Arkib Tag: Johor Bahru

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

LRT mungkin dibina di Johor Bahru – Menteri Pengangkutan

KERAJAAN sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) di Johor Bahru (JB) bagi meningkatkan sistem pengangkutan lebih baik bersepadu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah menerima cadangan daripada syarikat swasta bagi membina LRT di bandar raya itu.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Kita akan pertimbangkan semua cadangan termasuk daripada pihak swasta. Baru-baru ini, kita telah menerima cadangan sebuah syarikat swasta yang telah menyatakan minat untuk membina kemudahan LRT di Johor Bahru,” katanya.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada tahun lalu, Mohamad Fazli memberitahu Johor berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Anthony berkata, kementeriannya telah meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

“Perkembangan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura berjalan lancar. Walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun pihak MRT Corp sedang membetulkan masalah tersebut.

“Saya telah memberi arahan dari masa ke masa agar projek bilateral antara dua negara ini dapat disiapkan pada penghujung 2026 dan seterusnya beroperasi pada 2027,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dilaporkan berkata, pembinaan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Republik itu sudah mencapai tahap 45 peratus.

Puspakom Glenmarie, Johor Bahru ditutup sementara

ORANG ramai berhasrat menggunakan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Glenmarie dan Johor Bahru diminta menangguhkan terlebih dahulu niat tersebut.

Ini kerana kedua-dua cawangan itu ditutup seketika bagi pelaksanaan proses sanitasi dan disenfeksi.

Penutupan sementara turut melibatkan perkhidmatan bergerak di Johor sehingga tempoh diberitahu kelak.

Pelanggan telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan terlibat akan menerima pembayaran semula secara automatik.

Puspakom turut mencadangkan pelanggan yang ingin juga mendapatkan perkhidmatan mereka ke cawangan terdekat lain.

“Pelanggan telah membuat temujanji di cawangan Glenmarie dibenarkan hadir pemeriksaan secara walk-in di Puspakom Padang Jawa atau Petaling Jaya.

“Manakala, bagi cawangan Johor Bahru pelanggan boleh hadir ke cawangan alternatif iaitu Puspakom Pasir Gudang, Senai atau Kluang.

“Pelanggan perlu menunjukkan bukti slip temujanji pemeriksaan cawangan yang terlibat dengan penutupan,” memetik kenyataan Puspakom.

Terdahulu, Puspakom berkata walaupun pemeriksaan secara walk-in dibenarkan namun, pelanggan tetap digalakkan membuat temujanji bagi mengelak berlaku kesesakan.

Pelanggan juga diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan.