Arkib Tag: EON Berhad

Zeekr Malaysia perluas rangkaian jualan & selepas jualan dengan EON

Zeekr Intelligent Technology Malaysia menandatangani perjanjian pengedaran dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Kerjasama terbaharu ini menandakan satu lagi langkah strategik Zeekr Malaysia dalam usaha memperluas rangkaian runcit dan selepas jualan di Malaysia.

Pengalaman meluas EON

Sebagai salah satu peruncit automotif terkemuka, EON mempunyai pengalaman luas dalam operasi runcit automotif terutama dalam segmen EV.

Sebelum kerjasama terbentuk, wakil EON telah melawat fasiliti Zeekr di China untuk melihat sendiri teknologi, kemampuan pembuatan serta pendekatan terhadap mobiliti elektrik.

Lawatan tersebut mengukuhkan keyakinan EON terhadap Zeekr dan membuka jalan kepada perjanjian yang ditandatangani tersebut.

Perluas akses pelanggan

Di bawah fasa pertama kerjasama, EON akan membuka Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam yang akan mula beroperasi Oktober 2026.

Kedai dengan keluasan 1,340 kaki persegi ini membolehkan pelanggan mendekati dan meneroka barisan EV premium (X, 009 & 7X) serta mendapatkan maklumat lajut tentang tawaran pemilikan.

Pop-up store ini akan berfungsi sebagai pusat sentuhan pelanggan sementara Zeekr House Glenmarie dibangunkan yang dijangka siap suku pertama 2027.

Fasiliti baharu ini bakal menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung

Melangkah ke hadapan, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan automotif berpengalaman bagi membina ekosistem pemilikan yang lebih kukuh dan mudah diakses untuk pelanggan di seluruh Malaysia.

Hyundai, EON jalin kerjasama buka cawangan pengedar baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang

Hyundai Motor Malaysia (HMY) dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menandatangani surat hasrat (LOI) untuk meluaskan jejak runcit Hyundai di seluruh Malaysia.

Dua cawangan pengedar baharu akan didirikan di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dan dijangka siap menjelang separuh pertama 2026.

Lokasi tersebut dikenal pasti berdasarkan potensi pasaran, minat pelanggan yang semakin meningkat serta trend penggunaan hibrid yang semakin berkembang.

Cawangan baharu itu juga akan menyokong rancangan Hyundai untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dengan menyediakan kemudahan jualan, servis dan perkhidmatan selepas jualan dekat dengan kawasan penduduk ramai.

Menurut Jahabarnisa Haja Mohideen selaku Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia berkata, “Kerjasama ini bukan sekadar pertumbuhan, tetapi ia adalah tentang membina kepercayaan dan memberikan nilai kepada rakyat Malaysia untuk jangka masa panjang.

“Kami berterima kasih kepada EON kerana bersama-sama kami dalam perjalanan ini, kerana reputasi mereka yang kukuh dan kehadiran di seluruh negara menjadikan mereka rakan kongsi yang sangat berharga,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Akkbar Danial selaku Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad berkata, “Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan EON untuk mencari peluang baharu dalam membentuk masa depan mobiliti Malaysia.

“Selaras dengan prinsip panduan kami ‘Passion Drives Possibilities’, kami menantikan Hyundai sebagai salah satu jenama kami untuk membolehkan kami memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami,” jelasnya.