Arkib Tag: jabatan kerja raya

Johor guna teknologi garisan jalan ‘glow in the dark’ tahun depan

SELEPAS Hulu Langat, teknologi garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark nampaknya akan digunakan di Johor pula.

Menurut laporan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.

Beliau berkata jalan raya yang terlibat akan menggunakan teknologi tersebut pada tahun hadapan.

Jalan glow in the dark di Hulu Langat

“JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi glow in the dark terutama di kawasan tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan untuk menaik taraf garisan jalan dengan menggunakan teknologi glow in the dark, Mohamad Fazli berkata teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan biasa.

“Berbanding garisan pembahagi jalan biasa, kos bagi teknologi glow in the dark ini harga adalah berlipat kali ganda. Tetapi apabila digunakan teknologi ini, mungkin kita tidak perlu lagi menggunakan lampu jalan.

“Peruntukan RM1 juta ini mungkin tidak banyak, tetapi ini adalah permulaan untuk kita mempelbagaikan teknologi seumpama ini di Johor,” katanya.

Makcik mengadu jalan raya Sabah teruk kepada Agong

“TERUK sangat, teruk sangat jalan raya kami, banjir Tuanku.” Begitulah aduan seorang wanita secara terus kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam video yang tular di media sosial semalam, wanita itu difahamkan mengadu kepada Agong yang sedang memandu perlahan menyantuni rakyat yang menunggu keberangkatan baginda dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong kini dalam lawatan Jelajah Kembara Kenali Borneo, dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Video yang dimuat naik di laman Instagram @sabah.info itu meraih komen dari netizen yang rata-rata mengecam pemimpin, menteri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri itu.

Ada juga yang berkata dengan cara sebeginilah baru akan ada tindakan. Tidak kurang juga yang berkata mereka menunggu laporan dan kemas kini dari daerah-daerah lain pula.

Menurut pengalaman penulis yang pernah memandu di beberapa bandar di Sabah dari Kota Kinabalu hingga ke Tamparuli, Kundasang, dan Ranau, setuju dengan sentiment bahawa jalan raya negeri itu kurang memuaskan.

Sayang sekali kerana Sabah sebuah negeri yang cantik, bersih, dan mempunyai rakyat yang mesra, tetapi pengalaman kita melancong ke sana ‘dirosakkan’ oleh keadaan jalan raya seperti permukaan bulan.

Dua jalan di Gua Musang akan ditutup sebulan, raya dijangka sesak

DUA jalan di bandar Gua Musang akan ditutup menjelang Hari Raya Aidilfitri selama sebulan untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C. Ini akan menyebabkan laluan utama di bandar itu dijangka sesak.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang dalam satu kenyataan berkata, laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah.

Katanya, penutupan itu bermula semalam hingga 29 April dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.

“Sehubungan itu, papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya dan pengawal bendera juga akan sentiasa berada di tapak untuk mengawal trafik,” kata kenyataan itu.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).”

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, penutupan jalan selama sebulan akan menyukarkan pergerakan masyarakat setempat terutamanya di akhir Ramadan untuk keluar mendapatkan keperluan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita berharap agar penutupan jalan itu dapat ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Tanah runtuh: JKR nasihat guna laluan alternatif

Laluan Jalan Batang Kali–Genting, Hulu Selangor kini ditutup atas arahan pihak polis berikutan insiden tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dengan ketinggian 70 meter.

Sumber: Malay Mail

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.

“Jalan B66 kini telah ditutup atas arahan pihak Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang awam boleh menggunakan laluan seperti lakaran infografik di lampiran sebagai laluan alternatif buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekahan terbuka pada permukaan ‘pavement’ (permukaan) jalan.

“JKR dan pelbagai agensi kini menumpukan kepada misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian,” tambahnya.

Menurutnya, pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima,” ujarnya.