Arkib Tag: JSPT

Mforce serah enam motosikal kepada JSPT PDRM untuk program PoC

Mforce Bike Holdings menyerahkan enam unit motosikal kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM baru-baru ini.

Penyerahan tersebut dibuat di ibu pejabat Mforce di Valdor, Pulau Pinang melibatkan dua unit bagi setiap model berikut:

  • CFMOTO 1250TR-G
  • BRIXTON K750GT
  • MOTO MORINI  X-CAPE 1200

Jalani ujian pembuktian konsep

Ketiga-tiga model tersebut akan digunakan untuk menjalani program pembuktian konsep (POC) selama tiga bulan.

Sepanjang program, pihak JSPT akan menguji kesesuaian untuk tugasan polis merangkumi aspek berikut:

  • pengendalian
  • keselesaan tunggangan
  • fungsi kelengkapan
  • kesesuaian dengan operasi harian

Dua model iaitu CFMOTO 1250TR-G dan BRIXTON K750GT akan diketengahkan sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi.

Sementara jentera dwi-kegunaan MOTO MORINI X-CAPE 1200 akan turut dinilai di bawah program yang sama.

Hasil penilaian daripada pihak JSPT akan membantu Mforce mengenal pasti ruang penambahbaikan serta penyesuaian yang diperlukan bagi setiap model.

Bagi Mforce, pelaksanaan PoC ini merupakan langkah penting dalam membangunkan penyelesaian mobiliti yang bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan.

 

Harley-Davidson serah 3 unit motosikal kepada PDRM untuk tujuan penilaian

Route 77 Harley-Davidson Kuala Lumpur baru-baru ini menyerahkan tiga unit motosikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian konsep (POC).

Tiga model yang diserahkan itu ialah:

  • Low Rider ST
  • Street Glide
  • Pan America

Program POC ini membolehkan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meneliti aspek kesesuaian, prestasi, pengendalian serta praktikaliti terutama bagi tugasan pengiring dan tugas rasmi.

Bakal beraksi di LTdL 2026

Acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan menjadi medan terbaik untuk anggota JSPT merasai sendiri karakter setiap platform dalam persekitaran operasi sebenar.

Penggunakan sepanjang LTdL 2026 merupakan sebahagian daripada proses penilaian POC dan tidak bermaksud ia akan digunakan secara kekal oleh PDRM.

Menurut Pengarah JSPT, hasil daripada POC ini akan membantu pihaknya untuk membuat penilaian objektif berdasarkan keperluan operasi semasa.

“Dengan LTdL berlangsung sepanjang tempoh penilaian, ia menyediakan persekitaran dunia sebenar untuk anggota kami menilai motosikal ini dalam keadaan tunggangan dan operasi sebenar.

Inisiatif ini turut mencerminkan kerjasama antara sektor swasta dan PDRM dalam menilai platform serta teknologi motosikal yang berpotensi menyokong keperluan operasi trafik dan tugas pengiring yang semakin berkembang.

 

200 pegawai, anggota trafik digerakkan ke 142 hotspot atasi kesesakan lalu lintas Ramadan

DALAM usahanya untuk menangani kesesakan lalu lintas sepanjang Ramadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, kehadiran pegawai dan anggota JSPT adalah bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.

“JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.

Polis buru mat rempit kecundang di LPT, nombor plat sudah dikenal pasti

ANDA pastinya sudah melihat video yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal yang terjatuh di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) selepas melakukan aksi menunggang secara berbahaya.

Berikutan tularnya video berkenaan di media sosial, kumpulan mat rempit itu kini menjadi buruan polis.

Dalam satu hantaran di Facebook, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di LPT.

“JSPT sudah mengarahkan JSPT Pahang mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat.

“JSPT menggesa kepada mereka yang terbabit untuk segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor pendaftaran sudah dikenal pasti ,” tulis hantaran itu.

Dalam klip video berdurasi 28 saat itu, kumpulan mat rempit tersebut dilihat berlumba sesama sendiri sambil membuat aksi ‘superman’ sebelum seorang daripada mereka hilang kawalan lalu terjatuh.

Ini menyebabkan beberapa penunggang lain yang mengekori dari belakang pada kelajuan tinggi turut terjatuh selepas gagal mengelak rakan mereka yang terbabas itu.

Lampu hazard waktu hujan suatu kesalahan – JSPT

ANDA pasti biasa jumpa kereta yang menyalakan lampu kecemasan ‘double signal’ atau lampu hazard semasa hujan lebat, bukan? Tetapi adakah cara ini betul dan selamat?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbuatan menyalakan lampu hazard adalah dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

Lampu hazard dalam hujan. Gambar oleh: FOX 13 Tampa Bay

“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard.

“Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,” katanya.

Menurut Mohd Azman, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat.

“la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?” tambahnya.

PDRM kemas kini aplikasi MyBayar Saman, mudahkan orang ramai

ORANG ramai ingin melunaskan saman trafik boleh menarik nafas lega dengan usaha pihak polis untuk menambah baik platform e-bayaran dan aplikasi MyBayar Saman.

Memetik berita Bernama, langkah diambil Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) adalah bagi meningkatkan keberkesanan kutipan saman.

Pada masa sama, ia juga memudahkan orang ramai untuk membuat bayaran saman hanya menggunakan platform secara dalam talian.

Antara kemas kini dibuat termasuk memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran dikenakan terhadap individu.

Setakat ini, polis merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman.

Sehingga semalam, 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengumukan tawaran diskaun bagi saman trafik sempena sambutan Hari Polis ke-214.

Tawaran bermula 25 Mac hingga semalam.