Arkib Tag: kenderaan awam

Lima senarai pengangkutan awam pelik di dunia, mana pilihan anda?

PENGANGKUTAN awam memainkan peranan sangat penting kepada manusia sama ada di kawasan bandar atau pendalaman.

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam sama ada melibatkan jalan darat, air atau udara.

Justeru, artikel kali ini ingin membawa anda mengenali beberapa jenis kenderaan awam yang mungkin agak pelik bagi kita.

Jom check it out!

Cocotaxi

Foto ihsan Wikipedia

Cocotaxi merupakan pengangkutan awam di Cuba yang beroperasi sejak awal tahun 90-an.

Ia merupakan beca yang boleh didapati di kebanyakan kota besar negara itu termasuk Havana.

Apa yang menarik, beca ini mempunyai reka bentuk seakan kelapa dan sangat kecil bagi memudahkan pergerakan terutama ketika keadaan sesak.

Kenderaan ini juga dikatakan mempunyai kelajuan maksimum sehingga 50 km/j.

Party bike

Foto ihsan Wikipedia

Party bike mula popular di Belanda pada tahun 1997.

Kenderaan ini membawa penumpang mengelilingi jalan-jalan sekitar bandar sambil menghidangkan pelbagai jenis minuman terutama alkohol kepada penumpang.

Sesuai dengan namanya, Party bike bukanlah berfungsi membawa penumpang dari destinasi A ke B tetapi lebih menawarkan hiburan sambil bersiar.

Kini, Party bike juga boleh didapati di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Bamboo train

Foto ihsan Wikipedia

Perkhidmatan bamboo train beroperasi di negara Kemboja yang mana menghubungkan penduduk di kawasan pendalaman.

Walaupun namanya “train” (kereta api) namun, rupa bentuknya bukan seperti yang terdapat di negara kita.

Bamboo train tidak mempunyai bumbung dan hanya digerakkan menggunakan enjin kecil.

Kelajuan ‘kereta api’ ini adalah sekitar 40 km/j dan bergantung kepada kuasa enjin yang digunakan.

Maglev

Foto ihsan Wikipedia

Jika di kemboja terdapat bamboo train, lain pula ceritanya di Jepun.

Di Jepun, terdapat sebuah kereta api berkelajuan tinggi dikenali sebagai maglev.

Namun, apakah itu maglev?

Maglev adalah kereta api berkelajuan tinggi menggunakan daya magnetik dan elektrik untuk bergerak.

Kelajuan boleh dicapai maglev ini mencecah lebih 600 km/j dan merupakan kenderaan darat terpantas di dunia.

Ketika ini, kerajaan Jepun sedang membina rel baharu menghubungkan Tokyo dan Nagoya yang dijangka siap menjelang tahun 2045.

Tuk-tuk

Foto ihsan Wikipedia

Nama tuk-tuk bukan asing bagi kebanyakan kita walaupun negara ini tidak mempunyai perkhidmatan tersebut.

Terdapat pelbagai jenis tuk-tuk dan antara paling terkenal adalah di Thailand dan India (dikenali sebagai auto).

Tuk-tuk sebenarnya berasal dari Jepun iaitu hasil pengeluaran syarikat Daihatsu pada tahun 1930-an.

Antara negara mempunyai perkhidmatan tuk-tuk termasuk Mesir, Sudan, France, Tanzania dan Amerika Syarikat.

Demikian tadi beberapa kenderaan pengangkutan awam yang agak pelik di dunia ini.

Jika anda tahu dan ingin kongsikan kenderaan awam unik yang lain jangan lupa untuk maklumkan di ruangan komen sosial media Engear.

Lanjutan percuma satu tahun untuk kenderaan perkhidmatan awam – MOT

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen/permit kenderaan.

Gambar oleh: Malaymail

Inisiatif ini adalah demi membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Lanjutan ini juga adalah termasuk kepada yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, serta mencapai had usia maksima penggunaan untuk tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.