Arkib Tag: kerajaan Malaysia

Kerajaan pertimbang guna kereta elektrik dan hibrid sebagai kenderaan rasmi

KERAJAAN kini dalam pertimbangan untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan, lapor Sinar Harian.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong semasa sesi jawapan lisan Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambah beliau, perkara ini sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mencadangkan supaya pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan serta pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

“Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan peningkatan yang ketara dalam permintaan terhadap EV kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata setiap tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut Chin Tong lagi, usaha menarik pelabur untuk memasang infrastruktur pengecas juga berkesan di mana jumlah stesen pengecasan meningkat 51 peratus pada 2022 berbanding pada 2020. Ini menjadikan jumlah pengecasan sebanyak 902 unit pada ketika ini.

Dalam pada itu Chin Tong memaklumkan, kerajaan akan mewujudkan pasukan petugas EV bagi meneliti dasar memperbanyakkan lokasi pengecasan di seluruh negara untuk mengimbangi permintaan pengguna.

“Untuk masa akan datang memang kita akan lihat lebih banyak lokasi pengecasan dan pasukan petugas akan menggariskan dasar, insentif dan inisiatif bagi membantu wujudkan lokasi pengecasan bervoltan tinggi.

“Kalau ada lebih banyak lokasi pengecasan ini, kita tidak akan menghadapi masalah permintaan lagi dan bagi dasar cukai jalan EV pula akan diuruskan oleh jemaah menteri nanti,” katanya.

Ching Tong memaklumkan, jumlah sedia ada untuk unit EV dan hibrid di negara ini mencecah 21,659.

Nik Nazmi: Kerajaan cadang bawa masuk EV harga bawah RM100k

MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan bercadang untuk membawa masuk kenderaan elektrik (EV) di bawah harga RM100,00.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan bukan hanya golongan berpendapatan tinggi mampu menggunakan kenderaan tersebut.

Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida.

“Sekarang kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas, jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah.

“Itu kita akan tengok bagaimana kerajaan dapat main peranan bersama dengan kerjasama syarikat-syarikat automotif, katanya.

Malah Nik Nazmi berkata, EV akan dijual dengan lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini.

”Kerajaan sedang lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik, dan antara saya ingat, faktor penting adalah bila Proton sekarang akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat namun itu dari luar negara.

“Kalau kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia mungkin akan bantu kita untuk tawarkan kenderaan-kenderaan EV yang (harga) lebih rendah,” katanya lagi.