Arkib Tag: ewallet

TNG eWallet akan kenakan caj 1% untuk tambah nilai guna kad kredit

MULAI 23 Februari ini, semua tambah nilai Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) menggunakan kad kredit akan dikenakan caj satu peratus.

Bagaimanapun, TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) berkata tambah nilai melalui kad debit dan DuitNow kekal percuma tanpa sebarang caj.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TNGD, Alan Ni, langkah itu diambil bagi mengekang pengeluaran wang melampau menggunakan kad kredit ke akaun bank.

Selain itu, katanya, ia bagi mengurangkan kos besar kad kredit yang ditanggung oleh TNGD selama ini.

Pengguna TNG eWallet disarankan untuk menggunakan DuitNow untuk membuat tambah nilai kerana ia menggunakan proses pemindahan dana antara bank.

“Sebagai institusi kewangan terbesar yang menguruskan lebih 20 juta pengguna yang disahkan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), kita mesti mencari keseimbangan antara kemudahan, keselamatan dan kemampanan kos jangka panjang syarikat.

“Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, kami masih membenarkan kad kredit sebagai satu daripada saluran tambah nilai tetapi kami juga menggesa pengguna untuk menambah nilai eWallet mereka melalui DuitNow atau kad debit, yang kedua-duanya adalah percuma.

“Apabila membuka akaun eWallet, pengguna diberikan nombor akaun DuitNow sama seperti akaun bank. Anda boleh menemui nombor akaun DuitNow ini pada bahagian profil eWallet,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, TNGD pernah menurunkan had tambah nilai kad kredit percuma kepada RM1,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelumnya.

Dengan langkah itu, TNGD menjelaskan, ia sebagai cara mengekang pengeluaran kad kredit ke akaun bank.

Akhirnya boleh tambah nilai Touch ‘n Go dengan kad NFC baharu

AKHIRNYA kita akan selangkah lebih dekat kepada kebolehan tambah nilai kad Touch ‘n Go (TNG) melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet tidak lama lagi.

Dari imej tangkap layar (screenshot) video TNG yang dikongsi beberapa portal, kad NFC (near field communication) baharu itu akan dilancarkan tidak lama lagi. Video itu walaubagaimanapun telah dipadam.

Fungsi baharu ini akan dikenalpasti sebagai NFC dan ikonnya akan dipapar pada bucu kanan atas. Ini juga bermakna pengguna perlu membeli kad baharu untuk menggunakan fungsi ini.

Gambar oleh: Lowyat.net

Kad itu boleh dibeli dengan harga RM10 setiap satu. Tetapi menurut portal Amanz.my, penjualan kad itu telah dihentikan buat sementara waktu, mungkin menantikan pelancaran rasmi.

Fungsi tambah nilai secara NFC menggunakan aplikasi eWallet ini juga mungkin hanya akan aktif sekitar Mei nanti.

Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu memilih nilai kredit yang ingin ditambah, seterusnya menyentuh kad TNG generasi baharu ini pada bahagian NFC di telefon untuk tambah nilai.

Langkah ini sekaligus akan memudahkan anda melakukan tambah nilai tanpa perlu ke kiosk TNG.