Arkib Tag: hujan

Lampu hazard waktu hujan suatu kesalahan – JSPT

ANDA pasti biasa jumpa kereta yang menyalakan lampu kecemasan ‘double signal’ atau lampu hazard semasa hujan lebat, bukan? Tetapi adakah cara ini betul dan selamat?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbuatan menyalakan lampu hazard adalah dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

Lampu hazard dalam hujan. Gambar oleh: FOX 13 Tampa Bay

“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard.

“Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,” katanya.

Menurut Mohd Azman, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat.

“la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?” tambahnya.

Hujan lebat lebih dua jam, beberapa kawasan di Lembah Klang banjir

HUJAN lebat menyaksikan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pemerhatian di ibu negara mendapati Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Cheras antara terjejas.

Banjir sekitar kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. – Foto ihsan Facebook/Hisham Din

Selain itu, beberapa lebuh raya turut dinaiki air antaranya Besraya Expressway.

Memetik kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di media sosial, terdapat beberapa kawasan di sepanjang laluan Besraya Expressway telah dinaiki air.

Selain itu, Lebuhraya Kesas turut terkesan sehingga menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat.

Pada masa sama, hanya satu lorong sahaja boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan SUKOM.

Orang ramai dinasihati berhati-hati ketika melalui kawasan banjir atau menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

Hujung tahun lalu, beberapa kawasan sekitar Lembah Klang teruk terjejas akibat banjir.

Antara kawasan terjejas adalah di Shah Alam, Klang dan beberapa kawasan lain yang menyaksikan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan.

Kenderaan ‘melayang’ ketika lalu lopak air, apa perlu buat?

PERNAHKAH anda mengalami situasi yang mana kenderaan dipandu seolah-olah ‘terbang’ atau melayang ketika melalui lopak air atas permukaan jalan raya?

Jika ya, pasti ia agak mencemaskan bukan?

Tidak dinafikan, permukaan jalan raya licin atau bertakung boleh menjadi punca berlaku kemalangan.

Ia terjadi apabila tayar kenderaan tidak mengenai permukaan jalan raya akibat terdapat takungan air yang banyak sekaligus menghilangkan cengkaman.

Situasi ini disebut sebagai aquaplaning.

Aquaplaning bukan sahaja membuatkan anda terasa ‘terapung’ malah, stereng kenderaan juga mulai terasa ringan atau kurang responsif.

Jadi, apakah anda perlu lakukan?

Pertama, elak daripada melakukan brek mengejut. Ini kerana kenderaan yang berhenti secara mengejut di atas permukaan takungan air berisiko untuk terbabas.

Kedua, pandu kenderaan dengan perlahan ketika atau selepas hujan. Kajian mendapati kenderaan dipandu melebihi 8okm/j berisiko untuk berdepan aquaplaning.

Ketiga, jangan guna fungsi auto cruise control atau kawalan jelajah ketika dan selepas hujan. Ia menyukarkan anda untuk mengawal kelajuan kenderaan.

Keempat, jangan tinggalkan ketiga-tiga tips yang kami kongsikan di atas. Nescaya, kemungkinan besar untuk anda mengalami aquaplaning adalah sangat tipis.

Sentiasa berhati-hati ketika memandu walau dalam apa jua keadaan.

Ingatlah, peribahasa ‘malang tidak berbau’ itu adalah benar.

Selamat memandu!