Arkib Tag: jalan berlubang

Rakyat boleh mohon peruntukan untuk tampal jalan berlubang – Rafizi Ramli

Bagi mereka yang ingin menampal jalan berlubang kerana sudah penat menunggu tindakan dari majlis perbandaran tempatan, tetapi tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan sendiri, ini ada berita baik untuk anda.

Menurut MalaysiaKini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bercadang untuk memperkenalkan sistem baharu di mana rakyat boleh memohon peruntukan untuk menjalankan projek kecil-kecilan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sistem ini akan mempercepatkan proses menangani isu seperti membaiki longkang tersumbat atau jalan berlubang.

“Satu perkara yang saya ingat kerajaan persekutuan buat perubahan, mendemokrasikan peruntukan kecil untuk rakyat. Selama ini saya ingat jadi wakil rakyat terpaksa buat macam-macam. Baiki longkang dan lain-lain,” katanya.

“Jadi insyAllah kita sedang merancang supaya selepas ini peruntukan besar untuk projek rakyat seperti itu boleh dimohon terus kepada kementerian oleh sesiapa sahaja di Malaysia. Tak payah melalui lapisan-lapisan,” tambahnya lagi.

Sumber gambar: Facebook/Rafizi Ramli

Rafizi berkata sistem baru itu akan dilancarkan antara pertengahan atau akhir Jun ini. Sesiapa sahaja daripada orang awam hingga pejabat daerah dan jabatan negeri boleh terus meminta peruntukan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menurut beliau lagi, buat masa ini terdapat terlalu banyak lapisan birokrasi yang terlibat untuk peruntukan diluluskan yang boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

“Kira menang-menang untuk semua. Kita sebagai rakyat kita tahu. Ini membuka peluang sama rata kepada semua negeri dan semua orang. Kalau tidak menteri yang bertanggungjawab kepada peruntukan jadi terlalu berkuasa. Mula dulu tengok jika dapat sambutan baik,” katanya.

Rafizi menjelaskan ada syarat-syarat yang akan dikenakan untuk permohonan peruntukan, tetapi butiran lanjut mengenainya akan didedahkan apabila sistem itu dilancarkan secara rasmi.

Kereta rosak jalan berlubang, lelaki menang saman RM2,980 terhadap majlis perbandaran

SEORANG lelaki memenangi tuntutan pampasan hampir RM3,000 terhadap sebuah majlis tempatan selepas keretanya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

Fahrurrazi Hamid membawa tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar.

Gambar hiasan. Sumber: Carthrottle

Mahkamah berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), ruang pelaras (RM180), dan caj tunda (RM200).

Ketika Fahrurrazi memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020, keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak.

Keesokan harinya, selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama, beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

Beliau memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, syarikat insurans majlis tempatan itu, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim.

Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, beliau membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Beliau kemudian memfailkan tuntutan kecil di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

Mewakili dirinya di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai.

Katanya, beliau tidak menemukan rim dengan reka bentuk serupa untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti.

Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.

Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” katanya sambil menambah, jelas bahawa jalan itu tidak diselenggara dengan baik.

“Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” kata Noor Firdaus.

Mengenai hujah yang dikemukakan oleh MPKj bahawa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata, tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk.

Memetik Kertas Teknikal SAE bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas, Noor Firdaus berkata: “25 peratus daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah.”

Sebaliknya, majistret tidak membenarkan tuntutan tayar tambahan itu kerana ia tidak mempunyai justifikasi.

Saman Fahrurrazi terhadap Takaful Malaysia turut dibuang kerana telah ditentukan bahawa tiada hubungan undang-undang antara beliau dan syarikat itu.