingan Bushmaster 25mm. Senjata lain yang boleh dipasang juga adalah mesingan coaxial 7.62mm dan dua pelancar misil anti-kereta kebal TOW 2. M2 juga berkeupayaan menjadi kenderaan amfibia.

7. Combat Vehicle 90 (CV90)

Kita ke Eropah semula, CV90 ialah kenderaan tempur dari Sweden, dibangunkan dari era 1980-an. Perisainya mengikut standard model-model lain dalam senarai ini iaitu sehingga 30mm dan 14.5mm.

Ia juga mampu bertahan dari letupan periuk tanah yang bersamaan TNT 10kg. Persenjataannya pula terdiri dari mesingan Bofors 40mm, mesingan coaxial 7.62mm, dan pilihan mesingan 30mm atau 35mm. Banyak juga ya.

8. K21

Untuk IFV kelapan, kita ke Asia pula. Perkenalkan K21 dari Korea Selatan, yang mula memasuki perkhidmatan pada 2008. Jadi ini antara IFV paling baharu.

Ia dilindungi dengan perisai 14.5mm dan 30mm, serta sistem perlindungan aktif yang hampir serupa terdapat pada K2 Black Panther.

Persenjataan yang boleh dipasang adalah mesingan berkaliber 40mm dan 7.62mm, pelancar roket anti-kereta kebal, dan sistem kawalan tembakan yang membantunya menyerang dengan lebih tepat. K21 juga berkeupayaan amfibia dan mempunyai suspensi hidro-pneumatik.

9. Lynx

Merupakan AFV buatan Jerman yang dibangunkan untuk pasaran eksport. Versi KF-31 mula dihasilkan pada 2016, diikuti dengan KF-41 pada 2018.

Versi KF-41 dikatakan sebagai kenderaan perisai paling berat di dunia, iaitu antara 44 hingga 50 tan. Ia padat dengan sistem moden yang membolehkannya menjalankan pelbagai misi seperti peninjauan dan penyelamatan. Perisai hadapannya mampu menahan sehingga 125mm. Patutlah berat.

10. Puma

Akhir sekali, juga buatan Jerman, iaitu Puma yang direka untuk menggantikan Marder. Ia mula memasuki perkhidmatan pada 2010.

Selain perisai peluru 120mm, ia juga mampu menahan letupan periuk tanah. Lebih menarik lagi, ia dilengkapi dengan sistem amaran impak atau perlanggaran. Sistem persenjataan pula terdiri dari mesingan 30mm dan mesingan 55mm.

Sekian sahaja senarai IFV paling mantap untuk kali ini. Ada lagi yang kami tertinggal atau terlepas pandang? Yang mana antara IFV ini paling korang minat? Penulis rasanya suka K21 dan Lynx.

Sumber gambar: Wikipedia, ST Engineering, Weapon Systems, Popular Mechanics, Pinterest

“Pendekar” segagah namanya, teguh pertahan keamanan negara

KENDERAAN dan aset ketenteraan merupakan aspek penting bagi sesebuah negara.

Malaysia juga tidak terkecuali memiliki beberapa aset penting bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Antara kenderaan ketenteraan dimiliki negara termasuk kereta perisai, kapal perang, pesawat tempur dan banyak lagi.

Jadi, artikel kali ini kami ingin membawa anda mengenal serba ringkas mengenai aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikenali sebagai “Pendekar”.

Jom kenal apa itu “Pendekar”

“Pendekar” merupakan kereta kebal atau kenderaan perisai utama bagi Malaysia.

Nama asal “Pendekar” adalah PT-91M yang mana ia dihasilkan oleh sebuah firma dikenali sebagai Bumar Labedy, berpangkalan di Poland.

PT-91M telah menjalani beberapa siri penambahbaikan agar sesuai dengan permukaan geografi dan cuaca negara ini.

Ia memiliki rekaan lebih rendah, kompak serta daya mobiliti lebih baik dengan berat sekitar 45 tan.

Pada tahun 2008 ketika sambutan Hari Tentera Darat, PT-91M diberi nama “Pendekar”.

Spesifikasi “Pendekar”

“Pendekar” boleh memuatkan lebih tiga anggota pengendali pada satu-satu masa dan mempunyai berat sekitar 45.3 tan serta memilki dimensi 10.03 x 3.7 x 2.19 meter.

Apa yang menarik, “Pendekar” mempunyai 1,000 kuasa kuda dengan menggunakan enjin PZL Wola S-1000R.

Berdasarkan maklumat semasa, “Pendekar” dikatakan mampu bergerak selaju 70 km/j di jalan raya dan 45 km/j di jalan desa.

Berikut antara ciri-ciri persenjataan terdapat pada “Pendekar”:

  • Meriam utama: 125mm Konstrukta / ZTS Special 2A46MS
  • Mesingan sepaksi: 1x 7.62 x 51mm FN MAG 57T
  • Mesingan anti udara: 1x 12.7 x 99mm FN Browning M2 HB di turet
  • Sistem pengurusan pertempuran: Sagem Epsilon
  • Sistem kawalan tembakan: Sagem SAVAN-15, giro cincin laser Sagem SIGMA 30
  • Pembidik panaromik: Sagem VIGY 15
  • Perlindungan: ERAWA-3 ERA, 4x sistem amaran laser Przemysłowe Centrum Optyki SSP-1 Obra-3, 24x (2×12) pelancar bom asap ZM Dezamet 902A81mm

Setakat ini, terdapat lebih 48 buah “Pendekar” dikendalikan oleh Rejimen 11 KAD, Kor Armor DiRaja berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Terima kasih kepada seluruh anggota ATM yang sentiasa bersedia mempertahankan keamanan demi negara dan bangsa tercinta!

Sejarah tercipta, Tarantula HMAX 4×4 kebanggaan baharu Malaysia!

MALAYSIA mencatat satu lagi sejarah tersendiri dalam teknologi pertahanan dengan pelancaran kenderaan perisai pertama buatan tempatan diberi nama Tarantula HMAV 4×4.

Tarantula HMAV4x4 dibina dengan menggunakan sepenuhnya teknologi dan kepakaran anak tempatan.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tarantula HMAX 4×4 telah melalui pelbagai penilaian ketahanan yang sekaligus diyakini mampu menyaingi kenderaan ketenteraan lain di peringkat dunia.

“Ujian berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer di atas jalan raya dan 300 kilometer secara off-road termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

“Tatacara uji nilai dilaksanakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa.

“Nama kenderaan berperisai ini bersempena daripada nama Tarantula iaitu labah-labah bertaring yang besar,” katanya pada sidang media Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4×4 (HMAV4x4) di ibu negara, hari ini.

Selain itu, antara ujian lain dilakukan keatas Tarantula HMAX 4×4 termasuk ketahanan di lebuh raya, konsumsi bahan bakar, tahap muatan, kecekapan pengawalan dan ujian mendaki cerun.

Kejayaan anak tempatan menghasilkan kenderaan perisai pertama negara ini diharap dapat menjadi pendorong untuk lain-lain penciptaan di masa hadapan.

Pada masa sama, ia juga diharap menjadi lebaran baharu bagi kejuruteraan Malaysia dalam sektor pertahanan global.