Arkib Tag: Hyundai Palisade

Hyundai Palisade 2027: Ada varian High Roof!

Hyundai Motor Company memperkenalkan Hyundai Palisade 2027 di Korea Selatan dengan tiga tambahan utama, iaitu varian High Roof, Black Ink dan XRT.

Pelancaran ini menambah pilihan untuk SUV tiga baris tersebut, selain menjadikan beberapa ciri keselamatan dan kemudahan sebagai kelengkapan standard.

Hyundai Palisade High Roof

Hyundai Palisade High Roof merupakan model berasaskan SUV pertama dalam industri automotif Korea Selatan yang menggunakan konsep bumbung tinggi.

Bahagian bumbung telah dinaikkan sebanyak 240 mm bagi memberikan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Dengan ketinggian 2,005 mm, model ini masih boleh memasuki kebanyakan tempat letak kereta bawah tanah tanpa sebarang masalah.

Antara kelengkapan standard khusus High Roof ialah:

  • Reka bentuk luaran High Roof dengan kemasan Black DLO
  • Suspensi dikawal secara elektronik Preview
  • Rim aloi 21-inci
  • Tayar Pirelli
  • Lampu ambien khusus High Roof
  • Sistem pencahayaan Starry Sky
  • Lampu bacaan LED dua arah
  • Sistem hiburan pintar belakang 21.4-inci khusus High Roof

Pakej VIP turut ditawarkan dengan konsol pelbagai fungsi dua pintu untuk baris kedua.

Ia merangkumi pengecasan tanpa wayar berkembar untuk telefon pintar, sistem pensterilan UV-C, penapis udara dan pemegang cawan dengan fungsi pemanasan serta penyejukan.

Pakej tersebut turut dilengkapi karpet premium khusus VIP.

Hyundai Palisade Black Ink

Hyundai Palisade Black Ink Trim 2027

Hyundai turut memperkenalkan Black Ink sebagai varian khas berasaskan kemasan Calligraphy.

Varian ini menggunakan elemen hitam pada bahagian luaran dan dalaman bagi menghasilkan penampilan yang lebih kemas serta menyerlah.

Kelengkapan standard termasuk:

  • Rim aloi hitam 21-inci
  • Tayar Pirelli
  • Suspensi dikawal secara elektronik Preview
  • Reka bentuk dalaman dan luaran khusus Black Ink

Hyundai Palisade XRT

Hyundai Palisade XRT 2027

Bagi pelanggan yang mahukan penampilan berorientasikan aktiviti lasak, Palisade XRT hadir dengan reka bentuk yang lebih rugged.

Varian ini dilengkapi rim aloi 20-inci khusus, tempat duduk baris kedua dengan fungsi pengudaraan serta sistem audio premium BOSE.

Elemen khusus XRT pula merangkumi:

  • Gril radiator dan kemasan khusus
  • Pendakap badan
  • Rak bumbung
  • Emblem
  • Kemasan bingkai tingkap / DLO moulding
  • Perumah cermin sisi khusus

Ciri Keselamatan Dipertingkat

Hyundai turut memperluaskan kelengkapan keselamatan pada varian asas Exclusive.

Antaranya termasuk:

  • Kluster instrumen 12.3 inci
  • Paparan melengkung panoramik
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan fungsi tambahan untuk laluan persimpangan, kenderaan bertentangan ketika memotong, kenderaan dari sisi dan bantuan stereng mengelak
  • Kawalan Jelajah Pintar Berasaskan Navigasi (NSCC) dengan fungsi susur masuk dan keluar
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA) ketika memandu
  • Amaran Penumpang Belakang Lanjutan (ROA Lanjutan)

Enjin dan Konfigurasi Hyundai Palisade 2027

Palisade 2027 ditawarkan dengan enjin petrol 2.5 liter turbo serta sistem hibrid 2.5 liter turbo.

Enjin petrol Smartstream G2.5T menghasilkan 281 PS dan 422 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Pilihan konfigurasi termasuk:

  • 7 atau 9 tempat duduk
  • Pacuan dua roda (2WD) atau semua roda (AWD)
  • Rim 18, 20 atau 21-inci
  • Pakej XRT dengan rim 20-inci
  • High Roof dengan rim 21-inci

Bagi versi hibrid, enjin Smartstream G2.5T menghasilkan 262 PS dan 353 Nm, manakala motor elektrik menghasilkan 54.0 kW dan 264 Nm.

Output sistem keseluruhan ialah 334 PS dan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Versi hibrid turut tersedia dalam konfigurasi 7 atau 9 tempat duduk serta pilihan 2WD dan AWD.

Rim yang ditawarkan ialah 18, 20 dan 21-inci, manakala High Roof menggunakan rim 21-inci.

Harga Hyundai Palisade 2027

Harga Hyundai Palisade 2027 berbeza mengikut varian, jumlah tempat duduk dan pilihan rangkaian kuasa. Berikut ialah julat harga yang ditawarkan:

  • Petrol: Harga bermula ₩44.78 juta (RM130,800) untuk Exclusive 9 tempat duduk dan mencecah ₩75.30 juta (RM220,000) bagi High Roof 7 tempat duduk.
  • Hibrid: Harga bermula ₩50.77 juta (RM148,300) untuk Exclusive 9 tempat duduk dan mencecah ₩81.59 juta (RM238,400) bagi High Roof 7 tempat duduk.

Harga tersebut berdasarkan cukai penggunaan individu 5 peratus di Korea Selatan.

Bagi Hibrid Exclusive 7 tempat duduk, harga ₩51.40 juta (RM150,200) mengambil kira insentif cukai kenderaan mesra alam.

Hyundai Palisade 2025, rekaan tegap untuk mereka yang alah dengan minivan

Sedar atau tidak, Hyundai Palisade kini sudah pun memasuki generasi baharu setelah kali pertama debut pada tahun 2018.

Tidak seperti model terdahulu, generasi kedua Hyundai Palisade 2025 tampil dengan rekaan yang lebih tegap tanpa garis-garis badan yang terlalu sibuk.

Dari segi dimensi, Hyundai Palisade 2025 kini sepanjang 5,060 mm (+65 mm), lebar 1,980 mm (+5 mm), tinggi 1,805 mm (+55 mm) dan jarak antara roda 2,970 mm (+70 mm).

Jika dilihat dari bahagian profil sisi, penambahan dimensi yang disebutkan itu tadi memberikan kesan di mana jarak gantungan hadapan menjadi lebih pendek, manakala jarak gantungan belakang menjadi lebih panjang.

Nampak seakan sebuah Range Rover.

Penampilan yang mewah itu disumbangkan lagi dengan struktur jeriji yang agak besar dan lebar, diikuti dengan gugusan lampu nyalaan siang LED gergasi yang turut bertindak sebagai lampu indikasi membelok yang boleh dilihat sebatu jauhnya.

Tema lampu berlapis itu diteruskan pada bahagian belakang namun tanpa kehadiran bar LED melintang seperti mana trend masa kini.

Untuk ruang kabin, Palisade membawakan susun atur yang jauh lebih mewah seakan sebuah kenderaan jenama Genesis.

Pada papan pemuka tersebut menempatkan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel tunggal melengkung, dihiasi dengan kemasan kayu, sistem pencahayaan ambien, roda stereng seakan model Range Rover dan gugusan butang kawalan untuk sistem infohibur dan suhu kabin.

Di Korea, Hyundai Palisade turut ditawarkan dalam versi sembilan tempat duduk, di mana tempat duduk ke-9 itu merupakan bangku kecil antara tempat duduk baris hadapan yang boleh diubah menjadi konsol tengah.

Sementara untuk pasaran lain, Palisade masih lagi tersedia dalam versi tujuh atau lapan tempat duduk.

Untuk versi 7-penumpang, tempat duduk baris kedua didatangkan dengan fungsi boleh laras (termasuklah baring dan lipat) berkuasa elektrik, pilihan fungsi urut dan ciri tilting walk-in untuk akses mudah kepada tempat duduk baris ketiga.

Ruang kargo juga boleh dimaksimumkan kepada 615 liter dengan hanya memposisikan tempat duduk baris ketiga sedikit ke hadapan.

Pemandu juga diberikan kebebasan untuk mengubah posisi dan sudut tempat duduk baris kedua dan ketiga menerusi menu dalam skrin infohibur.

Untuk makluman, Hyundai Palisade 2025 masih lagi mengekalkan platform unibodi yang sama seperti model terdahulu, namun telah dinaik taraf.

Biarpun platform yang sama, Hyundai Palisade baharu ini nampaknya tidak mengekalkan enjin bentangan V6 3.8 liter, sebaliknya menggantikan nadi tersebut dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter turbo berkuasa 277 hp dan 422 Nm.

Versi hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter turbo, motor elektrik tunggal (72 hp/264 Nm) dan pek bateri lithium-ion 1.65 kWh pula mampu menjana kuasa setinggi 330 hp, dan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km!

Selain daripada enjin baharu, Hyundai Palisade merupakan SUV Hyundai pertama menampilkan ciri yang dinamakan sebagai Electronic Controlled Suspension (ECS).

Sistem ECS ini akan menggunakan data navigasi dan penderia untuk mengimbangi pergerakan kenderaan sepanjang perjalanan, sekaligus mengutamakan keselesaan penumpang yang lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, Palisade baharu menawarkan ruang kabin yang lebih senyap dengan menggunakan kaca yang lebih tebal serta tambahan penebat bunyi di sekeliling tingkap.

Generasi kedua Hyundai Palisade 2025 mula dijual di pasaran Korea pada harga bermula dari ₩43,830,000 (RM135,724).