Arkib Tag: jentera

Pemandu backhoe ‘naik angin’, sodok Fortuner JPJ hingga terbalik

TIDAK puas hati akibat disaman, seorang lelaki nekad melanggar Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jentera backhoe yang dipandunya.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, Keningau, Sabah, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk dan terbalik.

Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki backhoe terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar SUV milik JPJ sehingga terbalik.

Beberapa video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, tiada anggota JPJ yang tercedera, namun Fortuner dilanggar lelaki terbabit rosak teruk.

Boleh tahan juga dia marah ya, mujurlah tiada sesiapa yang tercedera.

Keuntungan bersih UMW Holdings meningkat dua kali ganda pada 1Q21

KUMPULAN UMW Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM97.3 juta.

Angka itu dicatatkan bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021 sekaligus meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sama, tahun lalu.

Memetik kenyataan dikeluarkan UMW, keuntungan didorong jumlah penjualan automotif yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, prestasi perniagaan bagi segmen automotif meningkat sangat ketara.

Ia disebabkan oleh pakej pengecualian cukai penjualan dan pelancaran model-model baharu syarikat itu.

“Pengurusan kos secara teliti juga menyumbang kepada peningkatan hasil kewangan.

“Kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos untuk menghasilkan pulangan lebih baik kepada pemegang saham,” katanya.

Sementara itu, UMW turut berharap pelancaran model baharu serta kadar faedah rendah dapat terus mendorong momentum penjualan untuk tahun ini.

Mengulas mengenai isu kekurangan cip semikonduktor pula, UMW akan terus meneroka pelbagai kerjasama dengan pihak pembekal.

Antara langkah diambil termasuk mencari sumber alternatif bagi cip semikonduktor.

Bagi segmen jentera, ia meningkat kepada RM332.5 juta pada suku pertama tahun 2021.

Senario ini disebabkan permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan bagi operasi tempatan serta luar negara.

Prestasi bagi sub-segmen jentera industri dijangka kekal positif terutama ketika pasca pemulihan pandemik Covid-19.

Kumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat bertaraf antarabangsa yang memajukan pertumbuhan industri serta melibatkan diri dalam pelbagai usaha sama.

Ia memberi tumpuan kepada empat segmen perniagaan teras iaitu automotif, jentera, pembuatan, kejuruteraan dan aeroangkasa.   Setakat ini UMW memiliki lebih 7,000 kakitangan.