Arkib Tag: himpunan

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Lebih 120 kereta BMW M sertai himpunan terbesar sempena Hari Malaysia

LEBIH daripada 120 buah kenderaan berprestasi tinggi BMW M telah berhimpun di Kuala Lumpur sempena dua sambutan yang istimewa pada tahun ini – Hari Malaysia ke-59 dan 50 Jahre M iaitu ulang tahun ke-50 BMW M.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Tahun ini, sementara kita meraikan sejarah BMW M selama lima dekad sebagai sebuah pasukan, kita juga perlu menyuluh semangat perpaduan yang dipamerkan oleh warga Malaysia sebagai sebuah negara selama 59 tahun.

“Saya berasa amat gembira kerana berpeluang menyaksikan semangat yang dikongsi bersama oleh warga Malaysia terhadap jenama ini, yang bukan sahaja mendemonstrasikan kebanggaan dan cinta mereka ke atas divisyen sukan permotoran tersebut, tapi juga buat Malaysia pada hari yang begitu bermakna.

“Kami berharap Aksara Terunggul di Dunia ini akan terus memberi ilham kepada komuniti BMW M kita di sini,” kata Hans.

Atas sebahagian daripada sambutan Hari ///Malaysia, BMW Group Malaysia juga telah menghadiahkan para pemenang bagi pencarian jentera BMW M yang tertua di Malaysia bagi setiap siri model – sebuah peraduan nasional yang dianjurkan pada bulan Mei tahun ini, bersempena dengan 50 Jahre M.

Tiga daripada enam model BMW M pemenang telah diperagakan di perhimpunan Hari Malaysia tersebut untuk tatapan umum.

Berikut merupakan senarai pemenang (bukan dalam turutan tertentu):

1. Han Kim Leng, 1981 BMW M535i (E12)
2. Harris Mah Kar Keat – 1988 BMW M3 (E30)
3. Lim Shin Tom – 1991 BMW M5
4. Gan Kian Yeh – 2006 BMW M6 (E63)
5. Tan Kai Che – 2015 BMW M4
6. Tee Yee Jiuh – 2017 BMW M2

Menurut Hans, pihaknya benar-benar tersentuh dengan sokongan padu yang dicurahkan oleh para pemilik dan peminat BMW M di Malaysia.

“Sokongan tidak berbelah bahagi mereka telah menjadi tonggak kejayaan kami di sini, dan Hari ///Malaysia merupakan lambang perpaduan dan kebanggaan sebenar yang telah dipamerkan oleh komuniti BMW M Malaysia,” simpul Hans.

Himpunan 112 buah Lamborghini cipta sejarah Malaysia Book of Records

PUSAT bandar Kuala Lumpur bingit dengan deruman naturally-aspirated V10 dan V12 apabila sebanyak 112 pemilik Lamborghini menghimpunkan kenderaan masing-masing di depan Mandarin Hotel.

Himpunan ahli-ahli Lamborghini Owners Malaysia (LOM) itu juga bertujuan memecahkan rekod yang pernah dibuat di lokasi sama kira-kira sedekad lalu. Pada 2013, 77 pemilik berhimpun sempena ulang tahun ke-50 Lamborghini.

Dan kini, himpunan terbesar kali ini berjaya memecahkan rekod itu dengan pemilik-pemilik yang hadir dari seluruh semenanjung, dan ia tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Bertempat di ruang parkir terbuka Mandaring Hotel, dapat dilihat pelbagai model Lamborghini yang semestinya menarik perhatian pengunjung dan orang awam berdekatan.

Antara yang kelihatan adalah model-model klasik serta Gallardo Malaysia Limited Edition (hanya 20 unit dihasilkan). Tidak lupa juga model-model terkini seperti Huracan Spyder, Aventador SVJ dan Urus.

Kemuncak acara adalah di saat presiden LOM masuk ke perkarangan dengan memandu kereta bernombor 78, disambut dengan tarian singa.

Ahli-ahli LOM dan pengunjung juga bersorak apabila wakil dari Malaysian Book of Records menyerahkan sijil pengesahan rekod baharu itu.

“Detik bermakna dalam sejarah kelab kami ini menunjukkan penghargaan kami terhadap jenama Lamborghini, kata Roslan Rosdi, presiden LOM.

“Rekod ini juga tidak akan berjaya tanpa semangat komuniti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli yang hadir pagi ini,” tambahnya.

Tidak lama selepas itu, kesemua 112 Lamborghini yang berhimpun kemudiannya berkonvoi menuju ke Bukit Tinggi untuk acara seterusnya.