Arkib Tag: evija

CEO Lotus kritik kereta sendiri? Kata model lebih 1,800 kg ‘biasa sahaja’

CEO Lotus, Feng Qingfeng kini menjadi perhatian selepas kenyataan beliau mengenai berat kereta sport dilihat bercanggah dengan barisan model semasa jenama itu sendiri.

Menurut laporan CarNewsChina, Qingfeng berkata mana-mana kereta sport yang melebihi 1,800 kg boleh dianggap “mediocre” atau biasa sahaja. Kenyataan itu dilihat memakan diri kerana realitinya, berat kebanyakan model semasa Lotus sudah pun melebihi angka tersebut. Ini termasuk hypercar Evija yang mempunyai berat sekitar 1,900 kg.

Situasi ini secara tidak langsung membuatkan kenyataan beliau kelihatan ironik, seolah-olah model paling eksklusif Lotus sendiri tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh ketua eksekutifnya.

Sasaran berat lebih ringan jadi hala tuju baharu?

Walaupun kenyataan Qingfeng mengundang kontroversi, ia mungkin memberi gambaran arah tuju masa depan Lotus. Jenama itu sememangnya terkenal dengan falsafah “light is right”, dan Qingfeng dilihat mahu mengembalikan fokus kepada nisbah kuasa-berat yang lebih ekstrem.

Jika ditafsir secara positif, Lotus mungkin sedang menuju ke arah sasaran berat sekitar 1,800 kg untuk model prestasi akan datang, sesuatu yang lebih selari dengan DNA asal jenama tersebut.

Supercar V8 hibrid 1,000 hp dalam perancangan

Menariknya, Lotus kini sedang membangunkan sebuah supercar V8 hibrid yang dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp. Model yang buat masa ini dikenali sebagai Type 135 itu dilihat sebagai calon utama untuk menguji pendekatan baharu ini.

Jika Lotus berjaya mengekalkan berat rendah pada platform tersebut, gabungan enjin V8 hibrid dan casis ringan berpotensi menghasilkan nisbah kuasa-berat yang sangat ekstrem.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan prestasi garis lurus, tetapi juga memberi pengalaman pemanduan yang lebih tajam dan “pure”, sesuatu yang selama ini menjadi identiti Lotus.

Satu-satunya Lotus Evija X kemalangan di garisan permulaan Goodwood

GOODWOOD Festival of Speed telah mendapat ‘mangsa’ pertamanya. Lotus Evija X – jentera litar one-off yang dibina untuk rekod Nurburgring tertentu – telah kemalangan di acara Goodwood, memusnahkan bahagian depannya.

Nasib baik pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Walaupun tidaklah pelik untuk melihat kereta-kereta berkuasa tinggi terbabas dan kemalangan di litar pendek Goodwood ini, insiden Lotus ini tetap pelik sedikit.

Ia tidak berlaku di selekoh Molecomb, sebuah selekoh kiri yang agak sukar di pertengahan litar yang mampu menumpaskan pemandu-pemandu profesional sekalipun. Sebaliknya, insiden ini berlaku betul-betul di garisan permulaan.

Rakaman menunjukkan Evija X membuat burnout dengan asap tebal, sebelum tiba-tiba tersentap ke kanan dan merempuh tembok jerami.

Clamshell depannya remuk, tetapi ruang pemandu kekal dalam keadaan baik. Pengulas mengesyaki ia berpunca dari perisian yang mengawal empat motor elektrik di setiap tayar, dengan output hampir 2,000hp menjadi punca hilang kawalan.

Kemalangan ini tidaklah nampak begitu teruk, dan diharapkan jentera ini dapat kembali beraksi. Hanya satu unit pernah dibina dan sudah tentu Lotus tidak mempunyai lebihan atau alat ganti.

Beberapa hari selepas insiden, Lotus telah mengeluarkan kenyataan berikut:

Selepas penilaian rasmi antara Goodwood dan Lotus, cengkaman tidak seragam dari overcorrection semasa pecutan pantas di permulaan telah ditentukan menjadi puncanya. Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerosakan pada kereta adalah minima.

Berakhirnya sebuah era, pengeluaran Lotus Elise, Exige dan Evora ditamatkan

BERAKHIRNYA sebuah era dan bermulanya satu lembaran baharu apabila Lotus menamatkan pengeluaran Elis, Exige dan Evora. Penamatan ini bagi membolehkan kilang di Hethel dipersiapkan untuk pengeluaran Emira.

Pengeluar kereta sports yang berpangkalan di Norfolk itu mula memperkenalkan Elise Series 1 pada 1996, diikuti oleh Exige pada 2000 sebelum Evora pada 2009.

Ketiga-tiga model ini menerima banyak versi dan edisi, kini Lotus mengucapkan selamat jalan untuk semua model sekaligus. Sepanjang 26 tahun ini, sebanyak 51,738 unit telah dihasilkan.

‘Platform kereta kecil’ Elise dan Exige telah digunakan untuk menghasilkan 340R, Europa, 2-Eleven dan 3-Eleven. Ia juga menjadi model asas untuk Opel Speedster, Vauxhall VX200 dan Tesla Roadster.

Walaupun tidak dinyatakan dalam siaran media rasmi Lotus, harus diketahui bahawa Hennessey Venom GT (13 unit) juga dihasilkan dari platform sama, walaupun dimodifikasi secara menyeluruh. Venom GT digunakan untuk mencipta banyak rekod kelajuan tertinggi sebelum diganti oleh Venom F5.

Unit terakhir untuk setiap model diwakili oleh Elise Sport 240 Final Edition kuning, Exige Cup 430 Final Edition dalam warna Heritage Racing Green, dan Evora GT430 Sport dengan warna Dark Metallic Grey. Ketiga-tiga unit ini tidak akan dijual, tetapi akan disimpan untuk koleksi warisan.

Angka khas pengeluaran untuk setiap model adalah 35,124 unit Elis, 10,497 unit Exige dan 6,117 unit Evora.

Lotus Emira akan menggantikan ketiga-tiga model dan pengeluarannya akan bermula pada musim bunga tahun depan. Kilang sama juga memasang hypercar Evija yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.