Arkib Tag: food panda

‘Rider’ p-hailing bakal diwajibkan memiliki lesen GDL

PENUNGGANG motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) bakal diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) dalam pindaan tiga akta pengangkutan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan tersebut adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang akan dibentangkan pada sesi akan datang.

Pembentangan ini akan turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

“Secara dasarnya kabinet telah bersetuju dengan kesemua draf pindaan RUU tersebut,” kata Ka Siong.

Menurutnya, GDL amat penting kerana ia membolehkan kementerian mengawal selia ekonomi gig dengan baik.

“Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekaligus menjamin keselamatan penunggang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan wakil penunggang p-hailing di kementeriannya semalam.

Beliau berkata, had umur diturunkan adalah bagi membolehkan ekonomi gig bersaing dengan lebih kompetitif.

“Kerajaan melihat penghantar makanan ini merupakan punca rezeki yang penting. Selagi ada Lesen Memandu Kompeten (CDL), mereka boleh mohon GDL. Semua agensi kementerian telah diarahkan untuk mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.

“Kita minta wakil daripada p-hailing, pengendali p-hailing (PHO) dan lain turut serta dalam libat urus ini kerana di dalam ekonomi gig ini semua pihak perlu merapatkan saf,” tambahnya.

Menyentuh mengenai sesi dialog bersama p-hailing, Ka Siong berkata, PHO perlu meningkatkan komunikasi dengan penunggang bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.

“Saya lihat mereka tidak faham cara pengiraan PHO. Contohnya Jun, ada (pembayaran) yang tidak dikira dan kesilapan teknikal ini menjurus kepada apa yang telah berlaku (mogok),” katanya.

‘Rider’ penghantar makanan boikot 24 jam hari ini

GERAKAN solidariti ‘rider’ penghantar makanan hari ini akan melakukan boikot selama 24 jam susulan pengurangan kadar upah mereka oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Boikot berkenaan dimaklumkan menerusi satu posting yang dimuat naik di akaun twitter #PartTimeKL semalam sebagai tanda solidariti kepada penghantar makanan.

Posting berkenaan menjelaskan penghantar makanan tidak akan beroperasi selama sehari esok (Jumaat).

“Solidariti untuk rakan-rakan rider frontliner @GrabMY & @foodpanda_my yang akan mogok satu hari esok. Yang mana tak dapat avoid, expect order delay/cancelled,” katanya.

Difahamkan tindakan itu diambil berikutan harga makanan yang dihantar naik tetapi kadar upah penghantaran dikurangkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

“Dah la makanan anda semakin mahal, fare kami pula makin sedikit,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penghantar makanan separuh masa di kawasan Lembah Klang yang namanya enggan dikenali berkata, gerakan tersebut akan menyebabkan banyak permintaan pelanggan terkesan dan berkemungkinan terpaksa dibatalkan.

Gambar oleh: Malay Mail

Bagaimanapun, katanya, situasi tersebut juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada penghantar makanan lain yang bekerja pada Jumaat kerana mereka dapat menjana lebih banyak pendapatan.

“Memang saya tahu mengenai boikot itu, dan kebanyakannya disertai oleh ‘rider’ penghantar makanan sepenuh masa esok.

“Tetapi untung pada yang bekerja pada esok sebab apabila ‘rider’ tak banyak, permintaan tinggi, jadi ‘rider’ dapat lebih banyak kerja berbanding hari-hari biasa,” tambahnya.