Arkib Tag: iveco

Iveco & PETRONAS Lubricants International lanjut kerjasama strategik hingga 2032

Pengeluar kenderaan komersial terkemuka Eropah Iveco memperbaharui kerjasama strategik bersama PETRONAS Lubricants International (PLI) untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2032.

Melalui pembaharuan ini, PLI dan Iveco akan terus membekal dan membangunkan rangkaian pelincir lengkap untuk kenderaan komersial termasuklah minyak enjin, bendalir brek dan transmisi serta bendalir penyejuk.

Semua formulasi ini direka khusus bagi memenuhi tuntutan operasi armada kenderaan Iveco di seluruh Eropah.

Kerjasama lebih 50 tahun

Kerjasama yang terjalin selama lebih 50 tahun terbukti menerusi kejayaan rangkaian produk Iveco Urania dan Iveco Tutela, pelincir rasmi yang disyorkan oleh Iveco.

Inovasi terkini ialah Urania Next 0W-16, iaitu minyak enjin SAE 0W-16 yang pertama dibangunkan khusus untuk aplikasi tugas berat.

Formulasi baharu ini menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, pelepasan CO2 lebih rendah serta selang servis lebih panjang.

Ia juga sedia untuk Euro 7, menyokong kecekapan dan prestasi emisi enjin generasi baharu Iveco yang terkini.

Fokus kepada pengedar dan pelanggan

Perjanjian baharu ini turut memberi fokus kepada rangkaian pengedar Iveco.

Selain menyediakan produk berteknologi tinggi, PLI akan melaksanakan inisiatif khusus untuk meningkatkan penglibatan pengedar dan memperkukuh kesedaran pelanggan terhadap pelincir rasmi Iveco.

PLI kekal komited menyokong Iveco dengan produk dan penyelesaian berprestasi tinggi yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada rangkaian dan pelanggan global.

IVECO dan Nikola bekerjasama untuk kilang pengeluaran trak berat elektrik

IVECO dan Nikola Corporation memasuki lembaran baharu dalam pengangkutan lestari apabila kedua-dua syarikat bekerjasama dalam pengeluaran trak berat berkuasa elektrik.

Kilang pengeluaran di Ulm, Jerman didedahkan kepada awam baru-baru ini, dan ia akan memasang Nikola Tre iaitu sebuah trak EV.

Pengeluaran dijangka bermula akhir tahun ini. Kemudian trak Nikola Tre yang pertama akan diserahkan kepada pelanggan di Amerika Syarikat (AS) pada 2022.

Selain dari pengeluaran model Battery-Electric Vehicle (BEV), evolusi seterusnya untuk platform ini adalah versi Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) untuk trak Nikola Tre. Model ini akan memasuki fasa pengeluaran menjelang hujung 2023.

Kilang Ulm itu mempunyai keluasan 50,000 meter persegi dengan separuh darinya adalah bertutup. Ia menampilkan proses pemasangan akhir yang direka khas untuk kenderaan berkuasa elektrik.

Proses pengeluaran trak elektrik ini juga melibatkan 160 pembekal dari mula hingga akhir, dan kilang ini akan mempunyai kapasiti 1,000 unit setahun untuk setiap syif dengan kapasiti akan ditingkatkan pada tahun berikutnya.

Kilang ini juga dikatakan akan beroperasi berpandukan program World Class Manufacturing dengan matlamat sifar buangan, sifar kemalangan, sifar kegagalan dan sifar stok. Ini diperkukuhkan dengan pengenalan pengurusan kilang digital sepenuhnya yang memastikan setiap komponen mudah dikesan, tanpa sebarang penggunaan kertas.

Nikola Tre direka untuk menepati ciri trak yang selamat, tahan lasak, mempunyai prestasi yang baik dan pada masa sama sifar emisi (pelepasan).

Ia diasaskan dari platform IVECO S-WAY dengan gandar elektrik yang direka bersama dan dihasilkan oleh FPT Industrial, menampilkan teknologi elektrik dan sel bahan api dari Nikola, dan komponen utama dari Bosch.