Arkib Tag: Kelana Jaya

Rapid KL janji siasat insiden pintu LRT terbuka

SUSULAN insiden pintu tren Transit Aliran Ringan (LRT) terbuka ketika beroperasi, Rapid KL tampil memohon maaf.

Menerusi satu kenyataan semalam, Rapid KL memandang serius kejadian itu selain berjanji akan menyiasat punca insiden.

Jelas Rapid KL, tren terbabit telah menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ia kemudian dihantar ke depot untuk pemeriksaan segera dan siasatan lanjut,” memetik kenyataan itu.

Kelmarin, pintu tren LRT bagi laluan Kelana Jaya terbuka semasa sedang beroperasi sebaik meninggalkan Stesen LRT Ara Damansara.

Insiden jam 3.01 petang disedari pusat kawalan operasi sebelum menghentikan perkhidmatan tren terbabit.

Rapid KL turut melakukan pelan mitigasi sewajarnya bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Bekalan kuasa lima stesen LRT ditutup untuk kerja pembaikan

DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang berdepan kemalangan tempoh hari berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian, awal pagi ini.

Kedua-dua tren terbabit dibawa keluar Team Recovery Rapid Rail sekitar jam 5.24 pagi tadi.

Tren (TR40) selamat sampai ke depoh Subang sementara TR81 dibawa ke depoh Gombak.

Ketika ini, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menumpukan kepada kerja pembaikan landasan di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Bagi tujuan itu, pasukan Prasarana terpaksa menutup pembekalan kuasa untuk seluruh jajaran terlibat dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai.

Terdapat lima stesen terlibat dengan penutupan bekalan kuasa iaitu:

• Stesen Damai
• Stesen KLCC
• Stesen Ampang Park
• Stesen Kampung Baru
• Stesen Dang Wangi

Kelihatan beberapa petugas sedang membaiki laluan tren yang rosak akibat kemalangan.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan sebaik kerja pembaikan selesai.

Sementara itu, Prasarana mengesahkan terdapat satu landasan ditutup susulan kemalangan pada Isnin.

Masa perjalanan yang diambil untuk sesebuah tren adalah 16 minit.

Justeru, semua pengguna diminta bersabar dengan sebarang kesulitan yang dihadapi.

Pada malam Isnin lalu, dua tren berlanggar antara satu sama lain di laluan antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Insiden menyebabkan puluhan pengguna cedera dan dikejarkan ke hospital.

Laporan penuh insiden kemalangan dipercayai diperoleh dalam masa terdekat.

LRT dijangka kembali beroperasi lebih awal, Tajuddin ‘okey’ dipecat

MENTERI Pengangkutan menjangkakan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kembali beroperasi lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia selepas serpihan di kawasan kemalangan telah dibersihkan serta mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) akan segera membuat ujian perjalanan dengan tren lain (tanpa penumpang) pada tengah malam.

“(Ia) bagi memastikan semua laluan selamat digunakan khususnya di kawasan kemalangan itu,” katanya di Facebook, semalam.

Kesemua 58 buah tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin sekaligus mengelak kesesakan dan kepadatan penumpang.

Pada Isnin, dua buah tren LRT bertembung dalam terowong di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Kejadian pada 8.45 malam itu menyebabkan 47 penumpang parah dengan 166 yang lain cedera ringan.

Terdahulu, Wee memohon orang ramai bersabar dengan segala kesulitan yang timbul.

Jelasnya, segala usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran perjalanan perkhidmatan LRT.

“Sekali lagi saya memohon pengguna tren supaya bersabar sedikit masa lagi sebelum keadaan kembali normal,” katanya lagi.

Pengerusi Prasarana dipecat

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah dipecat pada semalam.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dibuat menerusi sepucuk surat ditandatangani Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi surat berkenaan, Tengku Zafrul merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan Tajuddin sepanjang memegang jawatan itu.

Memetik laporan Malay Mail, Tajuddin memaklumkan tidak terkesan dengan pemecatan itu sambil menganggap ia bukan suatu isu yang besar.

Pada masa sama, Tajuddin mengucapkan terima kasih dengan keputusan kerajaan itu memandangkan dirinya kini boleh memberi tumpuan terhadap tugas lain.

“Apa isunya? Apa masalahnya? Silakan pecat. Terima kasih kerana saya boleh beri tumpuan untuk tugas lain,” katanya.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Ia bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

SOP PKP diperketat, foto LRT sesak tular di media sosial

TINDAKAN kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) menyaksikan berlaku kesesakan di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT), hari ini.

Rata-rata penumpang merungut dengan situasi itu sekaligus melambatkan perjalanan mereka.

Memetik status pengguna media sosial bernama Rizal Hakimm, keadaan itu didakwa berlaku susulan jumlah penumpang terpaksa dikurangkan.

Ia bertambah buruk dengan insiden pelanggaran dua tren LRT laluan Kelana Jaya, semalam.

“Hari ini dan sepanjang PKP yang naik LRT bertabahlah. Ramai merungut.

“Kapasiti penumpang dikurangkan 50 peratus dan masa menunggu LRT atau kekerapan dipanjangkan antara 10 hingga 30 minit.

“Tambahan pula kes (kemalangan) semalam jadi bertambah serius situasi sebab hari ini contohnya guna satu landasan sahaja.

Tapi dalam tren tetap penuh sebab bila dah selepas dua, tiga stesen semakin ramai penumpang.

“Patutnya masa menunggu atau kekerapan tren dikekalkan cuma kapasiti penumpang sahaja dihadkan,” dakwanya di Facebook.

Kelihatan penumpang dalam keadaan sesak yang didakwa berlaku di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT), hari ini.

Semalam, dua buah tren LRT terlibat dalam satu kemalangan kira-kira jam 8.45 malam.

Insiden menyebabkan terdapat kelewatan perjalanan LRT bagi laluan Kelana Jaya.

Seorang penumpang kelihatan cedera selepas tren dinaiki berdepan kemalangan, malam ini.

Terdahulu, pihak polis diminta menyiasat jika ada unsur kecuaian membabitkan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan siasatan perlu didedahkan segera demi kepentingan awam.

Loke yang juga bekas menteri pengangkutan turut menggesa kes didakwa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya melibatkan kecuaian manusia.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa turut mengucapkan rasa simpati terhadap insiden terbabit.

Memuat naik ciapan di Twitter, Annuar pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada pasukan kecemasan yang bertungkus lumus menguruskan penumpang cedera.

Kemalangan LRT: Mangsa anggap mimpi ngeri, kongsi detik cemas

“KEJADIAN ini adalah tragedi dan satu mimpi ngeri.”

Demikian luahan salah seorang mangsa kemalangan Tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada semalam.

Individu hanya dikenali sebagai Lim Mahfudz berkata, kemalangan itu merupakan pengalaman ngeri dalam hidupnya namun, tetap bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya.

“Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” katanya di Twitter.

Semalam, dua tren LRT laluan Kelana Jaya terbabit dalam satu kemalangan kira-kira jam 8.45 malam.

Kemalangan berlaku apabila dua tren terbabit bertembung dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Setakat ini, 166 penumpang dilaporkan cedera sementara 47 yang lain cedera parah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tiada bukti kemalangan berpunca kerana faktor usia tua. - Foto oleh Shafwan Zaidon

Siasat kemalangan LRT

Susulan kemalangan membabitkan dua LRT semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong turut melawat lokasi kejadian.

Kesal dengan insiden berlaku, Ka Siong berjanji satu siasatan menyeluruh akan dijalankan secepat mungkin oleh pasukan panel penyiasat khas.

Tambah Ka Siong, laporan awal insiden akan dihantar kepadanya oleh ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada pagi ini.

Sementara, hasil siasatan oleh pasukan khas pula dijangka dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam tempoh dua minggu.

PM arah tindakan tegas

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan rasa simpati terhadap mangsa kemalangan tren LRT semalam.

Pada masa sama, beliau mengarahkan semua mangsa cedera diberi rawatan menyeluruh memandangkan negara berada dalam gelombang pandemik Covid-19.

Muhyiddin turut mengarahkan MOT dan Prasarana Malaysia Berhad melakukan siasatan penuh selain mengambil tindakan tegas dengan segera.

Sekilas fakta kemalangan LRT laluan Kelana Jaya

  • Berlaku kelewatan jadual tren LRT laluan Kelana Jaya
  • Penumpang merungut di media sosial berhubung kelewatan tren
  • Pengendali akaun Twitter Prasarana Malaysia Bhd berkata terdapat masalah teknikal
  • Dua tren nombor 40 dan 81 bertembung pada jam 8.45
  • Tren bertembung antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC
  • 47 penumpang cedera parah, 166 yang cedera ringan
  • Mangsa tercedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut
  • Insiden pertama kali berlaku sejak 23 tahun LRT beroperasi
Pasukan bomba dan paramedik memberi bantuan kepada penumpang tercedera.

Tren LRT bertembung, 47 penumpang parah

DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terlibat dalam satu kemalangan, malam ini.

Memetik laporan media insiden menyebabkan 47 penumpang parah manakala, 166 yang lain cedera ringan.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian melibatkan tren nombor 40 dan 81.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan.

“Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” memetik kenyataan itu.

Setakat berita ini dilaporkan, bantuan menyelamat masih diteruskan pasukan paramedik.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Maklumat awal mendapati kedua-dua tren berkenaan bertembung dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Insiden berlaku jam 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang rosak dan sedang dipandu uji.

Sementara itu, beberapa foto dan video tular di media sosial berhubung kemalangan tersebut.

Menerusi foto dan video tular, kelihatan beberapa penumpang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.

Berita lanjut berhubung kejadian ini akan dilaporkan dari masa ke masa.