Arkib Tag: Jimny 5 pintu

Suzuki Jimny 5-pintu dibuka untuk tempahan di Malaysia

NAZA Eastern Motors, pengedar sah kenderaan Suzuki di Malaysia, baru-baru ini memuat naik gambar imej teaser bagi sebuah model yang akan datang ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Walaupun gambar puzzle yang dimuatnaik itu tidak lengkap, ia jelas menunjukkan yang kenderaan tersebut adalah Jimny 5-pintu.

Menerusi kapsyen dalam hantaran itu, Naza Eastern Motors berkata tempahan untuk model itu telah pun dibuka. Bagaimanapun, tarikh pelancaran rasminya masih belum diumumkan.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia juga masih belum diketahui namun jika melihat kepada spesifikasi bagi pasaran global, Jimny 5-pintu didatangkan dengan enjin petrol K15B 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 102 PS dan 130 Nm.

Enjin tersebut boleh didapati dengan pilihan transmisi manual dan automatik namun untuk pasaran tempatan, kami menjangkakan model ini hanya akan ditawarkan dalam versi automatik seperti model 3-pintu.

Dari segi saiz pula, sudah tentu Jimny 5-pintu lebih besar jika dibandingkan dengan versi 3-pintu. Ia mempunyai ukuran panjang 3,985 mm dan jarak roda 2,590 mm, iaitu 340 mm lebih panjang berbanding adiknya itu.

Ukuran lebar, tinggi dan jarak lega tanah (ground clearance) semuanya kekal pada 1,645 mm, 1,720 mm dan 210 mm.

Bagaimanapun, dengan badan yang lebih panjang, sudut pendekatan Jimny 5-pintu berkurang dari 37 kepada 36 darjah, begitu juga dengan sudut breakover yang turut berkurang dari 28 kepada 24 darjah.

Namun begitu, ukuran dimensi yang lebih besar memberikan Jimny 5-pintu ruang but yang lebih besar iaitu 211 liter (berbanding 85 liter di dalam Jimny 3-pintu) dan ruang kaki penumpang belakang yang lebih luas.

Harga jualan juga masih belum didedahkan namun sudah tentu ia lebih mahal berbanding versi 3-pintu yang dijual pada harga bermula dari RM168,900 untuk Rainforest Edition.

Suzuki Jimny 5 pintu bakal diperkenalkan 13 Januari 2023

DESAS desus mengenai Suzuki Jimny versi lima pintu telah bukanlah baharu – ia kedengaran sejak model itu dilancarkan ke pasaran pada 2018 lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa model itu akan hadir pada penghujung 2022 namun dengan beberapa hari lagi tinggal sebelum tahun baru menjelma, nampaknya ia tidak benar.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, Best Car Web mendakwa Jimny lima pintu akan dilancarkan secara rasmi di acara Auto Expo di India pada 13 Januari 2023.

Sumber gambar: Motor1

Menurut laman web automotif Jepun itu lagi, SUV kompak itu mempunyai badan yang lebih panjang berbanding versi tiga pintu dengan perbezaan sebanyak 300 mm dari segi ukuran tapak roda dan panjang keseluruhan.

Ini secara tidak langsung memberikan Jimny lima pintu pintu belakang yang lebih panjang dan tingkap kecil baharu. Sementara itu, rekaan bahagian-bahagian lain seperti tailgate dengan tayar ganti dan bampar dijangka sama seperti versi tiga pintu.

Untuk trenkuasa, Best Car Web melaporkan model itu akan hadir dengan enjin hibrid yang merangkumi enjin petrol K15B 1.5-liter dan sebuah motor elektrik dengan 33 hp dan 60 Nm. Ia dijangka hadir dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan, serta sistem pacuan AllGrip Pro 4WD dengan transfer case belakang.