Arkib Tag: Hodaka Motoworld

Hodaka Motoworld lancar sistem infohibur Jado Smart untuk motosikal, harga dari RM850

Hodaka Motoworld Sdn Bhd melancarkan sistem infohibur Jado Smart yang disasarkan kepada penunggang motosikal di Malaysia.

Terdapat dua produk utama yang dilancarkan:

  • Jado S6 – RM2,150
  • Jado H1 – RM850

Jado S6

Jado S6 menawarkan skrin sebesar 6-inci dengan kadar kecerahan sehingga 1,800 Nits untuk memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah sinar mentari.

Ia boleh beroperasi dalam keadaan suhu ekstrem dengan julat suhu serendah -20 darjah Celcius hinggalah 70 darjah Celcius, dan mempunyai penarafan kalis air IP69K.

Menariknya, sistem ini mempunyai giroskop 5-paksi dan teknologi pengesanan titik buta (BSD) yang dapat memberikan amaran visual tentang kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • storan dalaman eMMC 32GB
  • sokongan kad memori TF 256GB
  • sambungan Wifi dua jalur (2.4G & 5G)
  • Apple CarPlay & Android Auto
  • Bluetooth (boleh dihubungkan kepada set kepala dan peranti pintar)
  • serasi dengan sistem motosikal BMW

Jado H1

Produk kedua ini disasarkan kepada golongan penunggang yang mahukan fungsi asas tanpa mengorbankan aspek ketahanan.

Biarpun hadir dengan skrin 5-inci, ia masih mempunyai ciri seperti sambungan Wifi dua jalur, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, Bluetooth, dan keserasian dengan sistem kenderaan BMW.

Jado H1 turut mengekalkan fungsi-fungsi yang ada pada S6 seperti:

  • giroskop 5-paksi
  • sokongan julat suhu -20 hingga 70 darjah Celcius
  • penarafan kalis air IP69K

Aksesori pilihan

Kedua-dua sistem Jado S6 dan Jado H1 boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori pilihan.

Antaranya ialah:

  • Sistem quick-release – RM535
  • Modul kamera – RM580
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) – RM162
  • Modul Kawalan Jauh – RM295

Jado S6 dan H1 kini sedia untuk ditempah menerusi pengedar sahnya iaitu Hodaka Motoworld Sdn Bhd.

Hodaka Motoworld lancar koleksi jaket tunggangan terbaharu daripada jenama Komine

Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, Hodaka Motoworld Sdn Bhd secara rasmi melancarkan koleksi musim bunga dan panas (2026SS) daripada jenama Komine.

Koleksi 2026SS ini menampilkan penggunaan bahan telap udara yang direka untuk memberikan keselesaan maksimum, sesuai untuk keadaan iklim di Malaysia.

Koleksi musim bunga & panas

Antara produk yang dilancarkan baru-baru ini termasuklah:

  • JK-185 Enigma G2 – parka urban kalis air
  • JK-186 Enigma G2 – jaket full mesh
  • JK-187 Enigma G2 – jaket half mesh
  • JK-191 Enigma G2 – jaket full mesh

Kesemua produk jaket Komine dilengkapi dengan pelindung Enigma G2 generasi kedua yang direka untuk memberikan tahap perlindungan dan keselesaan yang lebih tinggi.

Ia mudah dibentuk mengikut kontur sendi dan badan pemakai untuk keselesaan tanpa menjejaskan tahap serapan hentakan yang tinggi.

Lubang-lubang kecil pula bertujuan untuk aliran udara maksimum yang menyumbang kepada keselesaan.

Dibantu dengan penggunaan bahan telap udara, ia mampu menghasilkan penyerapan peluh dan penyejatan lembapan yang lebih cepat untuk tunggangan kekal sejuk.

Selain itu, ia juga dapat memastikan pakaian ini cepat kering selepas berdepan dengan situasi hujan lebat yang tidak dijangka.

Dalam masa yang sama, pihak Hodaka memperkenalkan kipas penyejuk KK-923 Peltier Wearable Brain Cooler yang boleh dipakai pada bahagian leher.

Jenama popular di Jepun

Menurut Michael Chang, Pengarah Perniagaan Luar Negara Komine menjelaskan, “Komine merupakan jenama pakaian penunggang paling popular di Jepun dan menjadi pilihan di kalangan polis trafik sana.”

Jelasnya lagi, produk Komine direka untuk memenuhi keperluan dan kehendak penunggang, dan dalam masa yang sama mematuhi falsafah Keselamatan & Inovasi jenama itu.

James Lim, Pengarah Urusan Hodaka Motoworld menjelaskan pihaknya merupakan pengedar rasmi dan eksklusif Komine sejak 1999.

“Model yang kami lancarkan ini memberikan perlindungan terbaik, keselesaan dan gaya pada harga yang berpatutan.

Biarpun kos logistik meningkat, pihak Hodaka Motoworld mengumumkan tiada kenaikan harga bagi tahun 2026.

Kelengkapan tunggangan Komine kini boleh didapati di beberapa pengedar sah di seluruh Malaysia.

Komine JK-185

Komine JK-186

Komine JK-187

 

Komine JK-191