Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan kerjasama bersama tiga kolej tempatan bagi menyokong dan memperkasa generasi baharu dalam bidang profesional automotif di Malaysia.
Tiga akademi yang dimaksudkan itu ialah:
- TVET Mara Masjid Tanah
- SLC Auto Academy
- Kolej Antarabangsa Despark (DSIC)
Inisiatif terbaharu ini mencerminkan komitmen jangka panjang HMY dalam membangunkan bakat tempatan serta menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara.
HMY berhasrat untuk memainkan peranan aktif dalam perkara ini menerusi pelaburan dalam pendidikan, pemindahan kemahiran dan teknologi masa depan untuk generasi akan datang.
Manfaat untuk 360 orang pelajar
Kerjasama ini memperkenalkan program selama tiga hari merangkumi lima sesi sepanjang tahun 2026.
Program ini akan memberikan pendedahan secara praktikal dan tenaga pengajar terhadap teknologi yang bakal membentuk mobiliti masa depan.
Selain itu, ia juga memberi tumpuan kepada bidang-bidang penting dalam pembangunan kenderaan moden dan sokongan selepas jualan.
Antara topik yang diketengahkan termasuklah:
- Komunikasi Rangkaian Kenderaan & Sistem Elektrikal Badan Lanjutan
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS)
- Mobiliti Masa Depan Hidrogen FCEV
- Sistem Keselamatan dan Pembaikan Kenderaan Mesra Alam
Menerusi program ini, kira-kira 360 pelajar dan tenaga pengajar akan dilengkapkan dengan kemahiran serta pengetahuan industri yang relevan, selari dengan perkembangan semasa.
Janji HMY ‘Sentiasa Di Sisi Anda’
Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia menjelaskan pihaknya komited memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti di mana mereka beroperasi.
“Janji kami ‘Sentiasa Di Sisi Anda’ melangkaui pelanggan kami – ia mencerminkan dedikasi kami dalam menyokong komuniti tempatan dan membangunkan generasi masa depan.
“Melalui kerjasama bersama akademi tempatan ini, kami berharap dapat melengkapkan bakat muda dengan kemahiran relevan dan pendedahan dunia industri sebenar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang mampu mendahului kemajuan industri serta memacu pertumbuhan berterusan sektor automotif Malaysia.”
