Arkib Tag: huracan

Supercar vs 4X4: Lamborghini Huracan dirempuh Toyota Hilux di Thailand

Akibat tidak sabar, seorang pemilik Lamborghini Huracan Evo RWD terima padah apabila supercar miliknya itu dirempuh dari tepi oleh sebuah Toyota Hilux.

Rakaman berdurasi 31 saat yang tular di media sosial menunjukkan pemandu Huracan tersebut memotong sebuah Lamborghini Urus dari kiri untuk menyeberangi jalan raya sebelum dilanggar trak pikap tersebut yang datang dari arah bertentangan.

Menurut laporan, insiden ini berlaku pada 24 November lalu berdekatan lapangan terbang Sukhothai. Sebuah konvoi Lamborghini yang terdiri daripada pelbagai jenis model termasuk Urus, Gallardo, Huracan dan Aventador dilihat cuba untuk menyeberangi jalan raya berkenaan pada waktu malam.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan yang agak teruk. Gambar selepas kemalangan menunjukkan Hilux tersebut remuk di bahagian depan, manakala supercar itu remuk di bahagian pintu kiri. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Rakaman video jelas menunjukkan yang kemalangan ini berpunca dari kecuaian pemandu Lamborghini itu. Beliau sepatutnya memastikan keadaan selamat sebelum menyeberang. Mujurlah insiden ini sempat dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurut laporan media tempatan, pemilik supercar itu bersetuju untuk menampung kerugian. Macam ni lah baru betul.

Lamborghini Huracan Tecnica jentera RWD dengan enjin NA V10, 640hp, sistem LDVI

PADA November 2020, kita diperkenalkan dengan Lamborghini Huracan STO yang secara asasnya dibangunkan sebagai sebuah kereta lumba yang sah untuk dipandu di jalan raya.

Segelintir media antarabangsa mendakwa ia Huracan yang terbaik setakat ini namun dengan kit badan aerodinamik yang tidak ubah seperti kereta lumba sebenar, ia mungkin terlalu ekstrem untuk penggunaan harian.

Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih mesra pengguna namun tetap berbisa, di sini ada berita baik kerana Lamborghini telah memperkenalkan Huracan Tecnica. Ia boleh dikatakan perantara antara Huracan EVO dan Huracan STO dalam hierarki model itu.

Dari segi visual, kit badannya tidak seagresif STO namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah. Ini kerana, seperti STO, Tecnica dikuasakan oleh enjin 5.2-liter V10 yang menghasilkan 640PS pada 8,000rpm dan 565Nm pada 6,500rpm.

Dengan gandingan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan dan pacuan roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.2 saat. Angka tersebut menunjukkan 0.2 saat lebih perlahan berbanding STO, namun ini sudah dijangka kerana versi itu lebih hardcore.

Bagaimanapun, Tecnica menang dari segi kelajuan maksimum kerana tidak seperti STO yang boleh mencapai kelajuan 310km/j, ia berupaya memecut sehingga 325km/j.

Satu lagi ramuan penting yang ada pada Tecnica adalah sistem LDVI (Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata) yang ditugaskan untuk menguruskan setiap aspek dinamik supercar itu (stereng roda belakang, pemvektoran tork, Performance Traction Control System (P-TCS) dan sistem suspensi) menerusi tiga mod pemanduan iaitu Strada, Sport dan Corsa.

Selain itu, Lamborghini turut memasang cakera brek karbon seramik dan sistem penyejukan brek baharu yang merangkumi pemantul dan saluran angkup yang berfungsi untuk mengalihkan udara ke arah cakera.

Berbalik ke topik kit badan, Tecnica mempunyai bampar hadapan serba baharu dengan rekaan Ypsilon hitam yang menggabungkan tirai udara, serta splitter dengan bukaan udara yang lebih rendah.

Bahagian belakang tidak ketinggalan, ia kini ditambahbaik dengan cermin belakang baharu untuk pemandangan yang lebih jelas, hud enjin baharu, bampar yang direka semula, diffuser dan muncung ekzos berbentuk heksagon.

Menurut pengeluar supercar itu, model ini 6.1cm lebih panjang berbanding Huracan EVO dan profil sisinya pula diinspirasikan oleh Essenza SCV12. Semua perubahan ini meningkatkan downforce belakang sebanyak 35 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 20 peratus.

Perubahan pada ruang kabin tidak begitu ketara, dengan kebanyakan kelengkapan yang ada pada STO dibawa ke model ini. Antaranya adalah tempat duduk sport dengan pelarasan ketinggian dan skrin infotainmen yang menyokong Apple CarPlay, Android auto dan Amazaon Alexa. Turut disertakan adalah sistem telemetri dan diari on-board bagi destinasi dan catatan masa dilitar.

Seperti kebanyakan jentera keluaran Lamborghini, Huracan Tecnica boleh dipersonalisasi menerusi servis Ad Personam yang menawarkan lebih 200 pilihan warna dan pelbagai kemasan dan penyudah untuk ruang kabin.