Arkib Tag: F-150 Raptor

Rezvani Fortress 2027 – Ford F-150 Raptor bertukar jadi trak taktikal kalis peluru

Syarikat pengubah suai dari California, Rezvani sememangnya terkenal dengan projek-projek ekstrem berasaskan SUV dan trak pikap. Model terbaharunya dikenali sebagai Fortress, dibangunkan menggunakan platform Ford F-150 Raptor tetapi tampil dengan imej jauh lebih agresif dan futuristik.

Menurut Rezvani, Fortress merupakan “trak super off-road taktikal” yang sesuai digunakan di jalan raya mahupun permukaan mencabar. Jika F-150 Raptor standard sudah cukup garang, Fortress membawa konsep tersebut ke tahap yang lebih ekstrem.

Rekaan lasak bersama naik taraf off-road serius

Bahagian luaran menampilkan bampar keluli yang diperkuat, lampu LED, liang udara pada bonet, fender lebar, lampu tambahan pada bumbung serta rim beadlock dengan tayar off-road bersaiz besar.

Untuk prestasi off-road, Fortress dilengkapi dengan suspensi Fox Live Valve, lengan kawalan yang diperkukuh dan sistem peredam adaptif. Terdapat juga mod pemanduan khas untuk pasir, lumpur, salji, batu dan Baja.

Rezvani mendakwa trak ini mempunyai kelegaan tanah sehingga 15 inci, sudut mendekat 38 darjah dan kemampuan meredah air sedalam 45 inci.

Kabin mewah dengan ciri keselamatan ala tentera

Untuk ruang kabin, pembeli boleh memilih pelbagai konfigurasi tempat duduk dan kemasan dalaman. Namun apa yang lebih menarik, Fortress turut menawarkan ciri perlindungan tambahan seperti perisai balistik, cermin kalis peluru, serta perlindungan Kevlar untuk komponen penting.

Antara ciri tambahan lain termasuk sistem night vision, deadbolt magnetik, pemegang pintu elektrik, siren bersama sistem PA, peti simpanan kecemasan, topeng gas dan kit pertolongan cemas.

Pendek kata, Fortress bukan sahaja sebuah kenderaan yang lasak, namun boleh dianggap sebagai ‘kubu’ untuk kelangsungan hidup, sesuai dengan namanya.

Enjin sehingga 850 hp

Pilihan enjin bermula dengan unit 3.5 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan sekitar 450 hp. Bagi yang mahukan lebih kuasa, Rezvani turut menawarkan enjin supercharged 5.2 liter V8 dengan kuasa sehingga 850 hp dan 881 Nm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Harga jualan bermula dari USD285,000 (RM1.13 juta), tidak termasuk pilihan tambahan.

Hennessey VelociRaptoR 1000 adalah F-150 Raptor yang disuntik steroid

NAMA Hennessey sememangnya sudah sinonim dengan jentera-jentera ‘gila’ yang berkuasa tinggi. Terbaru, tuner yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat itu telah memperkenalkan VelociRaptoR 1000 yang asalnya merupakan sebuah Ford F-150 Raptor.

Kalau nak diikutkan, F-150 Raptor standard sudah cukup berkuasa dengan enjin 5.2-liter supercharged V8 yang menjana 700 hp dan 867 Nm namun angka ini nampaknya tidak cukup tinggi untuk Hennessey.

Oleh itu, Hennessey telah menaik taraf enjin berkenaan dengan unit supercharger yang lebih besar (3.8 liter berbanding 2.65 liter), tali sawat supercharger baharu, sistem ambilan udara beraliran tinggi, saluran bahan api baharu, penyuntik bahan api lebih besar dan bermacam lagi.

Hasil daripada naik taraf ini masih belum diketahui namun berdasarkan nama model ini, jelas bahawa syarikat talaan terkemuka itu mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 hp.

Sudah tentu, transformasi F-150 Raptor kepada VelociRaptoR 1000 tidak akan lengkap tanpa modifikasi pada bahagian luaran dan dalaman. Selain grafik badan, jentera ini juga mendapat bampar jenis bolt-on, lampu LED, serta rim 20 inci yang dipadankan dengan tayar 37 inci.

Bukan itu sahaja, setiap unit akan didatangkan dengan plak nombor siri pengeluaran. Untuk bahagian dalaman, penulis jangkakan yang ia boleh dikustom mengikut citarasa pelanggan seperti mana-mana penawaran Hennessey yang lain.

VelociRaptoR 1000 sudah dibuka untuk tempahan namun harga pakej naik taraf ini masih belum diketahui. Untuk rujukan, harga F-150 Raptor bermula dari $76,775 (RM340,612).