Arkib Tag: flightlab

Airbus teroka teknologi hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan dengan DisruptiveLab

AIRBUS semasa persidangan tahunan mereka telah mendedahkan DisruptiveLab, sebuah pelantar dan makmal terbang baharu. Ianya direka bagi menguji teknologi untuk menambahbaik prestasi pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon dari helikopter.

DisruptiveLab juga sebenarnya sebuah prototaip helikopter. Ia akan menilai binaan aerodinamik baharu untuk mengurangkan penggunaan bahan api selain menuju ke arah pacuan hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan.

Demonstrator ini akan memulakan penerbangan sebelum hujung 2022 untuk ujian dan membangunan teknologi-teknologi baharu tersebut.

“DisruptiveLab pergi lebih jauh dalam strategi Airbus Helicopters untuk mengurangkan kesan helikopter terhadap alam sekitar dan untuk mempelopori industri penerbangan yang mapan,” kata Bruno Even, CEO Airbus Helicopters.

“Binaan inovatif dan jana kuasa hibrid baharu ini hanya boleh diuji dengan demonstrator baharu bagi mengesahkan impak keseluruhan dalam pengurangan pelepasan karbon, iaitu sehingga 50 peratus,” tambahnya.

Pesawat demonstrator itu dibina dengan badan aliminium dan komposit yang aerodinamik, direka khas untuk mengurangkan seretan (drag) lantas mengurangkan penggunaan bahan api.

Bilahnya disepadukan dengan rotor agar keseluruhan struktur ini lebih kompak, mengurangkan seretan udara, dan menambahbaik kecekapan tenaga di samping mengurangkan tahap bunyi. Bahagian ekornya lebih ringan, menampilkan rekaan rotor Fenestron yang lebih senyap dan mempunyai prestasi lebih baik.

Demonstrator FlightLab yang diuji bermula 2020.

Syarikat penerbangan Perancis ini telah mula menggunakan demonstrator terbang mereka sejak 2020 dengan Flightlab. Ia menggunakan platform H130 sedia ada untuk menguji teknologi berkenaan autonomi. DisruptiveLab yang baharu ini lebih memfokus kepada prestasi dan alam sekitar.

Gambar oleh: Airbus

Sistem EBS pada Airbus Helicopters petanda hibrid untuk enjin pesawat?

AIRBUS Helicopters baru-baru ini berjaya membuat penerbangan ujian untuk Engine Back-up System (EBS) pada pesawat Flightlab miliknya.

Airbus H130 Flightlab. Imej oleh: Rotorhub

Ujian dengan kerjasama French Civil Aviation Authority DGAC itu mungkin akan membuka jalan ke arah sistem janaan kuasa hibrid bagi helikopter. Dalam pada masa yang sama, sistem EBS ini akan menambah baik keselamatan penerbangan dalam jangka masa pendek.

Sasaran utama kempen ini bertujuan meningkatkan keselamatan bagi pesawat satu enjin dengan memberikan bantuan elektrik kecemasan jika berlaku kegagalan turbin.

Flightlab atau pesawat Airbus H130 ini telah dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 100kW yang dipasang pada kotak gear, dan ia mampu membekalkan kuasa elektrik selama 30 saat jika berlaku kegagalan enjin.

Ini membolehkan juruterbang mendapat lebih masa untuk bertindak balas serta mengekalkan kelajuan rotor, EBS akan memberikan pendaratan lebih selamat dan lancar ke darat.

Di samping untuk keselamatan, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan prestasi enjin. Berat maksima semasa berlepas akan dapat ditambah, melebihi berat sistem EBS itu sendiri. Jadi ini memberikan kapasiti kargo lebih banyak untuk pesawat.

“Penerbangan EBS ini merupakan satu langkah pertama yang penting ke arah sistem kuasa hibrid di masa depan dan kami sudah pun menantikan fasa kedua projek ini dengan lebih tenaga dan kuasa pada pesawat,” kata Tomasz Krysinski, Ketua Kajian dan Inovasi di Airbus Helicopters.

Sistem ini serupa untuk hibrid kereta dimana walaupun kereta akan mempunyai berat lebih tinggi, prestasi tambahan yang ditawarkan adalah lebih baik dan berbaloi dengan pertambahan itu.

Sebagai contoh, BMW 330e mempunyai prestasi lebih baik dari 320i, dan begitu juga Volvo S60 T8 PHEV yang lebih berkuasa dari varian T6.