Arkib Tag: Ital Auto Sdn Bhd

Ferrari Amalfi 2026 debut di Malaysia – GT 640 PS pengganti Roma

Ital Auto Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kereta berprestasi tinggi jenama Ferrari melancarkan model baharu Amalfi 2026 untuk pasaran tempatan.

Ferrari Amalfi merupakan sebuah Grand Tourer (GT) yang diposisikan sebagai pengganti kepada Ferrari Roma.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan.

GT aras mula tapi kuasa 640 PS!

Amalfi dikuasakan oleh enjin bentangan V8 3.9 liter turbo berkembar dengan output 640 PS @ 7,500 rpm dan daya kilas 760 Nm @ 3,000-5,750 rpm.

Nadi V8 itu dipadankan dengan kotak gear DCT 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Dengan tangki bahan api 80 liter, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 11.2 liter untuk setiap 100 km

Casis & Dimensi

Ferrari Amalfi membawakan konfigurasi enjin depan pacuan roda belakang (FR), dengan nisbah agihan berat badan 50:50.

Dimensi pula sepanjang 4,660 mm, lebar 1,974 mm, tinggi 1,301 mm dan jarak antara roda pula 2,670 mm.

GT ini turut menawarkan ruang kargo sebesar 273 liter.

Secara standard, Amalfi dibekalkan dengan rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar 245/35 di depan dan 285/35 untuk gandar belakang (jenama Bridgestone Potenza Sport atau Pirelli P Zero).

Bantuan elektronik

Ferrari Amalfi dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS), diikuti bantuan elektronik seperti ABS Evo, Side Slip Control (SSC) 6.1, E-Diff3, serta kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, GT ini hadir dengan kelengkapan ADAS termasuklah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
  • Sistem Pengesan Titik Buta (BSD)
  • Amaran keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Terdapat juga opsyen sistem pemantauan keliling serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Ruang kabin

Susun atur kabin Amalfi telah direka semula, menampilkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 15.6 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • skrin penumpang 8.8 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • roda stereng lengkap dengan butang fizikal dan dial rotari

Terdapat juga slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar yang diintegrasikan pada terowong tengah.

Amalfi turut menyokong sambungan MyFerrari Connect yang membolehkan pemilik memantau status semasa kenderaan menerusi aplikasi khusus.

Antara ciri opsyen yang boleh ditambah termasuklah:

  • tempat duduk selesa dengan fungsi urut dan pengudaraan
  • Burmester Premium Audio System 1,200W dengan 14 pembesar suara