Arkib Tag: fa-50

FA-50M TUDM: Status pembinaan 18 pesawat kini capai 26.7 peratus

STATUS pengeluaran dan pembinaan terkini bagi 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mencapai 26.7 peratus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

KAI FA-50 Block 20

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, berdasarkan kepada jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.

“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion. Perolehan pesawat ini berdasarkan perancangan TUDM, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan juga sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi,” kata Adly.

“Berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan dipakai hingga 2045 berdasarkan polisi casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” tambahnya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Gamabr oleh: Malaysia Military Review

Semasa pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.

Sah! TUDM bakal peroleh 18 unit FA-50 dari Korea Selatan

KOREA Aerospace Industries Co (KAI), pengeluar pesawat dari Korea Selatan, berkata mereka telah menandatangani kontrak bernilai 1.2 trilion won (RM4.08 bilion) untuk membekalkan 18 pesawat pejuang kepada Malaysia.

KAI menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan untuk 18 unit pesawat Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) FA-50, dengan penghantaran bermula pada 2026.

Pemilihan FA-50 untuk kontrak FLIT-LCA ini bermakna pesawat Korea Selatan itu telah mengalahkan calon-calon dari India (HAL Tejas), Pakistan (JF-17), Rusia (MiG-35), dan Turki (Hurjet).

Ini merupakan kontrak keempat KAI untuk pembekalan pesawat di rantau Asia Tenggara selepas Indonesia, Filipina dan Thailand.

Terdahulu pada Oktober lepas, wakil delegasi Malaysia dikatakan berada di kilang KAI (Korean Aerospace Industries) di Korea Selatan untuk membuat penilain fizikal terhadap pesawat yang menjadi calon akhir itu.

TUDM pada Jun 2021 telah membuka tender FLIT-LCA berkenaan iaitu pesawat pejuang ringan bagi menggantikan barisan BAE Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM yang semakin berusia.