Arkib Tag: Honda Prelude

Honda Prelude 2026 bakal dilancarkan di Jepun September ini

Setelah sekian lama sesi acah dibuat, Honda akhirnya mengesahkan model generasi keenam Prelude bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun pada September ini.

Honda Prelude pertama kali membuat kemunculan di persada dunia bersempena dengan acara pameran Japan Mobility Show 2023, dua tahun lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Lebih daripada sekadar sebuah Civic coupe

Honda menggunakan asas Civic untuk membangunkan model Prelude, namun dengan pendekatan rekaan yang lebih berbeza.

Pada model Prelude, ia menampilkan tayar berdiameter besar, jarak antara roda yang optimum serta rekaan keseluruhan yang diilhamkan daripada peluncur.

 

2. Kereta sports ideal

Honda tidak berniat untuk menjadikan Prelude jauh lebih sporti berbanding penawaran Civic Type R sedia ada.

Namun begitu, Prelude tetap disifatkan sebagai sebuah kereta sports yang ideal – menggandingkan keseimbangan antara prestasi dan praktikaliti.

Ini disumbangkan dengan penggunaan komponen Civic Type R seperti suspensi hadapan dua paksi dan angkup brek Brembo, serta ciri praktikaliti seperti konfigurasi 2+2, tempat duduk baris kedua boleh lipat, storan bawah lantai dan bukaan pintu tailgate yang besar.

 

3. Spesifikasi penuh masih lagi rahsia

Buat masa ini, Honda masih belum sedia mendedahkan spesifikasi penuh coupe hibrid ini.

Apa yang pasti, tiada penawaran transmisi manual akan disediakan.

Honda Prelude akan menggunakan tetapan nadi hibrid 2.0 liter dengan dua motor elektrik yang dipinjamkan daripada Civic Hybrid yang mana ia menghasilkan 200 hp dan 315 Nm.

Antara teknologi baharu termasuklah mod S+ Shift yang akan mensimulasikan penukaran gear – sama seperti apa yang wujud pada Hyundai Ioniq 5 N.

 

4. Ruang kabin

Biarpun menggunakan asas Civic, susun atur papan pemuka Prelude telah diberikan nafas tersendiri.

Selain skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin tengah 9 inci yang sama macam Civic, Prelude mengguna pakai rekaan roda stereng jenis bawah rata dengan penanda pukul 12, kemasan jahitan biru dan corong pendingin hawa yang lebih kecil.

Pada konsol tengah pula menempatkan butang pilihan operasi transmisi PRND, butang mod pemanduan serta butang khas untuk S+ yang telah disebutkan di atas.

 

5. Aksesori dah pun siap tersedia

Honda Jepun turut menawarkan pakej aksesori Sports Style untuk pemilik yang mahukan imej yang lebih garang.

Ia terdiri daripada trim jeriji mengikut warna badan, spoiler belakang hitam, perumah cermin sisi hitam, serta rim rekaan baharu saiz 19 inci.

Jika anda ingat, Honda Malaysia ada mempamerkan model Prelude Concept semasa acara pameran KLIMS tahun lepas.

Adakah ia petanda model Prelude ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia kelak?

Honda Prelude 2026 bakal gandingkan enjin 2.0L hibrid dan kotak gear manual!

Hot hatch Civic Type R FL5 nampaknya tidak akan menjadi model kereta sports Honda terakhir yang dilengkapi dengan transmisi manual.

Ini kerana dalam berita terbaharu yang muncul dari negara Matahari Terbit, Honda dilapor akan menawarkan Prelude dengan gandingan unit rangkaian kuasa hibrid dan transmisi manual.


Menurut sumber yang dipetik oleh Best Car, jurutera Honda akan memadankan enjin hibrid 2.0 liter yang diambil daripada model Accord, dan digandingkan dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan daripada Civic RS.

Ia juga dikatakan mempunyai fungsi rev-match yang sama wujud pada model Civic Type R!

Sekiranya berita ini benar-benar menjadi kenyataan, Honda Prelude bakal menjadi model hibrid Honda yang pertama dipadankan dengan kotak gear manual setelah model CR-Z hibrid ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2016.


Pada model Accord e:HEV, enjin 2.0 liter kitaran Atkinson hibrid itu mampu menjana kuasa setinggi 204 hp dan 335 Nm yang disalurkan kepada roda menerusi transmisi e-CVT.

Honda Prelude dikatakan bakal menggunakan asas daripada Honda Civic, dengan jarak antara roda kekal 2,735 mm namun panjang keseluruhan cuma sekitar 2,480 mm, lebih pendek berbanding Civic.

Honda Prelude ini akan membuat kemunculan rasmi pada separuh kedua tahun 2025.

Nissan sedang bangunkan kereta sports Silvia!

Masih ingatkah anda dengan kereta sports konsep Nissan IDx yang diperlihatkan sebelas tahun yang lepas?

Ia merupakan antara model konsep yang cukup mencuri tumpuan, namun sayang sekali ia tidak direalisasikan disebabkan oleh kos pembangunan yang agak mahal, ditambah pula dengan permintaan pada ketika itu yang tidak memberangsangkan.

Namun begitu, pada tahun 2024 Nissan dilapor akan membangunkan kereta sports ketiga berprestasi tinggi selepas model Z dan GT-R.

Bercakap kepada media, naib presiden strategi produk global Nissan, Ivan Espinosa berkongsi tentang perancangan untuk menghidupkan semula model ikonik Silvia, biarpun pasaran kereta sports semakin mengecil.

“Saya cuba untuk merealisasikannya. Ia bukan mudah, kerana pasaran kereta sports semakin menguncup.

Beliau mendedahkan bayangan di mana Silvia akan lahir menjadi sebuah kereta sports berelektrik (diposisikan antara Z dan GT-R) supaya model baharu ini dapat memenuhi undang-undang emisi di seberapa banyak negara yang mungkin.

Dengan cara ini, Nissan dapat meningkatkan angka produksi untuk mencapai skala ekonomi yang diperlukan.

Selain itu, Nissan juga tidak akan mengikut jejak langkah pengeluar bekerjasama untuk membangunkan kereta sports seperti Toyota GR Supra/BMW Z4, dan Toyota GR86/Subaru BRZ.

Sebaliknya, Nissan mahu bersendirian membangunkan model Silvia baharu ini tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Espinosa juga yakin Nissan dapat bergerak solo membangunkan model Silvia ini, walaupun mengakui projek ini sukar dan memperlukan pelaburan yang serius.

Apa yang pasti, Nissan Silvia pada masa hadapan tidak akan menjadi satu model yang terasing, memandangkan model itu bakal berdepan saingan sengit daripada pengeluar Jepun lain.

Seperti contoh, Mazda sedang membangunkan generasi baharu MX-5, Honda pula hadir dengan kereta sports Prelude, manakala Toyota GR86 pula mungkin akan dikemaskini dengan pakej enjin hibrid.

 

Perincian Honda Prelude 2025 didedahkan, enjin 2.0L hibrid, tranmisi CVT

Honda mengejutkan dunia dengan kehadiran sebuah model konsep coupe dua pintu Honda Prelude di acara Tokyo Mobility Show tahun lepas.

Difahamkan, model tersebut sedia untuk diproduksikan kelak dan bakal memberikan saingan kepada kereta-kereta sports seperti Mazda MX-5 Miata dan Toyota GR86.

Berdasarkan laporan terkini daripada laman Best Car Web, berikut merupakan serba sedikit perincian berkenaan kereta sports terbaharu Honda Prelude:

 

1. Dimensi hampir sama besar dengan GR86

Honda Prelude dijangka akan membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,300 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,300 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,575 mm.

Ini menjadikan Honda Prelude jauh lebih besar berbanding model Mazda MX-5 Miata, namun memiliki jarak antara roda yang hampir sama dengan Toyota GT86.

 

2. Pacuan roda depan

Menggerakkan Honda Prelude ialah enjin 2.0 liter inline-4 e:HEV yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 210 PS.

Enjin yang sama digunakan pada Honda Civic e:HEV dan Accord e:HEV, di mana Honda telah menala semula nadi tersebut untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih sporti.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan roda hadapan menerusi transmisi e-CVT. Tidak mengejutkan pun apabila model pilihan playboy ini tidak lagi didapati dengan padanan kotak gear manual.

 

3. Kereta sports 2+2

Honda Prelude generasi baharu ini dijangka akan mewarisi ciri-ciri ikonik yang telah wujud pada Prelude yang terdahulu.

Selain daripada sistem pacuan roda depan, Prelude baharu ini juga bakal menawarkan konfigurasi tempat duduk 2+2.

Namun, Honda sebelum ini telah mengesahkan model Prelude tidak akan menjadi model yang lebih sporti dan lincah seperti Honda Civic Type R.

 

4. Harga jualan anggaran

Honda Prelude dijangka akan muncul secara rasmi pada separuh kedua tahun 2025.

Dianggarkan, harga jualan bermula dari 4.2 juta yen (RM129,541) hingga 4.5 juta yen (RM138,794), berdasarkan kadar pertukaran matawang semasa 1,000 JPY = RM30.84.

 

Honda Prelude Concept