Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.
Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.
Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini
Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.
Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.
Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan
Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.
“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.
Model apa yang bakal dilancar?
FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.
Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bertempat di Beijing Auto Show (Auto China 2024), Hongqi memperlihatkan sedan eksekutif ultra-mewah yang bakal dijual di bawah jenama Golden Sunflower, iaitu Hongqi Guoya.
Sedan mewah Guoya (Guo – bangsa, Ya – elegan) sebelum ini dikenali dengan nama Hongqi L1, di mana sedan ini sebenarnya pernah muncul dengan nama Hongqi L-Concept pada Auto Shanghai 2021.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan sedan Hongqi Guoya:
1. Dimensi lebih 5.3 meter
Secara asasnya, Hongqi Guoya merupakan sebuah sedan yang agak panjang, dengan ukuran melebihi 5.3 meter (5,353 mm) dengan lebar 1,998 mm dan tinggi 1,511 mm.
Jarak antara roda pula adalah sepanjang 3,260 mm.
Secara standard, Guoya dibekalkan dengan set rim bersaiz 19 atau 20 inci.
2. Dua pilihan enjin
Pembeli Guoya boleh mendapatkan sedan mewah ini dengan pilihan enjin 3.0 liter turbo plug-in hybrid (PHEV) berkuasa 389 hp, atau nadi bentangan V8 4.0 liter turbo dengan janaan kuasa 483 hp.
Kedua-dua enjin tersebut didatangkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan, serta pek bateri ternary lithium yang tidak diketahui kapasitinya.
3. Lampu depan canggih
Menurut laporan CarNewsChina, Hongqi Guoya mempunyai sistem lampu depan canggih yang mengguna pakai teknologi pemprosesan lampu digital (DLP).
Dengan adanya sistem DLP ini, lampu depan Guoya boleh memancarkan simbol atau logo ke atas permukaan jalan raya.
4. Ada ciri Rolls-Royce
Selain daripada elemen rekaan yang mengingatkan kita kepada model-model Rolls-Royce, Bentley dan Cadillac, Hongqi Guoya juga mempunyai satu ciri unik.
Nampak logo Hongqi yang bertenggek di atas struktur jeriji gergasi di depan?
Logo berbentuk tiga dimensi seakan Spirit of Ecstacy itu sebenarnya boleh disimpan, macam kereta Rolls-Royce!
5. Kabin mewah
Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat ciri kemewahan yang cuba diterapkan pada Guoya.
Antaranya ialah upholsteri dua tona ungu/putih, kemasan venir kayu yang meluas, serta tidak ketinggalan balutan bahan kulit lembut dan metalik.
Terdapat juga roda stereng dua jejari, trim hitam piano, skrin kluster digital, skrin infohibur bersaiz besar, serta kehadiran jam analog kecil.
6. 4 atau 5 tempat duduk
Hongqi Guoya boleh didapati dalam konfigurasi lima tempat duduk, atau versi empat tempat duduk yang lebih premium.
Untuk versi 4-tempat duduk, kerusi baris belakang menempatkan dua ruang individu yang diasingkan oleh konsol perehat tangan di bahagian tengah.
Konsol tengah itu juga turut menempatkan skrin sentuh untuk kawalan fungsi dalam kenderaan seperti pemanas tempat duduk, urut, dan suhu kabin.
Buat masa ini, Hongqi masih lagi belum mendedahkan harga jualan sebenar.
Namun, tempahan bagi model sedan ini sudah pun dibuka kepada golongan pemimpin tertinggi di seluruh dunia yang mahukan alternatif kepada model-model sedan Rolls-Royce atau Mercedes-Maybach.
Laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China baru-baru ini mendedahkan info tentang kewujudan sebuah model sedan mewah yang dijangka akan muncul dalam masa terdekat.
Hongqi L1 secara asasnya merupakan versi produksi kepada model Hongqi L-Concept yang muncul pada Auto Shanghai 2021.
Dari sudut luaran, Hongqi L1 ibarat seperti sebuah model lahir daripada keluarga campuran Rolls-Royce, Ford dan Cadillac.
Bahagian depan menampilkan struktur jeriji gergasi yang diapit dengan dua unit lampu utama – mengingatkan kita pada model sedan Ford Scorpio yang pelik itu.
Profil sisi pula dilihat menyamai model sedan Rolls-Royce, sementara unit lampu belakang pula dikatakan mengambil inspirasi daripada model sedan Cadillac.
Dimensi Hongqi L1 sememangnya cukup panjang, berukuran 5,353 mm dengan lebar 1,998 mm, tinggi 1,511 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,260 mm.
Jika dibandingkan dengan Rolls-Royce Ghost (5,545 x 1,979 x 1,550 mm), Hongqi L1 mempunyai dimensi yang lebih pendek, namun dengan badan yang lebih lebar dan lebih rendah.
Difahamkan, Hongqi L1 akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin hibrid, di mana versi asas dikuasakan oleh nadi V6 3.0 liter berkuasa 389 hp, sementara versi paling berkuasa menggunakan enjin V8 4.0 liter (483 hp).
Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik, sayang sekali tiada perincian berhubung sistem hibrid yang digunakan pada kedua-dua versi enjin tersebut.
Selain daripada itu, tarikh pelancaran rasmi juga belum diumumkan, namun terdapat kemungkinan besar ia bakal muncul di Beijing Auto Show pada penghujung bulan ini.