Arkib Tag: jambatan

Jambatan Baltimore runtuh dirempuh kapal kontena Singapura

Sebuah jambatan utama Francis Scott Key di Baltimore runtuh baru-baru ini susulan dilanggar kapal kargo kontena yang berdaftar di Singapura jam 1.30 tengah hari waktu tempatan, Selasa lalu.

Kapal kargo Dali berukuran 290 meter yang membawa 4,679 kontena itu dilapor dalam perjalanan dari Baltimore menuju ke Colombo di Sri Lanka, dikendalikan oleh 22 orang kru kapal.

Menurut laporan media antarabangsa, beberapa kenderaan terhumban ke dalam Sungai Patapsco, dan seramai 20 orang mangsa dipercayai berada di dalam sungai.

Gabenor Maryland, Wes Moore turut mengistiharkan darurat berikutan insiden tersebut.

Sementara itu, pengendali kapal Synergy Marine Group dalam satu kenyataan menyebut kesemua kru warga India selamat, dan tiada sebarang insiden kecederaan dan pencemaran dilaporkan.

 

Melaka rancang bina laluan terus hubungkan Malaysia dengan Indonesia, ambil masa 20 tahun

SATU laluan dirancang untuk dibina menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sumatera, Indonesia melalui Masjid Tanah-Dumai melibatkan jarak kira-kira 120km.

Terowong atau jambatan itu bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta dan dijangka mengambil masa 20 tahun.

Gambar sekadar lakaran.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

“Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

“Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual dalam Program Apa Khabar YB bersama Melakafm semalam.

Beliau berkata, laluan berkonsepkan ‘Satu Jalur Satu Jalan’ itu akan menjadi ikon baharu kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Ab Rauf berkata, selain itu, kawasan perindustrian baharu yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.

Katanya perancangan pembangunan kawasan perindustrian itu akan dilakukan menerusi Melaka Corporation sekali gus dijangka turut menyumbang kepada pembukaan bandar baharu di Masjid Tanah.

Ngeri! Jambatan RM2.9 juta hampir runtuh selepas dua minggu dirasmikan

NGERI dan menghairankan!

Itu dapat disimpulkan mengenai keadaan sebuah jambatan retak dan hampir runtuh di daerah Karawang, Indonesia.

Apa yang pelik, jambatan dibina dengan kos lebih 10 bilion rupiah atau bersamaan RM2.9 juta itu baru sahaja disiapkan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, jambatan itu siap dibina dan dibuka kepada kegunaan orang awam kurang dua minggu lalu.

Ketua Daerah Karawang Cellica Nurrachadiana berkata, pihaknya menggesa satu siasatan menyeluruh diadakan segera bagi mengelak insiden tidak diigini.

Ketua Daerah Karawang Cellica Nurrachadiana. – Foto ihsan Facebook / Cellica Nurrachadiana

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Baru dua minggu lepas saya rasmikan dan kini jambatan itu sudah retak dan hampir runtuh.

“Oleh hal yang demikian, saya minta pihak ketiga supaya bertanggungjawab kerana tidak memberikan pendapat atau pandangan yang terbaik mengenai pembinaannya,” katanya.

Jambatan dinamakan KW6 yang terletak di Karawang Barat itu telah dirasmikan oleh Cellica pada dua minggu lalu.

Insiden telah tular di media sosial selain mengundang kritikan ramai.

Rata-rata mempersoalkan kebolehan pihak kontraktor menyiapkan projek berkenaan sambil ada yang meragui sama ada wujud unsur rasuah.

Sementara itu, ada juga pihak mendakwa jambatan itu retak akibat pergerakan tanah.