Arkib Tag: gresini racing

MotoGP: Ducati Corse ikat Marc Marquez dengan kontrak dua tahun

Lapan kali juara dunia, Marc Marquez akan menyertai pasukan kilang Ducati bermula musim 2025 selepas sah menandatangani kontrak dua tahun. 

Ducati Corse mengumumkan pelumba Sepanyol itu sebagai gandingan baharu Francesco Bagnaia pada Rabu. 

Penyertaan Marquez telah pun dijangka selepas pelumba Pramac Racing, Jorge Martin yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan kilang Ducati telah pun mengikat kontrak bersama Aprilia Racing. 

“Saya sangat gembira kerana dapat menyarung warna merah di MotoGP musim depan. Saya cukup teruja sejak kali pertama menunggang jentera Desmosedici GP dan berjaya menyesuaikan diri dalam tempoh singkat. 

“Dari situ, saya tahu sasaran utama adalah meneruskan jalan ini dan berpindah ke pasukan yang menjadikan Francesco Bagnaia juara dunia bagi dua tahun berturut-turut,” ujar Marquez. 

Dalam pada itu, Marquez akan menggantikan Enea Bastianini yang akan menyertai pasukan Tech3 seperti disahkan pengurusnya, Carlo Pernat. 

MotoGP: Ducati pilih Jorge Martin berbanding Marc Marquez?

Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin didakwa menjadi pelumba pilihan bagi pasukan kilang Ducati bagi musim 2025. 

Memetik laporan Gazzetta dello Sport, Ducati telah membuat keputusan untuk memilih Martin berbanding lapan kali juara dunia Marc Marquez untuk digandingkan bersama Fracesco Bagnaia musim depan. 

“Dalam tempoh beberapa hari ini, perbincangan (antara Ducati dan Martin) sedang berjalan rancak,” dakwa akhbar Itali itu. 

Difahamkan, “perjanjian” antara Ducati dan Martin akan turut termeterai dalam tempoh beberapa hari ini. 

“Ducati sedar mereka tidak boleh kehilangan khidmat Martin,” dakwa Gazzeta dello Sport. 

Dalam pada itu, Ducati sebelum ini telah mengesahkan mereka tidak akan mengumumkan barisan pelumba bagi musim 2025 hujung minggu ini di Mugello. 

Ketika ini, Ducati mempunyai tiga pilihan, memilih Jorge Martin yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia, Marc Marquez atau kekal dengan Enea Bastianini. 

Terbaru, Marquez juga telah menegaskan bahawa dia mahu beraksi dengan jentera ‘factory’ musim depan dan turut menolak untuk sertai Pramac Racing menggantikan Martin sekiranya pelumba itu sah sertai pasukan kilang Ducati. 

Italjet Dragster edisi Gresini akan diperkenal 

Jenama skuter premium Itali, Italjet telah menjalinkan kerjasama dengan pasukan Gresini Racing-MotoGP bagi memperkenalkan Italjet Dragster edisi khas. 

Dragster edisi Gresini itu dijangka akan lebih menonjol dengan gabungan warna korporat Gresini yang merangkumi biru dan merah yang sama terdapat pada jentera GP23 yang ketika ini ditunggang Marc Marquez dan Alex Marquez.

Untuk rekod, Italjet Dragster ditawarkan dalam dua varian, 125 dan 200 di pasaran global termasuk di Malaysia. 

Presiden dan CEO Italjet, Massimo Tartarini, turut berkongsi keterujaan atas usahama baharu ini. 

“Bagi kami ini adalah satu penghargaan untuk menjadi penaja teknikal pasukan Gresini yang merupakan antara pesaing utama di MotoGP. 

“Kami terikat dengan Gresini menerusi kerjasama erat dan kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan Dragster Replica dengan warna Gresini,” jelasnya.