Arkib Tag: Ford Malaysia

Ford Everest Platinum 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – pilihan enjin 2.0L dan 3.0L V6, harga dari RM348,888

Sime Darby Auto ConneXion-Ford hari ini secara rasmi melancarkan Ford Everest Platinum 2026 untuk pasaran Malaysia.

SUV premium ini ditawarkan dalam dua varian, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Everest Platinum 3.0L – RM430,888
  • Everest Platinum 2.0L – RM348,888

Spesifikasi Everest 3.0L

Varian ini dipacu enjin bentangan V6 3.0 liter turbo menghasilkan kuasa 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750-2,000 rpm.

Kuasa disalurkan kepada sistem pacuan 4-roda sepenuh masa menerusi transmisi automatik 10-kelajuan.

Ia turut dilengkapi dengan ciri eShifter dan ElectroMagnetic Transfer Case (EMTC), menjadikannya varian Everest yang paling canggih di Malaysia.

Dari segi luaran, ia menampilkan perkataan PLATINUM pada hud enjin, pintu depan dan tailgate, diikuti ciri lain seperti:

  • lampu LED matriks
  • lampu nyalaan siang DRL
  • rim 21 inci
  • tayar 275/45 R21

Untuk ruang kabin, ia mendapat ciri skrin paparan sebesar 12 inci dengan sokongan tanpa wayar dan Ford SYNC® 4A.

Varian ini tersedia dalam warna Acacia Green, Meteor Grey dan Absolute Black.

Spesifikasi Everest Platinum 2.0L

Varian ini pula dikuasakan oleh enjin diesel 2.0L turbo menghasilkan 170 PS dan 405 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan.

Ia turut mendapat ciri sistem pacuan empat roda separuh masa dengan fungsi Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF).

Dari segi luaran, Everest Platinum 2.0L mendapat rekaan jeriji premium, lampu LED matriks, lampu DRL berbentuk C, rim 20 inci dan tayar 255/55 R20.

Varian ini tersedia dalam warna Acacia Green, Meteor Grey, Arctic White, dan Absolute Black.

Spesifikasi Everest Sport 2.0L

Turut dipamerkan ialah varian Everest Sport 2.0L yang menggunakan enjin 2.0L yang sama dengan varian Platinum 2.0L, kuasa sekitar 170 PS @ 3,500 rpm dan 405 Nm @ 1,750-2,000 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan, ESOF dan enam mod pemanduan termasuk Mud/Ruts dan Sand untuk pemanduan di laluan sukar.

Luaran Everest Sport 2.0L menampilkan jeriji rekaan tersendiri, lampu LED berserta lampu nyalaan siang DRL, kemasan hitam, rim aloi 20 inci yang dibaluti tayar 255/55 R20.

Ruang kabin Everest Sport 2.0L membawakan tempat duduk sporti dua-tona.

Varian ini tersedia dalam warna Command Grey, Lightning Blue, Arctic White, dan Absolute Black.

Harga jualan Ford Everest Sport 2.0L bermula dari RM316,888.

Auto ConneXion-Ford anjur CSR salur bantuan kepada golongan yang memerlukan

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan.

Dalam kempen selama 11 hari, seramai lebih 600 penerima bantuan termasuklah keluarga B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf fakir dan miskin serta masyarakat Orang Asli menerima bantuan berbentuk makanan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

Bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:
·      Lembah Klang: 200 penerima (Kumpulan B40, Asnaf, dan OKU di Pangsapuri Putra Ria & Abdullah Hukum).
·      Pulau Pinang: 100 penerima (Komuniti B40 dan Asnaf di George Town & Jalan Patani).
·      Ipoh: 150 penerima (Ibu tunggal, kumpulan B40, dan Asnaf di Sungai Rokam).
·      Kuantan: 150 penerima (masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang).

Teras kepada kempen tempatan ini ialah penggunaan Klinik Bergerak Ford yang dilancarkan pada Februari tahun ini.

Dalam usaha sama melibatkan Auto ConneXion-Ford, Yayasan Sime Darby, Ford Philantrophy dan MyFundAction, Klinik Bergerak Ford menempatkan tenaga profesional penjagaan kesihatan ke empat lokasi tersebut untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di kawasan luar bandar.

Aktiviti di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada Bulan Keprihatinan Global Ford, iaitu program sukarelawan global tahunan di bawah inisiatif Ford Philantrophy.

Usaha tempatan ini menyumbang kepada penganjuran Kempen Derma Makanan Pengedar Automotif Terbesar Dunia di bawah inisiatif Membina Bersama Ford melibatkan lebih 1,600 pengedar Ford di 31 buah negara.

Program ini berjaya mengumpulkan lebih 907,000 kg bekalan makanan, melebihi sasaran asal sebanyak 500,000 kg.

Auto ConneXion-Ford sebelum ini pernah melaksanakan bantuan kemasyarakatan seperti Projek Air Bersih di Gerik dan Operasi Dunia Lebih Baik di Kuala Lumpur.

Ford Ranger Raptor Sport tiba di Malaysia – harga dari RM273,888

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia mengumumkan pelancaran trak pikap Ford Ranger Raptor Sport 3.0 serba baharu.

Dijual pada harga bermula dari RM273,888, Ford Ranger Raptor Sport dikuasakan oleh enjin EcoBoost V6 3.0 liter turbo berkembar dengan kuasa 397 PS @ 5,650 rpm dan daya kilas 583 Nm @ 3,500 rpm.

Sama seperti Ranger Raptor yang terdahulu, varian Sport ini turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Fox dengan penyerap hentak Live Valve Internal Bypass 2.5 inci dan sistem Bottom-Out Control.

Selain itu, terdapat penambahan rekaan decal Raptor khas pada bahagian sisi, Sport Hoop baharu, serta rim gaya beadlock saiz 17 inci yang direka untuk pemanduan off-road.

Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Arctic White dan Meteor Grey.

Setiap pembelian Ranger Raptor Sport dilindungi jaminan pengeluar lima-tahun, serta pakej servis percuma dua-tahun.

Pelanggan juga akan diberikan beg penyejuk eksklusif “Live The Ranger Life” sebagai cenderamata penghantaran.

Baca: Ford Ranger Raptor 2022 
Baca: Ford Ranger Raptor 2023 versi diesel

Sime Motors sambut ulang tahun ke-45 dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia

Sime Motors meraikan sambutan ulang tahun ke-45 baru-baru ini dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia bersama-sama pihak berkepentingan.

Majlis makan gala tersebut mempersembahkan muzik bertaraf dunia di bawah arahan konduktor terkenal Gerald Salonga, dengan kehadiran pemain piano Liu Muyu dan penyanyi terkemuka Aina Abdul.

Persembahan mereka menghiburkan penonton dan memeriahkan lagi malam sambutan yang diadakan sebagai penghormatan kepada kepimpinan dan sumbangan 45 tahun Sime Motors kepada industri automotif Malaysia.

Selain itu, Sime Motors turut mengiktiraf rakan kongsi jenama yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan syarikat.

Penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Andrew Basham selaku Pengarah Urusan Sime Motors bersama Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors kepada wakil BMW Group Malaysia, BYD, Denza, Ford Malaysia, Hyundai Malaysia, Jaguar Land Rover, Porsche Malaysia dan Volvo Cars Malaysia.

Ford Ranger WildTrak 2025 kini dengan enjin diesel turbo V6 3.0L – harga dari RM192,888

Ford Malaysia menerusi pengedarnya Sime Darby Auto ConneXion hari ini secara rasmi melancarkan trak pikap Ranger WildTrak baharu yang didatangkan dengan enjin bentangan V6 3.0L Turbo Diesel.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa setinggi 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik 10 nisbah kelajuan dan turut dilengkapi dengan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand.

Antara kelengkapan yang wujud pada varian baharu ini termasuklah unit lampu LED Matriks, lampu nyalaan siang, roda aloi 20 inci, tayar bersaiz 255/55 R20, logo V6 unik, lampu lumpur, serta tayar ganti saiz penuh.

Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat kluster digital 8 inci, skrin tengah 12 inci SYNC 4A yang lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto, slot USB khas untuk pemasangan kamera perakam pemanduan, serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Ciri keselamatan pula termasuklah Sistem Pengesanan Titik Buta (BLIS), Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Berhenti & Bergerak, Panduan Tengah Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Brek Pasca-Pelanggaran.

Terdapat empat warna menarik iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow, dan Meteor Grey.

Harga jualan pula bermula dari RM192,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Untuk tempoh terhad, pelanggan awal akan dapat menikmati Pakej Servis Lanjutan 2-tahun dan beg pendingin edisi terhad.

Pelanggan yang membuat tempahan dalam talian akan menerima kerusi perkhemahan eksklusif Ford.