Arkib Tag: Kereta api laju

Brunei nafi terlibat dalam projek Trans Borneo Railway

Berbeza dengan apa yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan Brunei Darussalam semalam (4 April) menafikan penglibatan negara itu dalam cadangan pembinaan projek Trans Borneo Railway.

Menurut laporan Astro Awani, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman Facebook GOVBN menjelaskan kerajaan Brunei tidak pernah melantik mana-mana syarikat tempatan atau luar negeri untuk mengendalikan projek berkenaan.

 

 

Pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei turut memaklumkan tiada sebarang perbincangan rasmi diperingkat kerajaan berkenaan perkara tersebut.

Berdasarkan laporan Utusan Borneo beberapa hari lepas, sebuah syarikat swasta Brunergy Utama mengumumkan cadangan projek Trans Borneo Railway merentasi tiga negara, iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

 

 

Projek kereta api berkelajuan tinggi itu merangkumi laluan sepanjang 1,620 km, selain mampu mencapai kelajuan operasi 300-350 km/j.

 

Kereta api berkelajuan tinggi: Jakarta – Bandung hanya 36 minit!

INDONESIA dijangka bakal memperoleh kereta api berkelajuan tinggi tidak lama lagi.

Melibatkan jajaran Jakarta – Bandung, ia mempunyai jarak lebih 142 kilometer.

Projek diterajui PT Kereta Cepat Indonesia – China itu dijangka menelan belanja lebih US$ 6.07 bilion!

Menerusi pembinaan rel ini, Indonesia memiliki kepentingan 60 peratus dan China, 40 peratus.

Bagaimanapun, projek bermula 2016 ini ditangguh seketika susulan ancaman penularan pandemik Covid-19 dan dijangka disambung tahun depan.

Apa yang perlu anda tahu?

Rel kereta api berkelajuan tinggi ini dijangka mampu meningkatkan ekonomi antara kedua bandar paling pesat di Indonesia.

Mempunyai kelajuan 200 sehingga 250 km/j, ia bukan sahaja memudahkan mobiliti sosial malah menjadi salah satu tarikan baharu di Indonesia.

Perjalanan antara dua pusat bandar itu akan mengambil masa selama 36 minit iaitu jauh berbeza berbanding ketika ini (perjalanan Jakarta – Bandung memakan masa lebih tiga jam).

Lagi fakta projek kereta api laju Jakarta – Bandung

Perancangan di atas kertas menyaksikan terdapat lebih empat stesen yang akan dibina.

Salah satu stesen akan berada di Gambir iaitu terletak di zon eksekutif dekat Monumen Nasional atau Monas.

Selain itu, Manggarai akan menjadi lokasi kedua stesen yang dijangka memberi impak besar kerana mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Stesen ketiga akan dibina berhampiran lapangan terbang sekaligus memberi akses kepada pelancong.

Sementara stesen keempat akan dibina di Walini dekat Bandung Barat.

Pembinaan di Walini diharap dapat meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat selain memeriahkan industri pelancongan di Bandung.

Kos dan faedah projek kereta api laju Jakarta – Bandung

Projek ini dibiayai melalui pinjaman daripada China.

China Development Bank menyediakan sekitar 75 peratus pembiayaan dan kos selebihnya diatur oleh rakan usaha sama.

Pinjaman memakan tempoh selama 40 tahun.

Projek ini membuka 40,000 pekerjaan setahun selain memberi impak positif kepada pelaburan, pembuatan, infrastruktur, penjanaan tenaga, elektronik, perkhidmatan dan logistik.

Secara tidak langsung, Jakarta – Bandung bakal mengalami pembangunan lebih terancang selain melimpahkan peluang ekonomi kepada penduduk.

Tahniah Indonesia kerana bakal memiliki kereta api berkelajuan tinggi pertama!

Semoga manfaat ini dapat melancarkan aktiviti ekonomi selain memberi tempias kepada rakan negara jiran lain.