Arkib Tag: ERL

‘Makan angin’ dengan ERL, tiket sehala cuma RM1!

PELUANG baik kepada anda yang ingin ‘makan angin’ menggunakan tren Express Rail Link (ERL)!

Ini kerana anda hanya perlu membayar RM1 untuk tiket sehala ke mana-mana stesen ERL bermula Sabtu sehingga Ahad ini.

Program dikenali sebagai ‘ERL RM1 Joyride Weekend’ itu merupakan hasil kerjasama Express Rail Link Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata, program tersebut bertujuan merangsang semula perjalanan riadah tempatan.

“ERL gembira dapat memainkan peranan dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menghidupkan semula industri perjalanan riadah.

“Kami percaya semua pihak patut melaksanakan peranan mereka bagi menyokong pemulihan negara,” katanya.

Bersempena program itu, beberapa stesen ERL seperti di Sentral KL dan KLIA 2 akan menganjurkan aktiviti menarik khusus buat orang ramai.

Informasi lanjut mengenai promosi dan aktiviti berkenaan boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://www.kliaekspres.com/offers/rm1-joyride/rm1-joyride/.

Jumlah penumpang merosot, ERL gantung perkhidmatan

PERKHIDMATAN Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan digantung mulai Jumaat ini.

Langkah itu dibuat susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

ERL dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan dibuat selepas rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” memetik kenyataan itu.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai tempoh penggantungan perkhidmatan ERL.

Sementara itu, ERL mengakui purata bilangan penumpang merosot lebih 69 peratus pada 2020 ekoran penularan pandemik Covid-19.

Situasi lebih buruk, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus tahun ini berbanding 2020.

Justeru, individu terpaksa melakukan perjalanan atas urusan mustahak sepanjang PKP 3.0 dinasihatkan mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka.

Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati di laman sesawang www.KLIAekspres.com.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sosial KLIA Ekspress atau menghubungi Jabatan Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000.

KLIA Ekspress: Apa perlu anda tahu?

  • Perkhidmatan KLIA Ekspres beroperasi secara rasmi pada 14 April 2002.
  • Ia menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
  • Perkhidmatan KLIA Ekspres beroperasi menggunakan lapan buah tren elektrik empat gerabak Desiro.
  • Semua tren KLIA Ekspres dilengkapi dengan kemudahan tandas, ruang khusus bagasi daftar masuk dan ruang simpanan bagasi dalam gerabak.
  • Setiap unit tren KLIA Ekspres mampu membawa sehingga 156 orang penumpang pada satu masa.
  • Panjang rel Kuala Lumpur – KLIA adalah 57 kilometer.
  • Nilai keseluruhan projek KLIA Ekspress menelan belanja RM2.4 bilion.