Arkib Tag: Kementerian Kewangan

Terus bela rakyat, kerajaan kaji mekanisme pemberian subsidi petroleum

MEKANISME pemberian subsidi produk petroleum akan dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang kaedah pemberian subsidi bagaimanapun akan diperhalusi serta diteliti terlebih dahulu.

Jelas Datuk Mohd Shahar Abdullah, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.

“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini,” katanya.

Ketika ini, setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah memberikan hasil RM300 juta kepada kerajaan dan jumlah subsidi ditanggung untuk RON95 adalah RM1.65.

“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta.

“Jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling.

“Kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya lagi.

Harga petroleum sering mendapat perhatian ramai memandangkan ia memberi kesan besar kepada banyak perkara khusus sektor ekonomi.

Namun, kerajaan sentiasa memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan rakyat agar tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga bahan api.

Tukar Vellfire kerana kos sewaan lebih rendah dari Proton Perdana – MOF

PENUKARAN Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dapat menjimatkan perbelanjaan sewaan kenderaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF sebelum itu memaklumkan kos sewaan bulanan bagi Vellfire adalah lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Perdana iaitu RM4,854.41.

“Penukaraan model KRJ juga dibuat berikutan penamatan pengeluaran Proton Perdana 2.4 Premium pada 2014”, menurut kenyataan itu.

Proton Perdana 2.4 Premium

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai penggunaan model MPV Toyota Vellfire 2.5L menggantikan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri apabila proses penggantian kenderaan itu dimulakan pada April lepas.

Menurut kementerian itu, cadangan penukaran model kereta yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri itu telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, namun hanya dilaksanakan tahun ini.

“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebelumnya dijadualkan setiap empat tahun sekali.”

Bank diarah beri moratorium tanpa faedah bermula Okt sehingga Dis 2021

KEMENTERIAN Kewangan mengarahkan institusi perbankan negara ini segera memberikan pengecualian faedah bayaran bagi penerima moratorium pinjaman bank.

Memetik laporan The Edge, ia melibatkan penerima moratorium dari segmen B50.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian bayaran faedah akan diberikan selama tempoh tiga bulan dalam suku keempat tahun 2021.

Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri mengumumkan moratorium pinjaman bank untuk tempoh enam bulan kepada semua warga negara Malaysia.

Ia adalah inisiatif di bawah pakej Pemulih seperti yang diberikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, tahun lalu.

Individu hanya perlu memohon dengan bank bagi membolehkan penangguhan bayaran kepada tarikh kemudian tanpa pengecualian daripada kadar faedah.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata langkah diambil kerajaan ini diharap dapat memulihkan keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Perubahan terhadap peraturan ini akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober.

“Ia untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam sekaligus mengekang Covid-19. Pada masa sama dapat memperbaiki bantuan tunai secara langsung kepada rakyat,” katanya.