Arkib Tag: enjin pembakaran dalaman

BYD, Geely mahu realisasikan PHEV ultra cekap, jarak gerak cecah 2,000 km!

Dua gergasi automotif China, BYD dan Geely dilaporkan mahu berlumba-lumba untuk menghasilkan model plug-in hybrid (PHEV) dengan jarak gerak cecah 2,000 km dalam masa terdekat.

 

 

Menurut BYD, kereta PHEV dengan jarak gerak yang sangat jauh itu akan dibangun menggunakan teknologi sedia ada, dan bakal dilancarkan pada tahun 2025.

Sebagai perbandingan, kereta PHEV BYD Song Plus DM-i yang wujud dalam pasaran mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,151 km (data CLTC), terima kasih kepada gandingan enjin 1.5 liter, motor elektrik, transmisi CVT, tangki bahan api 60 liter dan pek bateri berkapasiti 18.32 kWh.

Sementara itu, Geely juga mendakwa model PHEV dengan jarak gerak 2,000 km itu akan dibina menggunakan unit rangkaian kuasa yang sudah wujud pada model Galaxy L6.

 

Sedan PHEV berkuasa 358 hp tersebut menampilkan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, pek bateri lithium-ion 19.1 kWh, serta transmisi dual-hybrid tiga kelajuan.

Dalam mod EV, Galaxy L6 mampu bergerak sejauh 124 km, dan jika digandingkan dengan tangki bahan api sebesar 60 liter, sedan ini mampu beregerak sejauh 1,370 km secara keseluruhannya.

Perkembangan terbaharu ini memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk menggerakkan umat manusia, dan pengeluar kini mula sedar EV bukanlah satu-satunya cara untuk terus kekal relevan.

Ini ialah Volvo XC90 diesel terakhir di dunia

Tidak seperti pengeluar automotif lain yang ragu-ragu dengan masa depan, Volvo menunaikan janji mereka tahun lepas dengan mengumumkan penamatan produksi kenderaan berenjin diesel baru-baru ini.

Model terakhir yang dilengkapi dengan enjin diesel itu ialah sebuah Volvo XC90 2.0L turbo berwarna biru yang dipasang di kilang Torslanda, Sweeden.

 

 

Difahamkan, sejak daripada tahun 1991 Volvo telah pun menghasilkan lebih daripada sembilan juta unit kenderaan berenjin diesel, di mana angka tersebut tidak termasuk rekod unit yang dipasang antara tahun 1979 hingga 1991.

Unit terakhir Volvo XC90 diesel itu tidak akan diserahkan kepada pelanggan, sebaliknya ia akan menjadi bahan pameran di muzium World of Volvo yang terletak di Gothenburg.

Di Eropah, majoriti kenderaan Volvo yang terjual di sana terdiri daripada model diesel, bahkan 95 peratus daripada jualan XC90 tahun 2008 adalah model diesel!

 

 

“Untuk jangka panjang, enjin diesel kami sangat terkenal dengan kebolehpercayaan dan kecekapan, dan ia merupakan satu pencapaian yang bermakna untuk kami dalam tempoh beberapa dekad.

“Jelas sekali, kejayaan kenderaan diesel kami memainkan peranan penting dalam evolusi kami menjadi jenama premium,” menurut Volvo.

Menjelang tahun 2030, Volvo akan menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya di mana kebanyakan kilang pemasangan kini sedang diubahsuai untuk menampung pengeluaran EV dan rangkaian kuasa bateri.

 

Trend EV kian perlahan, Mercedes terus kekal hasilkan enjin pembakaran dalaman

Jenama mewah Mercedes-Benz nampaknya terpaksa akur dengan trend permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang bergerak lebih perlahan berbanding jangkaan asal.

Keadaan ini menyebabkan Mercedes-Benz terpaksa menangguhkan dulu perancangan untuk menjadi jenama EV sepenuh masa menjelang 2030.

Bukan itu sahaja, Mercedes-Benz turut mengurangkan sehingga 50 peratus model EV yang bakal diperkenalkan menjelang akhir dekad ini, dan meneruskan penjualan model-model berenjin pembakaran dalaman (ICE) sehingga dekad seterusnya.

 

 

Dalam satu kenyataan, Mercedes-Benz mendedahkan aspek seperti gangguan rantaian bekalan dan ketersediaan komponen kritikal kekal menjadi faktor risiko yang ketara buat jenama itu untuk meneruskan pelan EV mereka.

 

Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Mercedes-Benz merupakan antara jenama automotif mewah yang mampu menawarkan barisan produk EV yang meluas, bermula dari sekecil EQA, EQB, model sedan EQE dan EQS, SUV EQE dan EQS, serta tidak ketinggalan barisan model EV AMG.

 

 

Generasi baharu EV Mercedes akan dibina berdasarkan platform Modular Mercedes Architecture (MMA) yang direka bukan sahaja untuk EV, malah sesuai untuk kereta berenjin pembakaran dalaman.

CLA generasi baharu merupakan model produksi pertama yang lahir daripada platform MMA ini, dan diikuti dengan model generasi baharu GLA dan GLB.

Mercedes-Benz juga dilapor sedang membangunkan enjin M252 untuk dijadikan sebagai unit penambah jarak bagi model EV akan datang termasuklah CLA EV serta model-model Entry Luxury yang lain.