Arkib Tag: Jason Dupasquier

Syukur kutip tujuh mata di Mugello, Wazi puji Hafizh

MENDUDUKI tempat kesembilan kejohanan Grand Prix Itali, pelumba Moto2 kelahiran Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaannya kepada Jason Dupasquier.

Hafizh berkata demikian sejurus berjaya menamatkan perlumbaan yang merupakan keputusan terbaiknya bagi musim ini.

“Ini untuk Jason yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula,” katanya.

Pada Sabtu, Dupasquier berdepan kemalangan ketika sesi kelayakan di Litar Mugello, Itali.

Pelumba berusia 19 tahun kemudian dilaporkan meninggal dunia pada Ahad selepas mendapat rawatan di hospital.

Pelumba Moto3 Jason Dupasquier meninggal dunia pada Ahad selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika sesi kelayakan Moto3, Sabtu lalu.

Terdahulu, Hafizh mengakui gembira dengan keputusan dicatatkan walaupun menerima tekanan daripada pelumba lain.

Mewakili pasukan NTS RW Racing GP, Hafizh mengakui berdepan tekanan di laluan lurus.

“Syukur tempat kesembilan, walaupun saat terakhir dipotong Cameron. Laluan lurus agak sukar untuk saya nak dapatkan kelajuan.

“Saya dah cuba yang terbaik, tetapi banyak kali pelumba lain memotong saya di laluan lurus.

“Saya cuba lawan di ‘breaking’, selekoh, untuk pintas…pusingan terakhir itu saya cuba menjarakan diri, tapi laluan lurus itu agak sukar.

“Motosikal saya masih kekurangan aerodinamik atau kelajuan. Apapun, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penaja atas sokongan selama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas pelumba legend negara Wazi Abdul Hamid menasihati para pelumba tempatan mengikut jejak langkah Hafizh.

Katanya, Hafizh bukan sahaja mampu menamatkan perlumbaan dengan sempurna malah, berjaya menutup ruang bagi pelumba lain memintasnya.

“Tahniah clean race by HS55 (Hafizh) di Mugello tadi (semalam).

“Pada adik-adik junior dalam Malaysia Cub Prix Championship boleh belajar sesuatu bagaimana pelumba seperti HS55 keep hold the line walaupun diasak pelumba dalam class Moto2.

Salute to the Malaysian racer,” katanya di Facebook.

Wazi merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran sebelum ini.

Tidak lagi bergelar pelumba profesional, Wazi kini merupakan penasihat bagi sukan lumba motosikal.

Tiada lagi ‘permata Swiss’, ini anda perlu tahu tentang Dupasquier

TRAGEDI menimpa pelumba Moto3 Jason Dupasquier yang maut selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi kelayakan Grand Prix Itali masih mengejutkan ramai pihak.

Kematian Dupasquier, 19, bukan sahaja memberi kesan kepada pelumba lain malah, menimbulkan rasa sedih kepada peminat sukan itu.

Rata-rata menyifatkan Dupasquier sebagai pelumba serba boleh selain mempunyai masa depan cerah dalam karier diceburinya.

Mengimbau kembali sejarah Dupasquier sebagai pelumba motosikal profesional, bakatnya mula menyinar selepas memenangi beberapa kejohanan Swiss SuperMoto.

Dupasquier kemudian menyertai Moto3 pada 2018 selepas menandatangani kontrak bersama pasukannya selama dua tahun.

Tiga tahun bergelar pelumba Moto3, Dupasquier menunjukkan prestasi terbaiknya pada perlumbaan di Sepanyol, Mei lalu.

Pada perlumbaan itu, Dupasquier berjaya menamatkan saingan di posisi ke tujuh dengan 27 mata keseluruhan.

MotoGP mengucapkan salam takziah kepada keluarga pelumba Moto3 Jason Dupasquier.

Sabtu lalu, sesi kelayakan Moto3 di Mugello mengejutkan ramai peminat sukan permotoran dengan kemalangan meragut nyawa Dupasquier.

Pelumba asal Switzerland itu terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga jentera lain.

Malang menimpa Dupasquier apabila bukan sahaja terjatuh dari jenteranya malah turut dilanggar pelumba lain.

Memetik laporan media antarabangsa, Dupasquier meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital pada Ahad.

Susulan itu, perlumbaan MotoGP dimulakan dengan ‘moment of silence’ bagi menghormati kematian Dupasquier.

Pelumba kelahiran Perancis Fabio Quartararo semakin bersinar pada perlumbaan musim ini.

Sementara itu, perlumbaan MotoGP Itali menyaksikan pelumba pasukan Yamaha Monster Energy Fabio Quartararo berjaya merangkul podium di tempat pertama.

Bekas pelumba pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT) itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 0:41:16:344.

Kemenangan tersebut sekaligus melebarkan kedudukan keseluruhan pelumba dengan jolokan El Diablo itu dengan 105 mata.