Arkib Tag: fe

Honda Civic RS lebih matang, tapi bukan tua – Pandu uji

SETIAP kali Honda mengeluarkan model baharu di Malaysia, ianya akan menjadi perhatian ramai peminat dan pemerhati industri automotif negara ini. Pelancaran Civic serba baharu tidak terkecuali.

Civic FE ini mendapat pelbagai pendapat mengenai rupa luarannya, kerana aspek penampilan menjadi isu pertama dan utama yang sering dibahaskan orang kita. Ada yang selesa dengan pembaharuan Civic ini, dan ada yang lebih gemarkan penampilan Civic FC.

Bagi penulis secara keseluruhan, lebih sukakan rekabentuk Civic FE baharu ini. Silhouette atau bayangnya dari sisi masih hampir sama, tetapi perincian diubah menjadikan Civic ini kelihatan lebih matang.

Tetapi tidak tua!

Lampu depan contohnya kurang gaya terlalu tajam dan garang, kini lebih relaks dan mirip lampu kereta jenama Eropah yang lebih premium. Kami taknak sebut jenama apa…

Kemudian bahagian ‘hidungnya’ kini gelap dan tiada krom, jadi sebenarnya nampak lebih premium juga pada pendapat penulis. Tiada lagi permukaan-permukaan berkilau.

Bahagian belakang juga lebih kemas pada FE ini, cuma penulis masih cuba untuk ‘menghadam’ rekaan lampu. Ini kerana ia seperti terlalu tinggi atau tebal, jika lebih nipis rasanya lebih padan dengan rekabentuk keseluruhan.

Tetapi siapalah kami nak persoalkan lebih-lebih, bukan? Mungkin pereka bentuk Civic FE ini ada penjelasan lebih kukuh dari aspek seni dan penampilan.

Akhir sekali sebelum kita masuk ke dalam, penulis hendak sentuh rim Civic ini, yang mana kami rasa cukup cantik dan sporti. Warna satu tona hitam dengan 10 bilah sangat padan dengan karakter kereta ini.

Ia juga menjadikan anda tidak perlu tergesa-gesa menukar rim ini selepas beli Civic. Rupanya sahaja sudah nampak cukup aftermarket.

Kokpit baharu yang moden dan sporti

Honda nampaknya semakin pandai menjadikan kabin kereta mereka cukup mantap dan kontemporari, bukan luas semata-mata. Jika dulu Mazda dikatakan mempunyai kabin cukup menarik dan terasa mewah, kini Honda juga bersaing rapat untuk aspek ini.

Paling penulis suka pada kabin Civic ini adalah rekaan ‘honeycomb’ mendatar yang panjang untuk corong pendingin hawa, dan ia terus ‘ditarik’ melintang menghubungkan dua pendingin hawa. Ini memberikan ilusi seolah-olah pendingin hawa itu mempunyai rongga yang luas dan lebar.

Bahan yang digunakan juga cukup baik, warna krom yang memberi kontra kepada papan pemuka hitam, tetapi tidak terlalu berkilau. Just nice, orang putih kata.

Dan corong ini juga diselitkan dengan tuil pelaras arah pending hawa yang – lagi sekali – terasa premium bila digunakan. Terdapat ‘klik’ yang cukup “ummmpph…” bila anda melaraskannya.

Aspek lain yang boleh dikatakan mengenai kabin Honda Civic FE ini ialah kedudukan serta posisi memandu yang rendah dan terasa sporti. Pada masa yang sama, penglihatan ke luar masih sangat baik, langsung tidak terganggu.

Anda dapat melihat ke depan dan tepi serta mengemudi kereta dengan baik di bandar dan tempat sempit, tetapi yang penting posisi rendah membuatkan anda dapat lebih banyak ‘feel’ dari pergerakan kereta.

Tiada lagi NA, hanya turbo

Barisan Civic FE kali ini tidak lagi ditawarkan dengan enjin naturally-aspirated (NA), sebaliknya hanya turbo. Enjin 1.5-liter VTEC Turbo ini menjana 180hp dan 240Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT.

Melalui pemanduan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan jalan persekutuan serta lebuhraya, apa yang boleh dikatakan ialah kesan ‘rubber band’ dari kotak gear kini kurang terasa, menjadikan enjin dirasakan lebih responsif.

Pecutan atau pertambahan kelajuan dapat dibuat dengan lebih cepat. Malah pecutan dirasakan lebih cekap, seolah-olah tiada ‘powertrain loss’ dalam sistem CVT kali ini.

Pengendalian antara terbaik dalam segmen

Untuk aspek pengendalian dan pemanduan keseluruhan pula, penulis boleh simpulkan dengan satu ayat mudah: semua sedan segmen-C sekarang sangat sedap dipandu.

Jika 10 atau 15 tahun dahulu, Honda begitu ‘raw’ dan sangat jitu pemanduannya, ibarat jentera perlumbaan yang dibawa ke bilik pameran dan dipasang nombor plat.

Kemudian Honda semakin ‘lembut’ dan hilang arah tuju sedikit sebelum Mazda cemerlang untuk aspek ini. Toyota pula dari dulu dikenali sebagai pemanduan tiada jiwa, seperti kereta untuk abah-abah.

Tetapi kini untuk 2022, boleh dikatakan semua sedan segmen-C seronok dipandu dengan cara masing-masing.

Mazda3 terasa penghalusan dan penelitian dengan bantuan GVC, Toyota Corolla mempunyai kawalan badan yang sangat baik, dan Honda Civic FE 2022 ini pula mempunyai posisi memandu dan respon stereng yang tepat.

Semakin sukar untuk buat pilihan sedan segmen-C sekarang, tetapi kebanyakan dari anda tidak kisah aspek pemanduan, dan hanya mahukan SUV, betul?

Apa pun, karakter pemanduan Civic FE penulis rasakan satu penambahbaikan cukup besar berbanding FC, malah berbanding FC versi facelift sekalipun. Nampaknya Honda semakin kembali ke jiwa sporti mereka, dan ini membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat apa yang mereka boleh tawarkan dengan Civic Type-R nanti.

Satu lagi perkara penting ialah Honda telah menambahbaik casis Civic FE untuk menjadikannya lebih tegar tetapi pada masa yang sama lebih ‘refined’. Hasilnya seperti yang dikatakan tadi; pemanduan lebih sporti tetapi senyap dan selesa.

Spesifikasi Honda Civic RS 2022

Harga: RM150,700
Enjin: 1.5-liter VTEC Turbo
Kotak gear: CVT
Kuasa: 180hp @ 6,000rpm
Tork: 240Nm @ 1,700rpm

Setahun jalan lebih 400,000km! Honda Civic FE ini untuk dijual, RM89,000 sahaja

KERETA dan enjin Jepun terkenal dengan kelasakan dan ketahanan mereka, boleh dipandu beratus ribu kilometer tanpa sebarang masalah besar.

Sebuah Honda Civic FE 2022 (dilancar pada 2021) telah mencatatkan lebih 250,000 batu (400,000km) dalam hanya setahun! Dan kini ia disenaraikan untuk dijual di Weeks Motors, sebuah laman jualan kenderaan di Amerika Syarikat.

Iklan ini mula dijumpai oleh Tire Meets Road, dan Civic 2022 varian Touring ini berada di Dallas, Texas. Ia diiklankan untuk dijual pada harga USD18,999 (RM89,143), iaitu kira-kira USD6,000 (RM28,000) kurang dari harga asalnya.

Secara purata, pemilik Honda Civic ini memandunya sejauh 600 batu (965km) sehari. Banyak betul berjalan! Kini ia mencari pemilik baharu.

Menurut sumber berita, pemilik asal menjalankan kerja-kerja kurier perubatan dengan menghantar alatan ke Houston setiap hari.

Laporan penuh Carfax pula menunjukkan kerja penyelenggaraan yang mantap telah dibuat pada Civic ini untuk memastikan ianya dalam keadaan baik.

Sebagai contoh, minyak enjin ditukar setiap 10,000 batu (16,674km) dalam tiga hari pertama. Pada masa ini juga minyak dan penapis pertama ditukar, di Rusty Wallis Honda di Dallas.

Cecair brek pula ditukar pada 50,539 batu (81,334km) dimana pada masa yang sama cecair penyejuk juga ditukar – dan kemudian ditukar lagi pada 202,839 batu (326,437km).

Sanggupkah anda beli kereta berumur setahun dengan perbatuan 400,000km yang berada dalam keadaan baik?

Sumber gambar: Weeks Motors

Honda HPD Civic Si FE1 untuk kaki motorsport tegar

SUKAN permotoran lazimnya melibatkan kos yang tinggi namun pada harga USD55,000 (RM242,140), adil jika dikatakan bahawa Honda HPD Civic Si FE1 ini adalah satu pilihan yang ‘mampu milik’ untuk mereka yang ingin bersaing secara kompetitif.

Ini kerana ia telah dibikin sepenuhnya oleh Honda Performance Development (HPD) dengan segala kelengkapan yang diperlukan untuk beraksi di litar lumba seperti sangkar keselamatan, trenkuasa yang dinaik taraf serta pakej elektronik.

Bukan itu sahaja, komponen-komponen yang tidak diperlukan seperti bumbung suria dan bahan penebat bunyi juga telah dibuang. Pendek kata, ia sedia untuk dilenjan sebaik sahaja kunci diserahkan kepada pelanggan.

Seperti Civic Si versi produksi, jentera ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Bagaimanapun, enjin tersebut telah diberikan beberapa penambahbaikan seperti cagak Hasport, sistem ekzos Borla dan beberapa peringkat kuasa (BoP).

Transmisi berkenaan turut diperkukuhkan oleh HPD dengan gear keempat berkekuatan tinggi. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi Limited Slip Differential Cusco. Jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan, namun ia pastinya lebih tinggi berbanding 200hp dan 260Nm yang ada pada versi standard.

Selain itu, sistem suspensi Civic Si FE1 juga menerima sentuhan HPD. Divisyen itu menggunakan peredam Bilsten berkembar boleh laras, berserta camber plate dan lengan atas boleh laras pada bahagian belakang.

Rim asal pula telah digantikan dengan unit Enkei RPF1 berukuran 17 inci, manakala sistem brek terdiri daripada cakera terapung berslot dan angkup Superlite enam piston, kedua-duanya keluaran Wilwood. Turut disertakan adalah hos brek jalinan keluli.

Seperti yang diperkatakan, jentera ini didatangkan dengan sangkar keselamatan bertaraf FIA. Di samping itu, terdapat juga tempat duduk OMP, abah-abah enam poin dan panel instrumen Motec C127 dan pengelog data dengan lampu shift LED.

Civic Si FE1 akan dipasang di kilang pengeluaran Honda di Marysville, Ohio, iaitu lokasi yang sama untuk pengeluaran NSX. Ini bermakna, seperti versi asal, ia mungkin tidak akan ditawarkan di pasaran lain selain Amerika Utara.

Honda Civic 2022 akhirnya dilancar: 1.5 VTEC Turbo sahaja, tiga varian, dari RM126k

AKHIRNYA model yang dinanti ramai telah dilancar secara rasmi hari ini, iaitu Honda Civic 2022 serba baharu. Sedan segmen-C paling popular di Malaysia ini kini dalam generasi ke-11 dengan kod nama FE.

Ia membawakan teknologi terkini ditemani “gaya, pengendalian dan prestasi terbaik dalam kelasnya” menurut Honda.

Kita lihatkan ukuran badannya dulu. Dari segi dimensi, Civic FE ini berukuran 4,678mm panjang, 1,802mm lebar, dan 1,415mm tinggi. Ia juga mempunyai jarak roda (wheelbase) 2,735mm dan dikatakan lebih besar dan lebar berbanding Civic sebelum ini untuk memberikannya profil sporti.

Untuk penampilannya, Civic tampil lebih elegan dan lebih matang, hampir seperti sedan mewah Jerman. Jika dilihat di belakang khasnya, tiada lagi rupa Civic ‘ketam’.

Buat pertama kali, Civic RS akan diperkenalkan. Berbanding varian biasa, Civic RS akan mendapat cermin sisi hitam, antena sirip jerung, dan rim aloi hitam 18-inci. Ciri standard di bahagian luar termasuklah lampu LED sepenuhnya berserta DRL.

Tiada lagi enjin 1.8-liter naturally-aspirated, kini semua varian Honda Civic didatangkan dengan 1.5-liter VTEC Turbo sebagai standard. Enjin ini menjana 182PS dan 240Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT.

Terdapat mod pemanduan Econ, Normal dan Sport yang boleh dipilih dari suis Drive Mode. Sudah pasti, mod Sport akan memberikan respon pecutan paling tinggi jika anda mahukan prestasi maksimum Civic FE ini.

Honda Civic 2022 juga akan didatangkan dengan selambak ciri keselamatan di bawah ‘payung’ Honda SENSING termasuk sistem terbaharu Lead Car Departure Notification System. Ciri lain adalah:

Adaptive Cruise Control (ACC)
Low-Speed Follow (LSF)
Collision Mitigation Braking System (CMBS)
Forward Collision Warning (FCW)
Lane Keep Assist System (LKAS)
Road Departure Mitigation (RDM)
Lane Departure Warning (LDW)
Auto High Beam (AHB)

Baik, sekarang kita ke harganya. Honda Civic 2022 ini hadir dengan tiga varian, dan harga adalah seperti berikut:

Civic 1.5L E: RM125,634.64
Civic 1.5L V: RM138,043.36
Civic 1.5L RS: RM144,350.09

Honda Civic 2022 serba baharu dibuka untuk tempahan, lancar pada Q1 tahun depan!

INI berita yang mungkin dinanti-nantikan oleh ramai peminat Honda Civic di Malaysia, kerana tempahan untuk sedan segmen-C popular itu kini dibuka! Pelancarannya dijangka pada suku pertama tahun depan.

Civic generasi ke-11 dengan kod nama FE membawakan teknologi terkini ditemani “gaya, pengendalian dan prestasi terbaik dalam kelasnya” menurut Honda.

Kita lihatkan ukuran badannya dulu. Dari segi dimensi, Civic FE ini berukuran 4,678mm panjang, 1,802mm lebar, dan 1,415mm tinggi. Ia juga mempunyai jarak roda (wheelbase) 2,735mm dan dikatakan lebih besar dan lebar berbanding Civic sebelum ini untuk memberikannya profil sporti.

Untuk penampilannya, Civic tampil lebih elegan dan lebih matang, hampir seperti sedan mewah Jerman. Jika dilihat di belakang khasnya, tiada lagi rupa Civic ‘ketam’.

Buat pertama kali, Civic RS akan diperkenalkan. Berbanding varian biasa, Civic RS akan mendapat cermin sisi hitam, antena sirip jerung, dan rim aloi hitam 18-inci. Ciri standard di bahagian luar termasuklah lampu LED sepenuhnya berserta DRL.

Pada varian RS seperti dalam gambar ini, Civic dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC turbo yang menjana 182PS dan 240Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT. Nampaknya seperti tiada lagi enjin 1.8-liter, tapi perkara ini masih belum dapat lagi dipastikan.

Terdapat mod pemanduan Econ, Normal dan Sport yang boleh dipilih dari suis Drive Mode. Sudah pasti, mod Sport akan memberikan respon pecutan paling tinggi jika anda mahukan prestasi maksimum Civic FE ini.

Honda Civic 2022 juga akan didatangkan dengan selambak teknologi di bawah ‘payung’ Honda SENSING termasuk sistem terbaharu Lead Car Departure Notification System. Ciri lain adalah:

Adaptive Cruise Control (ACC)
Low-Speed Follow (LSF)
Collision Mitigation Braking System (CMBS)
Forward Collision Warning (FCW)
Lane Keep Assist System (LKAS)
Road Departure Mitigation (RDM)
Lane Departure Warning (LDW)
Auto High Beam (AHB)

Berminat? Honda Civic 2022 boleh ditempah sekarang di semua cawangan pengedar Honda seluruh negara.

Honda Civic hatchback Mugen – Kit badan, rim, ekzos sport

MUGEN telah menala dan berlumba dengan jentera hampir 30 tahun. Kini dengan Civic FE baharu, pasti Mugen mahu memberikan sentuhan mereka. Civic Mugen akan didedah secara rasmi pada September nanti, tapi mereka telah menyiarkan beberapa gambar untuk tatapan kita.

Gambar: Mugen

Boleh dilihat kit badan yang nampak ‘ringan’, tidak terlalu menonjol. Kiranya, bahagian bawah sekeliling kereta telah diberikan kelainan, termasuk lip depan, skirt tepi dan perumah ekzos trapezoid. Kemudian terdapat spoiler, corong tingkap, cermin sisi, dan rim baharu.

Gambar oleh: Mugen

Penerangan ringkas dari Mugen mengatakan rim 18-inci itu ialah dari aluminium yang memberi penekanan untuk pemanduan sporti. Ekzos sports berkembar juga sebahagian dari pakej ini yang mempunyai tip berbentuk bujur.

Pakej Mugen ini sememangnya menaikkan imej sporti pada Civic hatchback ini. Mugen juga menawarkan karpet sports yang “akan menghalang udara luar masuk sambil menambahbaik pengudaraan”. Pelik bunyinya, tak apa lah, kita tunggu pendedahan rasmi nanti.

Mugen tidak menyatakan bahawa kit badan ini untuk hatchback sahaja atau untuk sedan sekali. Kami rasa ia akan ditawarkan untuk kedua-duanya.

Apa pendapat anda mengenai pakej Mugen untuk Civic generasi ke-11 ini? Bagaimana pula rupa Type-R nanti kan?