Arkib Tag: fuv

Ferrari Purosangue 2027 kini lebih lincah dengan pakej Handling Speciale

Ferrari Purosangue sudah pun dikenali sebagai salah satu SUV berprestasi tinggi terbaik di dunia, dengan prestasi cemerlang dalam aspek kuasa.

Kini, bagi menjadikan jentera itu lebih lengkap, Ferrari memperkenalkan satu naik taraf baharu iaitu pakej Handling Speciale yang memberi fokus kepada pengendalian.

Pengendalian tanpa abaikan keselesaan

Melalui pakej ini, Ferrari menambah baik talaan suspensi Purosangue, sekaligus menyerlahkan lagi karakternya sebagai sebuah grand tourer.

Dari sudut teknikal, sistem suspensi aktif telah dikalibrasi semula, sekali gus mengurangkan pergerakan badan sehingga 10%.

Penukaran gear juga menjadi lebih pantas dan agresif, khususnya dalam mod Manettino, Race dan ESC Off, serta ketika menggunakan mod manual penuh dengan kelajuan enjin melebihi 5,500 rpm.

Bukan itu sahaja, bunyi di dalam kabin turut dipertingkatkan bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.

Penampilan lebih eksklusif

Dari segi penampilan, versi Handling Speciale ini diberikan beberapa sentuhan khas yang membezakannya dengan versi standard.

Ini termasuk rekaan rim unik dengan kemasan diamond-cut, pelindung sisi gentian karbon, kemasan hitam matte pada hujung ekzos, serta logo Prancing Horse hitam di bahagian belakang.

Selain itu, terdapat juga tulisan Ferrari dengan kemasan satin dan plak khas di dalam kabin.

Nadi V12 kekal

Tiada perubahan pada bahagian mekanikal utama. Purosangue masih menggunakan enjin 6.5 liter V12 aspirasi semula jadi yang menghasilkan 725 PS dan 716 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac yang kini lebih pantas hasil penambahbaikan tersebut.

Dengan gabungan ini, pecutan 0 hingga 60 bsj (0 hingga 96 km/j) boleh dicapai dalam kira-kira 3.2 saat.

Harga belum diumumkan

Ferrari masih belum mendedahkan harga rasmi bagi pakej Handling Speciale ini, namun, seperti mana-mana produk Ferrari, ia pastinya bukan murah. Di Malaysia, Purosangue tanpa pakej ini dijual pada harga bermula dari RM5 juta.

Bocor! Inilah rupa SUV Ferrari Purosangue, memang sporti habis

BUKAN rahsia lagi bahawa Ferrari bakal menghasilkan model Sports Utility Vehicle (SUV) yang diberi nama Purosangue. SUV ini dijangka memasuki pasaran pada tahun 2023.

Buat pertama kalinya, rupa sebenar SUV Ferrari ini telah tersebar di media sosial Instagram (IG). Pemilik akaun IG @cochespias telah membuat hantaran mengenai rupa luaran SUV tersebut.

Dari bentuk hadapan, SUV mewah ini kelihatan seakan-akan menyerupai Ferrari Roma manakala rekabentuk belakangnya lebih kepada model 296 GTB.

SUV ini sedikit rendah, tidak seperti rekabentuk SUV tradisional yang lain. Besar kemungkinan adalah kerana visi Ferrari dalam membangunkan Purosangue sebagai Ferrari Utility Vehicle (FUV), bukannya sebagai SUV.

Sumber: Autocar

Ura-ura mengatakan SUV ini bakal menggunakan enjin V8 turbo dengan bantuan motor elektrik. Namun terdapat juga kemungkinan Ferrari akan menggunakan enjin V12 hibrid atau V6 hibrid bagi model asas.

Walaubagaimanapun, pembuat kenderaan mewah dari Itali itu masih belum membuat pengumuman mengenai pelancaran rasmi model SUV tersebut.