Arkib Tag: Jalan Persekutuan

60 peratus jalan Persekutuan rosak, RM3 bilion diperlukan untuk kerja pembaikan

MENTERI Kanan Kerja raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan sebanyak RM3 bilion diperlukan untuk membaiki kira-kira 60 peratus jalan Persekutuan di negara ini yang sudah rosak atau luput tempoh hayatnya.

Memandangkan peruntukan yang tinggi diperlukan, beliau berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi selain mendapatkan maklum balas dari semua kementerian mengenai hala tuju pembinaan dan pembaikan semula jalan yang sudah luput tempoh hayat itu.

“Sebab itu, kita nak bekerjasama dengan beberapa pihak dan pendekatan kita adalah pelbagai namun yang penting kita kena bina baharu (jalan) supaya keselesaan serta keselamatan jalan itu terjamin kepada pengguna,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Tambah Datuk Seri Fadillah lagi, sejumlah RM130 juta peruntukan tambahan telah diluluskan Kementerian Kewangan pada 13 September lalu bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala di jalan Persekutan seluruh negara.

Beliau berkata, semua peruntukan telah selesai ditawarkan kepada kontraktor di negeri semenanjung melalui 180 kerja bernilai RM113 juta dan RM17 juta lagi disalurkan kepada kontraktor di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui 17 kerja.

“Kesemua kerja-kerja ini dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan setengah atau pada November depan,” katanya.

Fadillah: 1,474 cerun berisiko tinggi di Jalan Persekutuan seluruh negara

MUSIM Monsun Timur Laut melanda negara dibimbangi menjejaskan struktur jalan di beberapa buah negeri terlibat.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, lebih 1,474 cerun dikenal pasti berisko tinggi di Jalan Persekutuan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, Jalan Persekutuan dimaksudkan adalah FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86, dan FT185.

“Ia dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, pihak berwajib juga sedang memantau cerun di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan LPT Fasa 2.

Pada masa sama, pihak berwajib telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri.

Ia akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang dipasang melebihi tahap amaran.

Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara dengan 36 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia.

Negeri Pantai Timur berdepan musim monsun bermula Oktober hingga Mac tahun depan.