Arkib Tag: google

Ramai pengguna keliru dengan logo baharu KIA

Tahun lalu menyaksikan Kia memperkenalkan logo baharu yang lebih ringkas dan moden sebagai sebahagian daripada penjenamaan semulanya.

Tidak dinafikan logo baharu itu sedikit sebanyak membuatkan jenama Kia kelihatan lebih premium tetapi nampaknya ada sebilangan pengguna yang keliru dengannya.

Menurut kajian yang dilakukan oleh pengguna Twitter @Shwinnabego, carian kata kunci “KN car” menerusi Google didapati meningkat secara mendadak sejak musim panas 2021.

Data Google Trends menunjukkan terdapat kira-kira 30,000 pengguna di Amerika Syarikat membuat carian tersebut setiap bulan.

Bagaimanapun, fenomena ini tidak hanya berlaku di Amerika Syarikat kerana pengguna di negara-negara seperti Australia, Kanada dan United Kingdom juga didapati membuat carian seperti “KN SUV”, “KN car brand price” dan “KN car brand electric.”

30,000 mungkin kelihatan seperti jumlah yang besar tetapi jika dibandingkan dengan 1.83 juta carian untuk “Kia” dalam tempoh yang sama, ia tidaklah begitu signifikan.

Namun apa yang menarik, enjin carian seperti Google nampaknya sudah ‘terbiasa’ dengan trend kesilapan ejaan ini kerana jika anda membuat carian “KN car”, hasil carian yang pertama adalah Kia.

Apa pendapat pendapat anda? Patutkah Kia tukar atau kekalkan sahaja logo mereka?

 

Google Maps akan mula papar harga tol dalam aplikasi

GOOGLE Maps akan mula memaparkan harga tol dalam aplikasi mereka. Sebelum ini, aplikasi navigasi itu hanya menunjukkan laluan ke lokasi sama ada mempunyai tol atau tidak tanpa memaparkan sebarang kos.

Menurut Soya Cincau, berdasarkan mesej yang dihantar kepada ahli program pratonton Google Maps, ciri utama yang akan ditambah selepas ini adalah paparan harga secara automatik, untuk tol di jalan raya dan kos tambahan lain di laluan navigasi pengguna.

Mereka telah diminta untuk menyelesaikan tinjauan bagi membantu pasukan pembangun Google Maps menambah ciri itu.

Kos tol ini akan dipaparkan pada laluan tertentu sebelum pengguna pilih untuk melaluinya. Jadi anda boleh pilih laluan perjalanan berdasarkan faktor masa atau kos selepas ini.

Kemungkinan ciri ini akan mula dilancarkan kepada pengguna dalam beberapa minggu akan datang. Namun, tidak diketahui lagi sama ada ia akan dilancarkan untuk semua pengguna atau di negara tertentu sahaja.

Ciri ini sudah tersedia di Waze sejak 2019, ia menganggarkan harga tol berdasarkan maklumat yang ditambah oleh komuniti Waze.

Perkara ini pastinya memudahkan pengguna, lebih-lebih lagi jika baki di dalam Touch n Go tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya pengguna boleh ambil laluan tanpa tol atau tambah nilai Touch n Go sebelum memulakan perjalanan.